Sunday, May 27, 2012

Standard Chartered Malaysia tempat ke-3



SEJAK berusia tujuh tahun lagi, Sashi Kumar a/l Thanasegaran sudah jatuh cinta dengan sukan bola sepak. Bermain di padang Sekolah La Salle, Kuala Lumpur, ketika itu selain pasukan negeri Selangor yang menjadi kesayangan Sashi, sebuah lagi pasukan antarabangsa yang meniti bibirnya ialah Liverpool.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, pasukan Liverpool sememangnya berada di puncak prestasi lantaran menjuarai pelbagai gelaran daripada Liga Perdana England, Piala Liga, Piala FA dan Piala Eropah. Bapa saudaranya, yang juga peminat fanatik Liverpool menambahkan lagi tempias pengaruh kepada Sashi yang ketika itu baru berada di bangku sekolah rendah.

Hampir 30 tahun, menyanjung pasukan itu mengatasi pasukan Inggeris atau Eropah yang lain, tidak hairanlah setiap kali ada saja perlawanan melibatkan pasukan yang ditubuhkan pada tahun 1892 itu, Sashi, 35, pasti setia menanti siaran langsung biarpun pada awal pagi.

Namun, petang tanggal 10 Mei lalu ialah hari yang tidak boleh dilupakan Sashi. Selama hampir 30 tahun menyaksikan Stadium Anfield menerusi kaca TV, hari itu stadium keramat tersebut betul-betul berada di depan matanya.

Bak pemain Liverpool

Menambahkan lagi momen magis dalam hidupnya itu, apabila Sashi bakal melalui detik-detik bak seorang pemain Liverpool sebenar. Dia bukan sahaja akan menggunakan bilik persalinan dan melalui terowong laluan pemain di Anfield, bahkan lebih manis dapat bermain bola di padang yang sama di mana pemain Liverpool beraksi.


LEBIH 80 pemain daripada 10 negara bergambar kenangan dengan pemain legenda dan jurulatih Liverpool di akademi bola sepak pasukan itu.


"Ia adalah pengalaman seumur hidup yang tidak mungkin dilupakan," demikian ungkap peminat tegar Liverpool itu mengenai pengalamannya.

Saat but bolanya memijak padang rumput Anfield, Sashi menyedut nafas panjang. Tidak berlari terus ke tengah padang, Sashi melihat sekeliling padang Anfield memikirkan itulah stadium yang menjadi kekagumannya sejak tiga dekad lalu. Bahkan, itulah rumput hijau yang menjadi 'karpet' setiap kali pemain kesayangannya Steven Gerrad beraksi.

"Saya telah mendapat peluang menonton perlawanan Liverpool dan Chelsea malam tadi. Tetapi apa yang saya nikmati hari ini (bermain di padang Anfield) adalah luar biasa. Bukan semua orang sewenang-wenang boleh masuk memijak dan bermain bola di padang Anfield," luah Sashi.

Beliau yang bertindak sebagai jurulatih dan juga pemain bersama lima lagi rakan pasukannya terbang ke Liverpool, United Kingdom bagi mewakili Standard Chartered Malaysia ke pertandingan bola sepak lima sebelah merebut Piala Standard Chartered 2012.

Pasukan Standard Chartered Malaysia turut diwakili oleh Muhammad Nazrien Faizal Azmi, 22; Nuraznizam Mazelan, 24; Muhamad Azri Mat Aris, 25; Mohd. Azmir Yahaya, 24 dan Muhammad Iqbal Roselan, 23.

Mereka terpilih mewakili Standard Chartered Malaysia selepas menjuarai pertandingan di tanah air melibatkan kakitangan syarikat perbankan itu.

Persaingan 10 buah negara

Piala Standard Chartered 2012 merupakan kejohanan sulung yang diadakan oleh Standard Chartered dengan kerjasama Liverpool Football Club (LFC). Ia keistimewaan khas yang diberikan oleh LFC untuk Standard Chartered sebagai penaja rasminya yang kini sudah memasuki tahun kedua.


PEMAIN Standard Chartered Malaysia melalui terowong dari bilik persalinan ke padang bak pemain pasukan Liverpool.


Dalam kejohanan itu sembilan pasukan lain yang turut bertanding termasuklah dari United Kingdom (UK), Thailand, Botswana, Nigeria, Singapura, Hong Kong, Bahrain, Indonesia dan India.

Apa yang membanggakan, biarpun menampilkan pemain-pemain yang bertubuh kecil, namun ia bukan penghalang untuk pasukan Standard Chartered Malaysia mencipta kejayaan.

Mereka berjaya mendapat tempat ketiga apabila menewaskan pasukan Standard Chartered United Kingdom dengan keputusan 2-1 dalam penentuan tempat ketiga/keempat.

"Pada mulanya kami memang agak berdebar, malah ada pemain yang gementar melihat pemain pasukan lawan yang bersaiz dua kali ganda daripada mereka.

"Namun, saya beri keyakinan kepada mereka agar menggunakan saiz tubuh yang kecil sebagai satu kelebihan," ujar Sashi yang mengakui dengan tubuh genit itu, pemainnya dapat bergerak lebih pantas dan mudah melolos diri daripada pertahanan lawan.

Sebelum itu di peringkat kumpulan B, Malaysia berjaya menjadi naib juara kumpulan apabila membenam Nigeria 2-1, menewaskan Thailand 1-0, seri 1-1 dengan Indonesia sebelum tewas 0-1 kepada Singapura.

Bagaimanapun, mereka ditunjuk jalan keluar daripada pentas final oleh Bostwana apabila tewas 1-3 melalui masa tambahan.

Seperti terbang ke bulan

Dalam pada itu, peserta Bostwana, Simon Rasetshwan, 40, pula tidak menyangka, dia dan rakan-rakannya akan diterbangkan ke Liverpool selepas memenangi kejohanan di peringkat negaranya.

"Saya menyangka kami ditipu atau lebih tepat lagi, penganjur di Bostwana hanya bergurau mengenai hadiah kejohanan.

"Rupa-rupanya kami bukan sahaja dibawa ke bumi Liverpool, bahkan diberi peluang berlatih selama dua jam dengan jurulatih Akademi Bola Sepak Liverpool dan menonton perlawanan Liverpool menentang Chelsea.

"Kalau anda tanya apa perasaan saya, ia seperti terbang ke bulan apabila diberi hadiah sebesar ini," kata Simon yang bertugas sebagai pegawai tentera Bostwana.


PENGALAMAN bermain di stadium keramat Liverpool, Anfield pasti tidak boleh dilupakan para pemain.


Dalam pada itu, Kapten pasukan Standard Chartered United Kingdom, James Perkins, 37, pula mengakui teruja menjadi tuan rumah menerima kunjungan sembilan lagi pasukan negara lain ke Liverpool.

"Kejohanan ini bukan sekadar memberi peluang kepada kakitangan Standard Chartered merasai atmosfera Anfield semata-mata, bahkan menjadi platform menjalinkan persahabatan.

"Jarang kami mendapat peluang seperti ini kerana biasanya bertemu dengan rakan dari negara lain dalam persidangan atau mesyuarat, tetapi pertemuan kali ini lebih santai," ujar Perkins yang bertugas di Jabatan Perbankan Korporat di London.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: