Sunday, May 6, 2012

Dingdong cemburukan kekasih


DINGDONG DANTES bersama kekasihnya Marian Rivera.


AWALNYA jejaka tinggi lampai ini kelihatan malu-malu. Senyum simpul yang terpancar di wajahnya, sudah cukup untuk menjelaskan bahawa pelakon kacak dari Filipina ini seorang yang merendah diri.

Sejenak kemudian, Dingdong Dantes mulai selesa. Itu penampilan kedua buatnya berdepan media di Kuala Lumpur.

Diajukan soalan sama ada dia benar-benar seorang yang sangat pemalu, dengan yakin Dingdong menjawab: "Tidak, saya bukan pemalu."

Setelah ditebak dengan pelbagai soalan, barulah pemilik nama penuh Jose Sixto Raphael Gonzalez Dantes III melepaskan sifat lahiriahnya. Nyata lelaki berkulit putih kemerah-merahan itu seorang yang peramah dan gemar bergurau.

Kepada peminat yang kurang arif tentangnya, figura berketinggian 180 sentimeter itu sebenarnya sedang mencuri tumpuan peminat di sini setelah muncul menerusi beberapa buah drama termasuk Marimar, Dyesebel dan Stairway To Heaven.

Kejayaan membawa watak dalam drama-drama romantik serta fizikal yang kacak menjadi bonus buat anak kelahiran Quezon City, Filipina itu dipuja di sini.

"Terima kasih buat peminat Malaysia kerana menerima saya. Jujurnya saya terkejut dengan penerimaan ini," ucap Dingdong yang berada di ibu negara selama tiga hari pada minggu lalu.

Dingdong melawat Malaysia buat kali kedua bagi mempromosikan drama bersiri Filipina terbaharu di slot Telenovela TV3 berjudul Endless Love.

Bermain dengan karakter-karakter romantik tidak pernah membuatkan Dingdong, 32, berasa bosan, bahkan kerja itu memberinya kelebihan untuk dikenali ramai.

Sempat bergurau sebelum menyambung perbualan, kata Dingdong, lambakan lakonan drama romantik turut mempengaruhi diri untuk berkarakter romantik walaupun tidak berada di lokasi penggambaran.

"Saya mula berlakon sejak sepuluh tahun lalu, saya sudah biasa dengan genre ini, tetapi tidak pernah bosan. Sebenarnya setiap kisah cinta boleh disampaikan menerusi ribuan cara yang berbeza.

"Di Filipina, drama romantik paling diminati. Sebab itulah warga Filipina romantik orangnya," gurau Dingdong yang disambut gelak ketawa.

Lakonan romantik sudah menjadi asam garamnya, namun Dingdong yang sudah membintangi lebih 50 buah drama dan filem itu belum bersedia untuk duduk di kerusi pengarah.

Dia yang turut muncul dalam filem You To Me Are Everything bagaimanapun berjanji kepada diri sendiri untuk bergelar pengarah setelah puas menimba pengalaman sebagai aktor.

"Mungkin saya akan mengarah dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang. Saya masih menimba pengalaman dalam bidang lakonan kerana banyak lagi yang harus dipelajari.

"Saya percaya, semakin meningkat usia, semakin sesuai untuk menjadi seorang pengarah yang baik kerana telah banyak pengalaman yang ditimba," katanya yang mengidamkan watak sebagai seorang gay suatu masa nanti.

Menerusi drama Endless Love, Dingdong turut bergandingan di samping teman wanitanya, Marian Rivera. Tidak lokek berkongsi kisah peribadi, Dingdong mengakui walaupun hubungannya dengan Marian masih utuh, dia tetap cemburukan Marian jika dia berlakon di samping lelaki lain.

"Saya masih menunggu masa untuk melamar Marian. Dia seorang wanita yang memahami. Kami berkongsi minat menonton wayang dan melancong," cerita Dingdong yang kini sedang menamatkan pengajian ijazahnya dalam bidang Pengurusan Tekno di Universiti West Negros, Bacolod, Filipina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: