Monday, May 7, 2012

Mona kumpul karya Islam

Antara seni khat tempatan yang dimiliki Mona.

KETIKA memasuki kediaman usahawan wanita, Mona Din, pandangan mata terpesona melihat karya seni unik yang tersusun rapi di satu sudut.

Walaupun tampil dengan hiasan dalaman serba moden, kediaman 12 bilik itu menyerlah dengan karya tulisan khat kalimah Allah dan buku-buku agama.

Pengusaha Serenity Spa, Leesa Formula dan Hajaba itu ternyata berada di kelas tersendiri apabila berjaya menghasilkan dekorasi yang menyuntik ketenangan.

"Ruang ini baru diwujudkan. Dulu, saya tidak pernah terfikir mewujudkan kediaman berkonsepkan Islamik.

"Kebetulan saya dan suami sering ke negara-negara Islam yang lain. Kami tidak melepaskan peluang membeli buah tangan berbentuk seni kraf Islam.

"Lama-kelamaan ia menjadi hobi saya dan suami," cerita Mona tentang hobi barunya ini.

Justeru, Mona bercadang menghiaskan kediamannya dengan karya keindahan Islam.

"Ia sebagai terapi ketenangan yang paling mujarab. Lagipun saya mahu mendidik anak-anak agar menghargai kraf Islam.

"Mungkin inilah cara terbaik untuk kita berdakwah," katanya.

Mini muzium itu juga menjadi lebih indah dengan latar dinding berwarna putih.

Pasti tetamu juga terpikat dengan penggunaan cermin di sudut tersebut yang menampilkan nilai eksotik kediaman berkenaan.

Lantai marmar putih pula menghasilkan ruang yang lebih luas.

DekorasiSebagai pereka fesyen jenama Hajaba, Mona ternyata hebat di gelanggang dekorasi apabila berjaya menata rias kediamannya dengan perabot yang kemas dan selesa. Kediamannya banyak menitikberatkan keselesaan dan ketenangan.

Dekorasi yang menarik tidak perlu terlalu sarat dengan hiasan dan dilengkapi perabot mewah.

Segenap ruang lebih istimewa jika diberi sentuhan bersesuaian serta selesa keadaannya.

Menjenguk hiasan dalaman rumah berkonsepkan selesa dan tenang itu, pelbagai kelainan cuba diketengahkan Mona termasuk warna perabot seperti sofa yang tertumpu kepada rona gelap.

Kombinasi putih dan hitam menghasilkan suasana yang moden tetapi merehatkan minda.

Selain sofa fabrik kain, pilihan perabot moden seperti kulit juga menjadi penyeri kediaman Mona.

Rekaan menarik tingkap mesra alam yang merungkaikan batasan pemandangan luar menghiasi segenap ruang.

Malah, penggunaan langsir moden menjadikan dekorasi kediamannya ringkas.

Di sudut rehat menghadap kolam renang, rekaan set kerusi agak unik. Pilihan corak bunga ros tampak mewah dan eksklusif.

Sedikit hiasan bunga pada meja di ruang santai tersebut menjadi penghias yang ringkas.

"Di sinilah saya dan keluarga menghabiskan masa berbual. Jika tiada acara di luar pada hujung minggu, kami akan minum petang," bicaranya.

KagumMemang kagum melihat kesungguhan dan kecekalan wanita yang memiliki sentuhan emas ini. Walaupun dilahir dan dibesarkan serba kekurangan malah boleh saja dikategorikan miskin tegar katanya, Mona berjaya mengubah hidupnya menjadi antara ikon wanita berjaya dalam perniagaan.

Nyata berkat kesungguhan dan perancangan yang teliti telah membantunya membina tapak perniagaan walaupun pada awalnya ramai yang menganggap apa yang dilakukan adalah satu kerja gila.

Mona sendiri berpandangan sama jika mengenang kembali pada peringkat awal penglibatannya dalam perniagaan tersebut. Mana tidaknya, sebelum menceburi bidang perniagaan, beliau sudah pun memegang jawatan tinggi sebagai pengurus besar pengiklanan di sebuah syarikat penerbitan majalah terkemuka.

Begitu juga suaminya, Zulkefli Mohd. Ali yang memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat media turut sama mengikut jejak langkahnya malah lebih awal berhenti kerja kerana mendambakan cabaran membina perniagaan sendiri.

"Saya sangat bersyukur dengan anugerah tuhan yang memberikan suami yang tiada tandingannya. Suami saya bukan seorang yang suka melepak pada waktu malam dan masanya dihabiskan di pejabat dan bersama keluarga.

"Kami juga mempunyai peranan masing-masing iaitu saya terlibat dalam hal seperti pengiklanan, perhubungan awam dan promosi manakala suami saya lebih menumpukan perhatian dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: