MENJADI rutin Zaridah Abu Zarin, 39, setiap petang menghantar anaknya ke sekolah untuk menjalani latihan rugbi. Tamat latihan, tanpa lewat sesaat Zaridah pasti akan berada di perkarangan sekolah untuk menjemput anak tersayang.
Tapi petang itu tidak seperti biasa, padang kosong dan kelibat anaknya juga tidak kelihatan.
"Saya hairan lalu bertanya kepada salah seorang pelajar yang kebetulan lalu di situ. Agak mengejutkan saya apabila pelajar itu memberitahu latihan rugbi telah dibatalkan kerana guru tidak dapat hadir. Perasaan risau memuncak, lalu saya bertanya kepada pegawai keselamatan sekolah ke mana agaknya anak saya pergi.
"Mengikut makluman daripada pegawai keselamatan tersebut, majoriti remaja di sekolah itu gemar berkunjung ke kafe siber yang terletak tidak jauh dari sekolah.
"Dengan penuh curiga saya mula melakukan penyiasatan sendiri dan ternyata anak saya berada di situ. Dalam 'siasatan tidak rasmi' itu saya dapati budak sekecil usia empat tahun juga tekun bermain game di situ. Penjaga kafe siber yang saya temui dengan bersahaja berkata dia menerima siapa saja sebagai pelanggan.
"Ketika saya sampai di komputer yang digunakan anak saya, saya mengetuk mejanya. Bayangkan tiada respons darinya dek terlalu khusyuk bermain game.
"Saya membawa pulang anak saya bersama seorang lagi rakannya. Rakan anak saya beria-ia mengaku itu kesalahan dia dan mengambil tanggung jawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.
"Sempat saya menasihati kedua mereka supaya tidak ketagih untuk bermain komputer di kafe siber, namun saya sedar nasihat semata tanpa ada tindakan yang sepatutnya memang tidak berguna," ujar Zaridah.
Memikirkan tentang alternatif aktiviti yang lebih bermanfaat dan selamat untuk remaja seperti anak tunggalnya, Zaridah tekad menubuhkan U'th Club bersama rakan kongsinya, Michelle Wong.
Pada awal penubuhannya dia membayangkan kelab tersebut sebagai pusat 'terapi' bagi anak-anak remaja merawat ketagihan terhadap permainan komputer di kafe siber dengan melakukan aktiviti yang lebih menarik.
Dia tidak mahu aktiviti bermain permainan komputer sehingga berjam-jam melalaikan anaknya dan remaja sebaya yang lain.
"Saya percaya kebimbangan saya ini turut dikongsi oleh ramai ibu lain di luar sana yang anak-anak mereka lebih banyak menghabiskan masa di kafe siber berbanding di rumah.
"Setakat rasa bimbang tidak mampu mengubah apa-apa. Jadi saya fikir, saya perlu berbuat sesuatu," katanya.
Penubuhan U'th Club dibuat bukan secara melulu tanpa persediaan, sebaliknya Zaridah menggunakan pengalamannya sebagai pengurus di sebuah pusat asuhan kanak-kanak, Westminster Children Society di London selama beberapa tahun sebagai panduan untuk memulakan projek tersebut.
Malah sekembalinya ke Malaysia selepas 15 tahun menetap di United Kingdom (UK), dia membuka pusat jagaan harian kanak-kanak yang diberi nama Kid'sQ.
"Untuk memahami sesuatu perkara itu kita mesti bermula dari asas. Ketika di London, adik saya pernah datang ke tempat kerja saya dan melihat sendiri bagaimana sistem jagaan harian kanak-kanak di sana yang begitu mengagumkan.
"Saya juga mengambil masa tiga tahun berkursus sebelum layak bergelar pelatih di pusat jagaan tersebut, ia satu persediaan yang holistik.
"Kid's Q untuk kanak-kanak ini sudah tiga tahun beroperasi dan selepas insiden yang berlaku pada anak tunggal saya, jadi saya berfikir apa salahnya ruang rumah teres dua tingkat lot tepi ini dimanfaat untuk remaja pula.
"Saya dapati anak-anak remaja kini tiada arah tuju, justeru saya merangka beberapa aktiviti untuk mereka di U'th Club.
"Sebagai permulaan saya telah menghubungi seorang rakan saya di UK untuk mengadakan aktiviti seperti drama. Ini salah satu aktiviti yang boleh menaikkan keyakinan diri remaja di samping membantu mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik," jelas Zaridah yang ditemui di U'th Club, Selangor baru-baru ini.
Walaupun baru seminggu dilancarkan, Zaridah berkata, U'th Club telah berjaya mengumpul 19 ahli yang terdiri dari 11 lelaki dan lapan perempuan bermula dari usia sembilan hingga 27 tahun.
"Saya tidak merancang aktiviti mereka sebaliknya memberi kepercayaan kepada anak-anak ini menentukan apa yang mereka mahu dan minat.
"Sudah tentu pendapat mereka berbeza dengan kita dan apabila kita menerima cadangan mereka pasti timbul rasa dihargai.
"Ada juga ahli yang berusia sembilan tahun mencadangkan kelas komputer yang memberi panduan bagaimana membuat blog dan menubuhkan boredom club, bukankah itu satu cadangan yang sangat mengagumkan dari seorang anak kecil?
"Selain itu, ada juga remaja yang mencadangkan untuk mengadakan perlawanan sepak takraw, melawat tempat menarik dan saya juga galakkan mereka agar menubuhkan jawatankuasa mereka sendiri.
"Ini boleh memupuk sifat bertanggung jawab dan yang lebih penting segala apa yang mereka lakukan itu di bawah pengawasan kami dan bukan perkara sia-sia.
"U'th Club juga bertuah kerana mendapat penasihat dari pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Zahya Hanafi. Selain saya, kelab ini juga diterajui Michelle Wong dan Eleen Lopez.
"Saya juga telah berbincang dengan beberapa guru kaunseling dari beberapa buah sekolah untuk menambah baik program yang akan berlangsung di sini," katanya.
Apa yang penting kata Zaridah, 'terapi' yang dilakukan itu dapat mengurangkan atau menghilangkan terus ketagihan atau keinginan golongan remaja tersebut terhadap permainan komputer di kafe siber.
Setakat ini U'th Club dibuka setiap hari Sabtu dan Ahad bertempat di Jalan Kiara SD 11/2F, Bandar Sri Damansara.
Sesiapa saja boleh menyertainya tanpa syarat-syarat tertentu dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan, Zaridah tidak menolak kemungkinan untuk memperluaskan kelab tersebut bagi memenuhi keperluan anak-anak remaja di kawasan lain.
"Memang usaha ini nampak kecil, tetapi sesuatu perlu dimulakan dan saya percaya U'th Club mampu menjadi alternatif lebih baik kepada anak-anak remaja berbanding jika mereka melangkah ke kafe siber," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: