BANYAK cerita unik yang boleh ditemui di ladang kelapa sawit milik Sime Darby Plantation di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor.
Pengunjung bukan sekadar menempuh perjalanan yang diisi dengan pemandangan ribuan pokok kelapa sawit bahkan keramahan kakitangan serta pekerja ladang yang tidak lokek dengan senyuman serta membantu apabila diminta pertolongan.
Keadaan sekeliling pasti membuatkan hati menjadi damai, terasa sisi keindahan ladang yang menghijau dan diselubungi kesunyian ini. Hasilnya, hati menjadi tenteram.
Malah, ketenangan itu ibarat simbolik yang menjurus kepada penubuhan Rumah Ikhtiar yang menjadi hab kepada bekas penagih dadah untuk hidup berdikari.
Uniknya, Sime Darby bukan sekadar bermurah hati menyediakan 10 buah rumah, surau dan sebuah rumah tetamu untuk penghuninya malah memberikan mereka kerja sebagai pemotong rumput di ladang.
Kunjungan kru Jurnal baru-baru ini disambut mesra oleh salah seorang bekas penagih dadah yang juga antara pengasas pusat pemulihan itu iaitu Md. Hanapiah Abu Shahir, 58. Dia berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Bicaranya disulami ayat-ayat yang merendah diri. Katanya, dia tidak bersekolah tinggi, sekadar tamat tingkatan tiga.
Namun, cara pemakaiannya semasa ditemu bual begitu segak iaitu lengkap berpakaian baju kemeja dan seluar slack.
Hanapiah memulakan cerita gelapnya bergelumang dengan najis dadah yang seharusnya menjadi iktibar kepada orang lain.
Dia mengakui hidupnya selama 35 tahun musnah gara-gara menjadi hamba dadah jenis heroin.
Titik perubahan hidupnya bermula semasa berumur 51 tahun, selain baru memperoleh dua anak yang kini berumur tiga tahun dan setahun.
Dugaan yang dihadapinya bukan calang-calang. Setiap kali membawa anaknya makan di restoran atau ke klinik bagi mendapatkan rawatan, ramai orang yang menyangka kedua-dua budak itu ialah cucunya.
"Tetapi apabila saya menjelaskan keadaan sebenar ramai yang terkejut besar dan meminta saya mengesahkan sekali lagi fakta itu.
Kerja hotel
"Saya sudah lali dengan tanggapan sebegitu kerana saya telah berubah walaupun mengambil masa yang lama," tuturnya.
Hanapiah ternyata bijak merancang masa depan keluarganya dengan membuat simpanan secara tetap ke dalam akaun simpanan anaknya selain membeli aset dalam bentuk kenderaan dan rumah.
"Kematian ialah perkara yang pasti dialami manusia tetapi sekiranya kita menyediakan bekalan terlebih dahulu, kehidupan keluarga kelak menjadi lebih baik.
"Saya seorang suami yang bertanggungjawab terhadap keluarga," katanya.
Bercerita bagaimana dia terjebak dengan najis dadah, air mata lelaki ini mula mengalir.
Ceritanya secara skeptikal, pengaruh rakan-rakan dan ingin mencuba menjadi titik pencetus dia terlibat dengan dadah.
"Saya bekerja di hotel sejak berumur 18 tahun. Gaji dan bayaran tip diterima cukup lumayan hingga membolehkan saya membeli dadah setiap hari.
"Hanya dengan membawa beg pelanggan hotel ke bilik, saya boleh memperoleh RM40, nilai yang lumayan pada zaman 70-an," katanya.
Dia menghisap heroin sekurang-kurangnya tiga kali sehari.
"Tetapi saya tidak pernah dibuang kerja walaupun telah menerima 17 kali surat amaran kecuali semasa ditangkap pihak berkuasa kerana membeli dadah.
"Ujian air kencing saya positif. Sebaik sahaja keluar dari lokap, saya terus dibuang kerja," ujarnya.
Tutur Hanapiah, pelbagai pekerjaan dilakukannya selepas itu seperti mencuci kereta, bekerja kontrak dan menjadi pekerja am di pasar raya.
"Namun saya masih menghisap heroin. Saya mengambil keputusan menyertai program Rumah Ikhtiar pada tahun 2002.
"Ia hasil ajakan rakan saya yang juga pengasas rumah ini, Mohd. Haffney Abd. Rahman. Saya menemuinya semasa saya mendapat rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur," jelasnya.
Ujarnya sejak menetap di Rumah Ikhtiar, dia berhasil membuang ketagihan dadah sepenuhnya.
"Saya mendapat kerja kontrak daripada Sime Darby untuk memotong rumput. Syukur pendapatan yang diperoleh agak baik.
"Ia lebih daripada cukup asalkan diri sendiri ingin berubah," katanya dengan penuh yakin.
Hazli Iskandar Wahib, 31, yang duduk bersebelahan dengan Hanapiah di kerusi sofa empuk seakan-akan tidak sabar menceritakan kisah hidupnya.
Dia pernah bekerja sebagai pembantu makmal, kerani dan peneroka tetapi masih sukar melepaskan diri daripada ketagihan dadah.
"Ketagihan ganja menyebabkan saya tidak mampu membeli beras dan susu anak walaupun pendapatan bulanan pada masa itu mencecah ribuan ringgit.
Takut kahwin
"Saya terpaksa meminjam daripada jiran untuk mendapatkan bekalan itu. Baju dan pakaian keluarga hanya ditukar setahun sekali, itu pun semasa Hari Raya Aidilfitri," katanya.
Dia juga beberapa kali ditangkap pihak berkuasa sebelum dijamin. Bagaimanapun, semua itu tidak membawa sebarang erti kepadanya.
"Sampaikan semasa datang ke rumah saudara-mara sekali pun, perkara utama yang mereka lakukan ialah menyorokkan dan menyimpan beg duit kerana khuatir akan dikebas oleh saya.
"Tetapi sejak berada di rumah ini pada tahun 2008, banyak perubahan yang saya alami menyebabkan saya rintang dengan dadah," ceritanya.
Kisah salah seorang penghuni, Zainudin Abdul Rahim, 48, agak berbeza kerana dia bertekad tidak akan berkahwin selagi tidak pulih sepenuhnya.
Ternyata, kisah silamnya bukan calang-calang kerana pernah bekerja sebagai pelukis pelan dengan gaji yang bagus tetapi najis dadah membuatkan Zainuddin tewas.
Walaupun beberapa kali keluar masuk pusat serenti, pusat pemulihan dadah persendirian malah sekolah pondok selama tujuh tahun, ia belum cukup bagi lelaki yang tidak lekang dengan senyuman ini.
|
|
"Setiap kali mendapatkan rawatan dan pemulihan saya berhenti menghisap dadah. Tetapi sebaik sahaja keluar, 'benda' itu yang dicari dahulu.
"Akhirnya pihak keluarga dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menasihatkan saya menyertai Rumah Ikhtiar pada tahun 2004. Hasilnya, saya tidak pernah menyentuh najis dadah lagi.
"Saya takut keluar dari rumah ini kerana khuatir akan menagih dadah semula," ujarnya.
Bercerita mengenai pendiriannya yang tidak ingin berkahwin di sebalik usia yang semakin lanjut Zainuddin memberitahu, dia takut tidak dapat berlaku adil kepada keluarganya kelak.
"Saya bimbang akan mengabaikan isteri dan anak. Bohonglah jika lelaki tidak ingin mempunyai teman hidup, tetapi ramai rakan penagih dadah yang gagal dalam perkahwinan dan perkara itu sentiasa berlegar-legar dalam fikiran.
"Saya lemah apabila berada dalam keadaan tertekan, jadi lebih baik tidak berkahwin dahulu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: