Bukan picisan! Zizi, bijak mengatur langkah
Zizi

MASIH ingatkah rancangan game show kanak-kanak, Di Mana Joe Jambul, yang berjaya mencipta fenomena tersendiri, suatu ketika dahulu?

Populariti rancangan itu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana rata-rata kanak-kanak di zaman tersebut mengikuti perkembangannya.

Seiring dengan kejayaan rancangan itu, nama Norzizi Zulkifli, 36, mula mendapat perhatian sebagai pengacara.

Bertahan hampir empat tahun, rancangan itu membawa nama Zizi berada di kelas tersendiri.

Menurut Zizi yang juga anak sulung kepada pasangan selebriti terkenal, Zulkifli Zain dan Normala Omar, walaupun rancangan itu telah lama berlalu, namun ternyata dirinya masih merindui zaman Joe Jambul.

“Walaupun sudah lebih 12 tahun Joe Jambul tidak bersiaran, namun saya percaya masih ada yang mengingati rancangan itu.

“Ada di antara peminat yang bertanya, mengapa tidak diteruskan rancangan itu di bawah terbitan saya. Memang ada terlintas di fikiran untuk mengembalikan kegemilangan itu, namun banyak perkara yang harus didahulukan.

“Tapi, ada ura-ura yang mengatakan bahawa Joe Jambul bakal disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak lama lagi. Tapi, saya sendiri tidak pasti mengenai khabar itu dan siapa pelapis pengacaranya,” katanya yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah teater di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (TEKA), di Universiti Teknologi Mara (UITM), Shah Alam.

Kerjaya, akademik seimbang

Mengakui minatnya dalam bidang seni bermula sejak kecil, Zizi berkata, pada awalnya ia pernah mendapat halangan daripada orang tuanya.

Namun demi minat yang mendalam, dia berjinak sedikit demi sedikit. Malah katanya ketika berada dalam tingkatan dua, dia pernah membintangi teater Anak Tanjung.

“Pada 1995, saya mendapat tawaran untuk memasuki Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Bapa tak galakkan saya menceburi bidang ini kerana saya berpotensi untuk belajar dalam bidang akademik.

“Tapi, kerana minat, saya teruskan juga. Pada tahun yang sama, saya mendapat tawaran daripada Datuk Ahmad Tarmimi Siregar untuk berlakon dalam teaternya, Itik Liar.

“Ketika itulah, nama saya mula dikenali sebagai pelakon. Kemudian, saya mendapat tawaran daripada Fauziah Ahmad Daud untuk menjayakan telemovie arahannya, Kawan, pada tahun 1995,” katanya yang pernah berlakon dalam drama U Wei Saari,

Orang Datang dan Ismail Yaakob menerusi Mama Wanita Korporat.

Sejak itu, Zizi mula berlakon untuk drama televisyen. Walaupun bergelar pelakon, Zizi tetap mengutamakan pelajarannya agar tidak ketinggalan dalam bidang akademik.

Pada tahun 1996, dia mula mencuba nasib untuk menjadi pengacara rancangan kanak-kanak, Di Mana Joe Jambul.

“Ketika uji bakat itu, saya terpilih untuk memegang tanggungjawab sebagai pengacara. Dari saat itu, jadual saya semakin padat dengan aktiviti lakonan, pengacaraan dan pelajaran.

“Walaupun menceburi bidang seni, bapa tetap menekankan soal pelajaran. Saya perlu melaksanakan semua tugas saya agar tidak terbengkalai.

“Cabaran yang paling kuat ialah ketika saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah. Masa yang ada terlalu singkat untuk saya mengendalikan kesemua tugas,” katanya yang pernah meraih anugerah penuntut terbaik semasa pengajiannya di peringkat Diploma dan Ijazah.

Selesa berhijrah

Pada tahun 2004, Zizi mengambil keputusan berkahwin dan pada 2006, dia berhijrah ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Master.

“Apabila saya tamat pengajian, saya kembali ke Malaysia dan membuat keputusan untuk berhijrah.

“Sejak itulah saya menjadi selektif untuk menerima tawaran lakonan kerana dengan status isteri orang dan tertudung, saya perlu membataskan karier seni.

“Lagipun, saya penjawat awam dan tidak boleh terikat dengan jadual lakonan. Apabila difikirkan, saya rasa dah puas untuk berlakon dan matlamat saya ialah berada di kerusi pengarahan,” katanya yang mengakui lebih ‘puas’ berada di bidang pengarahan teater berbanding skrin.

Mengimbau penglibatannya sebagai pengarah teater, Di Bawah Lindungan Kaabah (1998), merupakan teater pertama arahannya.

Menyedari bakat itu, Zizi mula mengorak langkah secara serius di dalam bidang ini dengan menjayakan teater Perhiasan Kaca, Monolog, Mak Yong Anak Raja Gondang, Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’, Dari Menantu Ke Mertua, Senjalara, Medea, Aladdin dan Mak Yong Titis Sakti.

Terbaru, Zizi baru sahaja selesai mengarahkan teater, Usikan Rebab, yang berlangsung pada 18 hingga 22 April lalu di KL PAC.

“Saya amat berpuas hati dengan pentas teater. Mungkin kerana ilmu yang saya pelajari di ASK menyebabkan saya lebih cenderung dalam bidang ini.

“Lagipun, saya lebih gemar proses latihan teater kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi dan tidak terlalu terbatas berbanding lakonan TV,” kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Idam gelaran Profesor Madya

Berjaya menjadi contoh kepada adik-adiknya yang lain, ternyata kehebatan Zizi bukan hanya bersandarkan bidang seni sahaja.

Walaupun bijak mengatur perjalanan hidup, Zizi masih tidak berpuas hati dengan tahap kejayaannya.

Bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), Zizi ingin membuktikan dirinya bukanlah ‘kosong’.

“Saya nak buktikan yang saya mampu menjadi ahli akademik dan penggiat seni yang berjaya. Impian saya sejak dulu lagi ialah bergelar pensyarah, tetapi lebih bangga lagi sekiranya saya berjaya mendapat gelaran Profesor Madya.

“Mengikut perancangan, saya akan menyambung pelajaran pada tahun ini. Alhamdulillah, biasiswa daripada kerajaan juga telah diperoleh. Saya hanya menunggu masa sesuai,” katanya yang turut berkecimpung dengan perniagaan ‘online’ yang menjual pelbagai jenis tudung jenama Zizi.

Selain itu, Zizi juga mempunyai syarikat penerbitan sendiri, Pentas Tiga Jiwa, yang ditubuhkan pada 2010.