Thursday, May 24, 2012

Gabungan kreativiti, kesabaran

HIDUP...tampak hidup dengan teknik tiga dimensi pada gulungan kertas.
HIDUP...tampak hidup dengan teknik tiga dimensi pada gulungan kertas.

LEKA melihat jari anak muda ini melipat dan menggulung pelbagai ukuran kertas. Bukan calang-calang orang mampu melakukannya, tanpa kreativiti serta kesabaran tinggi sudah pasti hasilnya kurang memuaskan.

Quilling atau seni menggulung kertas merujuk kepada penghasilan kraf kertas untuk dijadikan aneka bentuk yang kemudian dirangkai menjadi suatu karya seni yang indah.

  • Foto

    BAHAN...sediakan kertas (digunting panjang), gunting, gam, pembaris bulat dan peralatan khusus membuat gulungan kertas.

  • Foto

    BENTUK...ambil kertas sudah dipotong dan lipat menjadi bentuk kuntuman bunga.

  • Foto

    GAM...pastikan anda tidak lupa melekatkan bahagian hujungnya supaya bentuk itu kekal seperti digubah.

  • Foto

    GULUNG...untuk membuat bahagian tengah, gulung kertas menggunakan alat penggulung dan lekatkan bahagian hujung.

  • Foto

    CANTUM...cantumkan setiap kelopak menjadi bentuk bunga bersama gulungan bulat di tengah. Untuk membuat daun, lakukan teknik menggulung yang sama kemudian bentukkan menjadi daun dan lekat untuk kekal lama.

  • Foto

    CANTIK...seni gulungan kertas menghiasi penanda buku dengan gabungan warna menawan.

  • Foto

    MERAH...pemilihan warna memainkan peranan penting.

Ia berasal sejak 500 tahun dulu di Eropah sejak abad ke-17 dengan nama paper filigree atau roll work. Khususnya di Perancis dan Itali, seni ini banyak digunakan golongan istana untuk menghiasi perhiasan bersifat keagamaan.

Namun kini, seni menggulung kertas semakin meluas dan digunakan sebagai hiasan kad cenderahati, perkahwinan, hari jadi, penanda buku serta hiasan buku tetamu.Menurut Mohd Namizam Muda, 24, sejak kecil dia berminat melakukan kerja seni yang rumit. Setiap hari berhadapan dengan kertas pelbagai warna, dipotong halus kemudian digulung menjadi bentuk bunga atau lakaran haiwan menjadi perkara biasa. Ibarat sebuah ukiran, setiap hasil karya seninya memang bernilai serta mempunyai peminat tersendiri.Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Industri, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Namizam berkata, dia berjinak-jinak dengan seni menggulung kertas selepas melayari Internet.


“Sewaktu melayari Internet, saya menemui dua blog iaitu miyyahatkertas dan simplerhyme menulis secara terperinci mengenai kraftangan ini.

“Terpaut dengan paparan gambarnya, saya memberanikan diri menghubungi mereka dan sejak itu, langsung serius dengan seni quill,” katanya yang menerima tempahan menerusi laman sosial facebook Namizam dan blog www.miezam.blogspot.com.

Biasanya, idea diperoleh daripada pelanggan kemudian Namizam cuba menghasilkan mengikut kombinasi warna kertas yang dibentuk menjadi bunga. Untuk satu bentuk quill, ia berharga RM40 manakala yang memaparkan imej tiga dimensi (3D), nilainya boleh mencecah sehingga RM120 selain quill berbentuk kad bercorak ringkas dijual pada harga RM3 ke atas.

Agar nampak menarik dan hidup, Namizam menggunakan kertas berwarna berukuran 0.1 milimeter (untuk perincian bentuk), 0.3 milimeter (motif dan corak) dan 0.4 milimeter bagi membentuk rekaan timbul dengan struktur.

Katanya, dia menerima banyak tempahan kad yang biasanya dapat dihasilkan dalam masa empat jam bergantung kepada corak digunakan.

“Sebelum menghasilkan sesuatu kad, saya sudah mempunyai gambaran bentuk yang akan dihasilkan, gabungan warna serta susunan pada kad. Semua ini memainkan peranan penting kerana kombinasi kesemuanya akan menghasilkan seni yang unik dan diterima ramai,” katanya yang turut mengadakan kelas menggulung kertas bagi mereka yang berminat.

Tambahnya, kreativiti, kesabaran dan ketelitian dalam menentukan corak susunan objek selain tidak berputus asa memperbaiki teknik lakaran adalah ciri-ciri diperlukan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dalam bidang ini.

1 comment:

  1. slm di mane ade jaul set altan quiling kad? dan berpa harga nye..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: