Monday, May 7, 2012

Diberi layanan VIP

LAZIMNYA anak-anak yatim diraikan dengan makanan yang lazat, persembahan nyanyian serta lawak jenaka di hotel bertaraf lima bintang.

Adakalanya juga mereka dibawa melawat ke tempat menarik secara rombongan, semuanya dengan niat untuk memberi pengalaman istimewa kepada anak-anak yang tidak punya ibu dan bapa ini.

Namun Telekung Project dengan kerjasama Seri's Spa memberikan satu pengalaman yang cukup berbeza.

Dengan layanan bagaikan orang kenamaan (VIP), anak-anak yatim itu mendapat khidmat rawatan di spa dan layanan oleh sukarelawan yang dipanggil 'mama' dan 'papa' sepanjang acara berlangsung.

Peluang dipotong kuku oleh ahli terapi, diurut dan dibelai tangan, rambut dipotong dan kemudiannya dicuci memang menghiburkan.

Buat pihak yang menganjurkan pula pasti begitu bertuah sekali kerana mendapat peluang mengusap kepala anak-anak yatim yang telah diberitahu oleh Rasulullah SAW memang banyak kelebihannya.

Acara yang dipanggil The Gathering; Wash & About menyaksikan perhimpunan ceria 60 anak yatim dan anak HIV dari Rumah At-Taqwa dan Solehah.

Jangan katakan anak-anak, penjaga, ibu bapa juga teruja melihat dekorasi khemah, tempat makan, kerusi meja, susunan belon dan cenderahati yang semuanya menggunakan warna tema merah jambu dan kelabu.

Dalam program yang bermula dari pukul 11 pagi hingga 3 petang itu, anak-anak yatim itu diraikan dengan penuh ceria oleh sahabat sukarelawan dari Telekung Project.

Malah mereka turut diberi beg cenderahati yang setiap satunya mengandungi kit penjagaan kebersihan diri seperti tuala, sabun, berus gigi, ubat gigi, bedak, kepit kuku dan syampu.

Pengasas Telekung Project, Norazila Aziz berkata, program itu bermatlamat meraikan anak yatim di samping mengeratkan silaturrahim dengan mereka.

Pada masa sama katanya, program tersebut juga mempunyai bertujuan mengajar anak-anak tentang kebersihan.

"Sambil berukhuwah, objektif perhimpunan ini juga untuk mendidik tentang kesedaran kepentingan kesucian dan penjagaan diri.

"Dengan tema Kami Suka Kebersihan, kami mahu mendidik anak-anak ini menyintai kebersihan sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah," katanya.

Sementara itu, pemilik Seri's Spa, Seri Syamsidatul Safrun Mohd. Thani berkata, idea mengadakan program The Gathering; Wash & About timbul apabila memikirkan apa yang boleh diberi kepada anak-anak yatim sebagai meraikan mereka.

"Dengan adanya spa, saya memberikan apa yang saya mampu untuk mereka. Mahu mereka merasa pengalaman tersebut yang amat jarang dinikmati oleh kanak-kanak lain.

"Alhamdulillah sambutan sungguh menggalakkan. Kami menerima kunjungan dari ramai sukarelawan dan banyak juga makanan yang semuanya hasil sumbangan," jelas Seri.

Para sukarelawan yang berminat ikuti program penjagaan kebersihan di rumah-rumah kebajikan ini boleh kunjungi laman Facebook Seri's spa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: