PUSAT Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE), Universiti Putra Malaysia (UPM) julung kalinya menganjurkan program Healthy Lifestyle Day 2012 bagi mengutip dana meningkatkan kesedaran mengenai kanser serta perlaksanaan amalan gaya hidup sihat.
Pengarah CaRE, Prof. Dr. Mazanah Muhamad berkata, peranan CaRE adalah mempertingkatkan kesedaran awal masyarakat terhadap penyakit kanser.
Katanya, CaRE juga menjalankan penyelidikan tentang kanser supaya dapat disalurkan kepada golongan pesakit, mereka yang pernah menghidapnya dan keluarga mereka, pelajar, penyelidik, doktor, jururawat serta masyarakat dengan cara yang lebih mudah.
"Dengan adanya CaRE, masyarakat akan lebih mudah mendapatkan maklumat berkaitan jenis penyakit, cara rawatan, perubatan dan tips penjagaan semasa dan selepas rawatan.
"Bahan-bahan rujukan dan pembelajaran yang berkaitan dengan kanser juga disediakan dalam bentuk yang lebih ringan dan mudah difahami," katanya.
Program Healthy Lifestyle Day 2012 telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi.
Mazanah berkata, selain itu CaRE juga baru-baru ini juga telah menganjurkan program dana amal bagi membantu pesakit-pesakit kanser.
"Dana itu dikutip menerusi jualan meja makan malam amal yang masih dibuka kepada organisasi kerajaan, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga masyarakat umum," katanya.
Program itu merupakan anjuran bersama Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) dan Persatuan Guolin Qi Gong Malaysia (PGQM).
Selain itu, terdapat tiga lagi aktiviti utama yang dijalankan sepanjang program Healthy Lifestyle Day 2012 iaitu saringan kesihatan, pameran poster dan program kesedaran.
Saringan kesihatan dijalankan adalah seperti ujian dan tekanan darah, indeks jisim tubuh (BMI), pemeriksaan paras glukos, pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dan kempen menderma darah dan senaman 'Qigong,.
Peserta senaman 'QiGong' berpeluang menyertai perbincangan kumpulan rakan sebaya yang merupakan perkongsian pengalaman dan pengetahuan tentang penyakit kanser dan cara-cara untuk menghadapinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: