RAMAI menganggap hobi membaca komik perbuatan yang sia-sia dan membuang masa kerana tiada apa faedah diperolehi daripadanya.
Namun, kenyataan itu disangkal oleh Mohammad Danial Mohamed Yusuf, 26, kerana buku yang dikatakan tidak berguna itulah punca rezeki dan pencapaiannya sebagai pengurus syarikat penerbitan komik sekarang ini.
Cerita anak muda yang menguruskan syarikat Avell Enterprise itu, hobi membaca komik berputik sejak berusia sembilan tahun dan dikongsi bersama abangnya, Asrul Sani Mohamed Yusuf, yang juga pelukis komik Celestial Saga (Cesaga) di syarikatnya.
Masih terpahat di ingatannya komik pertama yang dibeli iaitu Mutiara Naga episod ketiga oleh Akira Toriyama - yang membuatkan dia terus ketagih dengan buku komik terutamanya dari Jepun seperti Detective Conan, Budak Getah, Slamdunk, Sailormoon dan Naruto.
"Sewaktu kecil, saya pernah mengepos duit syiling simpanan harian di dalam sampul surat ke syarikat penterjemahan iaitu Comic House untuk mendapatkan komik kegemaran saya terutamanya Mutiara Naga.
"Malah saya pernah menghubungi nombor Comic House yang tertera di belakang buku komik tersebut kerana menyangka ia adalah nombor pelukis komik tersebut, Akira Toriyama," ceritanya sambil ketawa mengenang kisah lama ketika ditemui di studionya yang terletak di Wangsa Maju, baru-baru ini.
Menurut Danial, lebih 400 buah komik masih disimpannya dan jumlah sebenarnya lebih daripada itu tetapi ada yang dipinjam dan masih belum dipulangkan termasuk yang telah hilang.
Komik bacaan Danial lebih kepada jenis 'shounan' iaitu kisah pengembaraan yang lebih fokus kepada kanak-kanak lelaki seperti Naruto dan Mutiara Naga.
Kesan bahan bacaan sejak kanak-kanak yang melarat hingga dewasa itu mencetuskan idea kepada Danial dan abangnya menghasilkan komik sendiri, Cesaga yang kini menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.
"Selalunya tanggapan orang kononnya membaca komik membuang masa tetapi sebenarnya ia menjana minda terutamanya kanak-kanak untuk menjadi lebih kreatif malah seperti saya, ia kini menjadi kerjaya," ujarnya.
Terang Danial, Cesaga yang bermaksud pengembaraan kayangan menembusi pasaran antarabangsa selepas ia memenangi pertandingan komik yang diadakan di laman visual kreatif terkemuka, Deviantart.com yang disertai pelukis komik dari seluruh dunia.
Menggunakan lakaran kartun Jepun (manga), komik Cesaga menceritakan dua watak adik-beradik kembar, Bulan dan Purnama yang turun dari kayangan untuk menentang kuasa jahat di bumi dan uniknya, kisah pengembaraan itu menggabungkan mitos serantau terutamanya dari Malaysia seperti kisah badang dan bunian.
Selain itu, Cesaga juga dihidupkan dengan nama dan istilah budaya setempat dari segi peralatan, makanan dan tempat pelancongan seperti keris, tombak, permainan congkak, sepak raga, sate serta Pulau Pangkor menjadikan ia komik manga kebudayaan yang pertama di dunia.
"Perancangan kami selepas ini adalah menerbitkan animasi, seterusnya menjadikan Cesaga seperti satu jenama yang mengeluarkan pelbagai produk lain seperti permainan komputer serta patung dan ia merupakan langkah baik mempromosikan negara kita," ujarnya yang sedang mencari pemberi dana bagi membantu usahanya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: