Monday, May 28, 2012

Bertudung tak halang berskuba

APABILA kalangan peserta selam skuba wanita bertemu sesama mereka, pasti banyak perkara boleh dibincangkan.

Ia termasuk bertukar-tukar pandangan mengenai dunia skuba selain benda-benda yang menarik ditemui ketika menyelam.

Inilah dunia skuba; Apabila para pesertanya bertemu, topik hangat diperkatakan ialah lokasi selam yang menarik, benda-benda seperti ikan dan terumbu karang yang ditemui, teknik-teknik menyelam dan banyak lagi.

Setiap penyelam wanita mempunyai persepsi tersendiri apabila melakukan selaman berhubung minat dan penemuan ketika berada di dasar laut.

Begitu juga dengan program LOB DIVhER yang mengumpulkan sejumlah besar penyelam wanita dalam kapal.

Program yang dianggap mencatat sejarah itu mempertemukan 32 penyelam wanita dari pelbagai latar belakang.

Sesuatu yang menarik ialah terdapat kalangan penyelam wanita itu yang memakai tudung.

Mereka menganggap dunia skuba tidak menghalang pembabitan wanita bertudung.

Bagi penyelam wanita yang tidak bertudung pula, program LOB DIVhER membolehkan mereka menjalankan aktiviti skuba dengan selesa.

''Saya rasa lebih selesa memakai tudung ketika menyelam.

''Rambut saya dapat ditutup rapi dan ia tidak mengganggu aktiviti ketika menyelam. Oleh itu saya dapat tumpukan perhatian ketika menyelam,'' kata Siti Sarah Hussin, 31.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Islamic Tourism Centre menambah, aktiviti LOB DIVhER perlu diperluaskan kerana masih ramai penyelam wanita tidak berpeluang mengikuti aktiviti berkenaan.

Bagi Wannoraini Abdul Latif, 33, walaupun bertudung, dunia skuba tidak menghalang mereka untuk menyelam dan menikmati keindahan dasar laut.

Dia yang merupakan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Alor Gajah, Melaka, memberitahu, program LOB DIVhER merupakan yang pertama kali seumpamanya.

''Saya dapat bertemu rakan-rakan baru dari kalangan wanita yang menceburi dunia skuba ini,'' katanya.

Musalmah Mohd. Akil, 33, pula berkata, pembabitannya dalam dunia skuba sambil memakai tudung tidak menjadi masalah.

''Ramai rakan-rakan saya yang lain turut memakai tudung. Tambahan pula sekarang ada banyak pakaian selam untuk wanita dijual di kedai-kedai dan ia juga sesuai untuk wanita bertudung.

''Selain itu, program LOB DIVhER ini bukan sahaja dapat menemukan para penyelam wanita, malah membolehkan wanita bertudung menjalankan aktiviti dengan selesa,'' katanya yang merupakan seorang Pegawai Pelancongan Tourism Malaysia Johor.

Seorang lagi peserta, Syafinaz Abd. Karim, 21, seorang pelajar UiTM Melaka berkata, dia seronok kerana dapat menyertai aktiviti tersebut yang mengumpulkan ramai penyelam wanita.

''Saya harap dapat menyertai program seumpamanya pada masa hadapan, malah ramai rakan-rakan saya yang berminat tetapi tidak dapat menyertainya kerana tempat yang terhad,'' katanya.

Editor Safiyya, TV9, Mas Shury, 24, pula percaya jika program itu mendapat kerjasama dari ramai pihak dan diperluaskan ke destinasi lain seperti Terengganu dan Pahang, ramai penyelam wanita yang berminat menyertainya.

''Ia bukan sahaja dapat mengumpulkan para penyelam wanita untuk menjalankan aktiviti di atas kapal, malah memperkenalkan destinasi menarik untuk para penyelam,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: