Monday, May 7, 2012

Rasheed juara Suara Sensasi@Uniten.com

RASHEED Taha (kiri) dinobatkan juara pertandingan karaoke Suara Sensasi@Uniten.com bagi kategori penuntut antarabangsa, baru-baru ini.

TUAH lagu Jangan Nakal nyanyian Alif Satar ternyata memihak kepada penuntut dari Sudan, Rasheed Taha apabila dia dinobatkan juara pertandingan karaoke Suara Sensasi@Uniten.com bagi kategori penuntut antarabangsa, baru-baru ini.

Rasheed yang tampil penuh bersahaja, berjaya menggamatkan Dewan Kuliah 1, Kolej Teknologi Maklumat, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dengan persembahan menarik selain memperdengarkan sebutan bahasa Melayu yang betul.

Pelajar berusia 21 tahun itu berjaya mengatasi saingan sengit empat peserta lain, iaitu tiga peserta dari Arab Saudi dan seorang dari Iran. Kemenangan itu membolehkan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Kuasa membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai dan hamper.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Mohmoud Zain dari Arab Saudi yang membawa lagu Insyaallah versi Melayu yang dipopularkan oleh Maher Zain dan tempat ketiga milik Yacoub Ibrahim juga dari Arab Saudi dengan lagu Kalau Cinta oleh Alif Satar.

Bagi kategori tertutup, juara disandang oleh Muhammad Haikal Mohd. Ramlee dengan lagu My Baby You yang juga merupakan pemenang.

Anugerah Persembahan Terbaik Keseluruhan. Nur Natasya Nabila yang membawa lagu Elegi Sepi berjaya meraih gelaran naib juara dan tempat ketiga dimenangi oleh Wan Mohd Arif Shafiq dengan lagu Romantis.

Bagi kategori terbuka, kelantangan vokal Siti Zaleha Zolkeply menerusi lagu Bertamu Di Kalbu membolehkan penuntut UiTM Shah Alam muncul sebagai juara.

Tempat kedua dimenangi oleh Raja Mohd. Fadhil dari UNITEN yang juga merupakan pemenang Anugerah Vokal Terbaik Keseluruhan menerusi lagu Di Alam Fana Cinta. Tempat ketiga dimenangi oleh Amirul Asyraf Asnawi dari UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) dengan lagu Hanya Padamu.

Menurut penasihat pertandingan itu, Dr. Mardian Shah Omar, pengenalan kategori pelajar antarabangsa buat pertama kalinya bertujuan meningkatkan lagi kebolehan berbahasa Melayu di kalangan pelajar antarabangsa di UNITEN sambil menambah penguasaan mereka dalam memahami kosa kata bahasa Melayu.

Beliau yang juga merupakan pensyarah Bahasa Melayu Untuk Pelajar Antarabangsa berkata, ketika ini nyanyian lagu-lagu Melayu telah dijadikan aktiviti di dalam kelas pengajaran dan didapati ramai pelajar antarabangsa yang berbakat dalam memahami maksud lagu dan kosa kata dalam bahasa Melayu itu sendiri.

"Bertitik tolak daripada itu, saya telah mengambil inisiatif untuk mengetengahkan bakat para pelajar antarabangsa melalui pertandingan ini dan ternyata mereka sememangnya berkebolehan.

"Pada pendapat saya, pertandingan seperti ini boleh diperluaskan lagi dengan melibatkan para pelajar dari institut pengajian tinggi (IPT) lain dengan mengadakan pertandingan di peringkat antara IPT yang ada di negara ini.

"Pada masa sama, kami juga memperkenalkan kategori terbuka dan amat mengejutkan kerana sambutannya cukup menggalakkan apabila disertai ramai pelajar dari IPT lain yang berdekatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: