Monday, May 7, 2012

BoBoiBoy jadi gilaan

Zuhaimi Nubil Yusoff (kiri) dan dua rakan kongsinya menunjukkan antara baju siri kartun BoboiBoy keluaran Asatera.

BOBOIBOY, Gopal, Ying dan Ya Ya antara watak utama dalam siri animasi tempatan, BoBoiBoy.

Mereka bukan sahaja merupakan adiwira (superhero) pujaan anak-anak masa kini malah apa jua produk yang dipakai oleh karakter-karakter ini pastinya menjadi idaman untuk dijadikan koleksi.

Bagaimanapun, setakat ini antara produk yang memaparkan karakter-karakter hanyalah dikeluarkan dalam bentuk kelengkapan alat tulis.

Yang terbaru, di pasaran hari ini terdapat koleksi pakaian kanak-kanak perempuan serta lelaki yang memaparkan keempat-empat karakter superhero tersebut.

Menurut Pengarah Eksekutif Asatera Sdn. Bhd., Zuhaimi Nubil Yusoff, pihaknya telah membeli hak untuk menggunakan jenama BoBoiBoy dalam koleksi pakaian kanak-kanak.

Tambahnya, dengan pembelian hak tersebut, secara tidak langsung produk keluaran syarikatnya merupakan barangan asli.

“Setakat ini kami merupakan pengedar yang dikhususkan untuk pasaran tempatan seperti di pasar malam, down town, up town, kiosk serta di kedai-kedai pakaian.

“Buat masa sekarang produk keluaran syarikat Asatera ini lebih menumpukan kepada pakaian kanak-kanak.

“Yang pasti produk-produk keluaran kami dihasilkan daripada fabrik yang berkualiti, 100 peratus kain kapas," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaanya di Sungai Long, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Menawarkan 12 jenis corak dengan tiga rekaan yang berbeza, produk ini boleh didapati dalam enam warna pilihan seperti merah, kuning, hijau, biru, oren dan biru gelap.

Jelas Zuhaimi lagi, rangkaian pakaian keluaran syarikatnya mensasarkan kanak-kanak yang berumur antara satu hingga lapan tahun.

Berbicara lanjut mengenai produk tersebut, ulas Zuhaimi, sebelum kata putus dibuat, pihaknya terlebih dahulu melakukan pelbagai kajian mengenai karakter animasi BoBoiBoy mahupun jenis produk yang disukai kanak-kanak.

Akhirnya setelah dua tahun kajian dilakukan, mereka memilih untuk mengeluarkan produk berasaskan pakaian yang terdiri daripada baju-T, baju-T beserta seluar pendek (sepasang) dan juga dres untuk kanak-kanak perempuan.

Ini kerana jelas Zuhaimi, permintaan untuk baju lebih tinggi jika dibandingkan dengan produk lain seperti topi, tudung, penutup mata dan sebagainya.

Bagaimanapun, pihaknya kini dalam perancangan memasarkan produk-produk tersebut pada masa hadapan.

“Apa yang dikeluarkan hari ini adalah mengikut permintaan pasaran. Kami dapati baju mempunyai permintaan yang tinggi jika dibandingkan dengan produk lain.

“Begitupun kami dalam perancangan untuk mengeluarkan produk-produk lain pada masa hadapan selain menambah lagi watak-watak lain seperti Adudu, Tok Aba dan ramai lagi," jelasnya.

Apa yang menarik mengenai produk BoBoiBoy keluaran Asatera ialah, selain memaparkan karakter imej dalam bentuk tiga dimensi, ia juga mempunyai logo untuk membuktikan bahawa produk tersebut adalah asli.

Selain itu, mereka yang membeli produk tersebut juga akan dibungkus di dalam beg plastik yang memaparkan siri animasi tersebut.

Kesemua produk yang ditawarkan boleh didapati pada harga RM28 hingga RM35. Mereka yang berminat untuk menjadi ejen boleh hubungi Zuhaimi di talian 016-9933066 atau layari www.asatera.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: