USIANYA baru mencecah lima tahun tetapi siapa sangka Ahmad Shuhail Shawaludin kini sudah mampu memilik sebuah kamera jenama Olympus Pen EPL-1, Samsung tab 7.7 dan juga Sony PlayStation 3.
Jangan terkejut kerana kesemua barangan tersebut bukannya dibeli dengan wang ringgit tetapi berkat jimat cermat adik Ahmad Shuhail menabung dalam akaun simpanan-i Al-Awfar Junior, Bank Islam. Akhirnya dia terpilih sebagai pemenang hadiah pertama cabutan keenam akaun tersebut.
Anak kelahiran Kampung Pinang Merah, Paka, Dungun, Terengganu itu ketika ditemui kelihatan terpinga-pinga mungkin kerana tidak mengetahui apa yang berlaku di kelilingnya. Tetapi Ahmad Shuhail dilihat memeluk erat Samsung tab yang baru diperolehnya.
Walaupun kanak-kanak itu baru berusia lima tahun tetapi jangan fikir dia tidak mengerti apa-apa kerana kebanyakan kanak-kanak hari ini sebenarnya merupakan individu yang mampu berfikir jauh daripada usia sebenarnya.
Menurut ibunya, Norhaiza Abas, 39, menabung sememangnya menjadi amalan mereka sekeluarga.
Malah anak-anaknya telah dibuka akaun simpanan sebaik sahaja mereka dilahirkan.
"Keempat-empat anak saya telah mempunyai akaun simpanan masing-masing sebaik sahaja mereka dilahirkan.
"Tabungan ini adalah untuk masa hadapan mereka agar tidak susah di kemudian hari. Saya sememangnya menggalakkan anak-anak untuk menabung dan dengan ini secara tidak langsung mengajar mereka berjimat cermat," ujarnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Dungun, Terengganu, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, kesemua anaknya bermula dengan akaun simpanan di Tabung Haji dan bermula bulan September tahun lalu dia telah membuka akaun simpanan Al-Awfar Junior di Bank Islam untuk kesemua anaknya.
Ternyata rezeki menyebelahi anaknya ketiganya, apabila diberitahu telah memenangi hadiah pertama cabutan ke-6 akaun simpanan tersebut.
Tetapi bagi Norhaiza, pada mulanya dia tidak mempercayai berita tersebut memandangkan hari ini terdapat banyak penipuan bagaimanapun setelah melayari laman web Bank Islam dan melihat nama anaknya tertera di situ barulah dia mempercayainya.
"Bayangkan selama ini saya tidak pernah melayari Internet apatah lagi laman web Bank Islam.
"Tetapi sebaik sahaja mendapat panggilan daripada Bank Islam memberitahu Ahmad Shuhail menang, saya terus membuka laman web Bank Islam untuk mengesahkannya.
"Sebaik sahaja terpandang nama Ahmad Shuhail di laman web tersebut barulah saya tahu panggilan yang diterima sebelum ini adalah benar dan sudah pasti saya terkejut," katanya.
Begitupun, bagi Norhaiza, kemenangan tersebut adalah rezeki Ahmad Shuhail dan sudah pasti selepas ini dia akan terus menggalakkan anak-anaknya menabung.
Malah dia turut menyatakan bahawa tidak rugi menabung di usia muda malah ia begitu bermanfaat sekali.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: