Boot camp Imam Muda 3
Boot camp Imam Muda 3

TIDAK dapat dinafikan, kemunculan program Imam Muda (IM) terbitan Astro Oasis berjaya membawa perspektif baru dalam bidang dakwah.

Barisan peserta dua musim lalu telah membuktikan kemampuan mereka menggalas tugas sebagai imam bukan hanya di masjid, tetapi juga di luar.

Penangan IM berterusan pada musim ketiga apabila menyaksikan seramai 25 peserta telah disenarai pendek dan hanya 10 orang dipilih untuk ke peringkat seterusnya.

Bagi memastikan peserta terpilih benar-benar menepati karier yang diingini, mereka telah menghadiri boot camp bersama Mudir (Pengetua), Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz di Riverstone Eco Resort, Ulu Yam, baru-baru ini.

Menurut Hassan, pemilihan kali ini berbeza dengan musim lalu kerana peserta akan dinilai terlebih dahulu sepanjang berada di boot camp tersebut.

“Pada musim lalu, kita akan terus memilih 10 peserta berdasarkan sesi uji bakat yang hanya mengambil masa beberapa minit.

“Memandangkan ramai peserta musim ini yang hebat-hebat, kita pilih 25 peserta untuk menjalani boot camp sebelum memilih 10 peserta yang paling menonjol,” katanya kepada Zass.

Berlangsung selama seminggu, Hassan berkata, pengisian boot camp merangkumi pelbagai aktiviti berbentuk fizikal, mental dan emosi bagi mencungkil karakter sebenar setiap peserta.

Antaranya ialah qiamullail, berakit, perkhemahan dan aktiviti secara berkumpulan bagi menguji keyakinan mereka.

“Pada awalnya, terdapat peserta yang malu-malu namun lama kelamaan mereka mula menunjukkan potensi dan kekuatan masing-masing.

“Walaupun tidak terpilih, setiap peserta tetap memperoleh ilmu berguna dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan mereka,” katanya.

Mendekati alam semulajadi

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pihaknya akan tetap membuka peluang buat 15 peserta IM3 yang tidak terpilih ke peringkat seterusnya.

“Misalnya, mereka akan diambil sekiranya ada antara 10 peserta terpilih tidak dapat menyertai IM3 di saat-saat akhir.

“Malah, kita juga tidak menolak kemungkinan untuk menawarkan mereka menyertai IM pada musim depan sekiranya belum melepasi had umur,” katanya.

Berkenaan pemilihan lokasi boot camp, Izelan berkata, mereka sememangnya mahu peserta diasingkan sementara daripada kesibukan kota.

“Persekitaran Riverstone Eco Resort yang masih kekalkan keindahan semulajadi amat bersesuaian dengan konsep boot camp ini. Secara tidak langsung, kita dapat melihat sama ada peserta dapat menyesuaikan diri dengan alam semulajadi dan kehidupan secara sederhana atau tidak,” katanya.