Sunday, May 27, 2012

Cilla bukan kaki kikis


PARA tetamu menjangkakan mereka sedang menghadiri majlis sambutan hari graduan Chan.


PADA Sabtu 19 Mei 2012, pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, 28, berkahwin dengan kekasihnya Priscilla Chan setelah sembilan tahun hidup bersama.

Pasangan ini disatukan dalam satu majlis sederhana di belakang rumah mereka di Palo Alto, California, Amerika Syarikat (AS).

Kira-kira 100 orang tetamu yang hadir terkejut kerana hadirin menyangka majlis tersebut sempena meraikan wanita yang menambat hati lelaki genius itu lulus dalam bidang perubatan daripada Universiti California.

Mungkin ramai yang jarang mendengar nama Chan akan tertanya-tanya siapakah wanita yang mampu merebut hati lelaki dengan kekayaan bernilai RM52 bilion itu?

Jauh daripada imej seorang perempuan kaki kikis, Chan yang manja dipanggil Cilla oleh Zuckerberg ternyata memiliki pencapaiannya sendiri.

Berusia 27 tahun, dia ialah pemegang Sarjana Biologi dari Universiti Harvard pada tahun 2007.

Cinta Zuckerberg pada wanita itu menyebabkan dia melancarkan kempen menderma organ di laman Facebook.

Dalam tempoh yang singkat sahaja ribuan penderma dari seluruh dunia telah mendaftar.

"Cilla akan menjadi seorang doktor pediatrik. Setiap kali makan malam perbualan kami berkisar mengenai Facebook dan kanak-kanak yang dia jumpa," cerita Zuckerberg kepada ABC News.

Namun, ada beberapa sisi kelainan wanita keturunan Cina dari Massachussetts itu yang menyebabkan juwatan muda itu terpikat.

Cilla memberitahu akhbar The New Yorker, walaupun berkahwin dengan pemuda terkaya di dunia, dia cuba untuk hidup seperti keluarga biasa.

"Kami berpegang teguh dengan tujuan hidup, apa yang kami yakini serta apa yang kami berdua sukai," katanya.

Terdapat banyak gambar yang diambil oleh jurugambar paparazi yang menunjukkan hobi pasangan ini besiar-siar di taman, bermain boling atau bermain kad terup.

Cilla juga fasih berbahasa Inggeris, Sepanyol, dan tentunya Cina. Zuckerberg sendiri belajar bahasa Cina dengan Cilla sebelum melancong ke China pada tahun 2010.

Ironi, pertemuan mereka bermula semasa Cilla belajar dalam bidang biologi di Universiti Harvard.

"Saya sedang menunggu giliran untuk masuk ke sebuah bilik air semasa menghadiri sebuah parti anjuran rakan-rakan.

"Dia (Zuckerberg) seorang jejaka yang lurus. Tidak ramai lelaki yang bersikap sepertinya," jelas Cilla.

Peraturan


CHAN bersama Zuckerberg ketika bersiar-siar di sebatang jalan di Fuxing, Shanghai, China pada 27 Mac 2012.


Sebaik sahaja menamatkan pengajian pada tahun 2007, dia berpindah ke San Jose, California. Di situ dia bertugas selama setahun sebagai guru Sains kepada pelajar gred empat dan lima.

Dia mengajar di The Harker School. Mereka masih berhubung biarpun selepas Zuckerberg tidak lagi menyambung pengajiannya dan bekerja dengan syarikat yang dikenali sebagai The Facebook.

Zuckerberg pernah memberitahu ABC News bahawa perbincangannya dengan Cilla menimbulkan inspirasi untuk menggalakkan pendermaan organ menerusi Facebook.

Ketika berdepan keadaan yang memerlukan keputusan besar, Cilla dan Zuckerberg akan berbincang secara serius sehingga mereka mencapai keputusan yang dikehendaki.

Kisah perniagaan turut mendekatkan mereka. Cilla pernah membantu Zuckerberg menyelamatkan Facebook ketika Yahoo! berusaha membeli syarikat tersebut pada harga RM4 bilion.

"Saya masih ingat bagaimana kami berdebat tentang tawaran Yahoo! itu.

"Namun, kami berusaha untuk mendekatkan diri dengan matlamat dan apa yang kami gemar lakukan dalam hidup," ujar Cilla.

Dalam perhubungan, Cilla juga seorang yang lurus. Dia seolah-olah meletakkan peraturan yang perlu dipatuhi agar hubungan romantik tersebut berkekalan.

Dalam usaha untuk mengurangkan sikap gila bekerja Zuckerberg, Cilla memberikan syarat agar mereka keluar makan malam sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

Mereka tidak boleh bertemu di apartmen tempat Zuckerberg tinggal mahupun pejabat Facebook.

Lebih 'menyesakkan' Zuckerberg apabila pada September 2010 wanita itu mengambil keputusan untuk tinggal bersamanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: