Tayar kenderaan pancit akibat ditusuk logam seperti paku dan skru merupakan fenomena biasa bagi seorang pemandu.
Sama ada memandu kereta mahu pun menunggang motosikal. Ia menjadi pengalaman biasa akibat bahan logam yang tercicir atau bertaburan di atas jalan raya.
Kejadian tersebut bukan sahaja menyusahkan para pemandu malah juga boleh menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya.
Kini masalah tersebut boleh diselesaikan dengan mudah bersama Metal Scrap Remover' yang dicipta oleh Muhd. Humaizee Misman.
Muhd. Humaizee yang juga Ketua Program Mekanikal Pembuatan, Institut Kemahiran Mara (IKM), Tan Sri Yahaya Ahmad, Pekan, Pahang berkata, alat tersebut hanya terdiri daripada bar magnet dan juga pemegang.
"Alat Metal Scrap Remover amat mudah untuk digunakan, hanya halakan hujung bar magnet ke arah logam yang ingin dikumpulkan, kuasa magnet yang ada akan mengumpulkan logam tersebut.
"Produk ini juga amat sesuai untuk kegunaan semua peringkat lapisan pengguna seperti di rumah, pejabat, kawasan pembinaan, lebuh raya, kawasan permainan kanak-kanak dan sebagainya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pameran reka cipta di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Muhd. Humaizee, inovasi tersebut juga menggalakkan pengguna mengamalkan teknologi hijau berikutan logam yang tidak dilupus dapat di kitar semula.
Selain itu, logam yang berjaya dikumpulkan juga mampu mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini.
"Ia juga boleh digunakan untuk memungut logam yang mengandungi bahan berbahaya seperti bahan radioaktif," katanya.
Metal Scrap Remover itu juga dapat mengurangkan tempoh pembersihan, menjimatkan kos pembelian alatan dan senggaraan, peningkatan pulangan modal serta ringan dan mudah untuk digunakan.
Ia juga berpotensi untuk dikomersialkan untuk kegunaan agensi-agensi kerajaan dan masyarakat umum di dalam dan luar negara.
Malah, penjualan bahan logam kitar semula yang telah dikumpul dapat mengembalikan modal alat dan menambah pendapatan.
Hanya mengambil masa enam bulan kajian, kini produk tersebut telah sedia untuk peringkat penghasilan secara besar-besaran.
Tambah Muhd. Humaizee, Metal Scrap Remover kini masih lagi di peringkat prototaip dan akan dipasarkan dalam masa terdekat dengan harga serendah RM30 hingga RM40.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: