Thursday, May 24, 2012

86 pelatih Laskar Kelas II Maritim tamat latihan

GEMBIRA... Sebahagian pelatih muda Laskar Kelas II Maritim melambungkan topi selepas berjaya menamatkan latihan asas di Pusat Latihan dan Akademi Maritim Malaysia dekat Gebeng, Pahang baru-baru ini.

SERAMAI 86 pelatih muda Laskar Kelas II Maritim berjaya menamatkan kursus latihan asas di Pusat Latihan dan Akademi Maritim Malaysia (PLAMM), Gebeng baru-baru ini dan bakal memulakan kerjaya baru dalam dunia maritim tanah air.

Sepanjang latihan, pelatih telah diajar dari pelbagai sudut melibatkan aspek penguatkuasaan dan diterapkan dengan nilai-nilai positif sebagai seorang penguat kuasa dengan pembentukan fizikal serta mental yang tinggi.

Selain itu, pelatih juga dibentuk dengan perwatakan positif seperti disiplin, jujur, setia, keyakinan, keberanian sera semangat kerjasama yang tinggi dalam pasukan.

Sepanjang tempoh latihan, pelatih turut diajar oleh tenaga pengajar PLAMM bidang pengoperasian kapal serta tanggungjawab sebagai pelaksana tugas penguat kuasa maritim yang berintegriti dan kompeten.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish berkata, penerapan konsep rejimen dan pembangunan minda modal insan kelas pertama melalui aplikasi sistem pengurusan kualiti MSO 9001:2008 menjadi asas bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten.

"Sebagai penguat kuasa, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang mengikuti latihan itu dapat digunakan sebaik mungkin semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab di lapangan kelak

"Mereka perlu memastikan ketenteraman, keamanan dan keselamatan terpelihara di Zon Maritim Malaysia. Ia adalah amanah dan harapan kerajaan serta komuniti maritim sesuai dengan penubuhan agensi ini," katanya pada majlis tersebut.

Upacara tamat latihan itu adalah yang pertama diadakan PLAAM melibatkan pelatih Pegawai Penguatkuasa Lain-lain Pangkat.

Pelatih dipilih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan perlu melepasi ujian fizikal, kesihatan dan akademik bagi membolehkan mereka dilantik sebagai pegawai skim X (Penguatkuasa Lain-lain Pangkat) agensi itu.

Setelah menamatkan latihan teori di PLAMM, pelatih meneruskan latihan dengan mengikuti pelayaran bersama kapal latihan di sekitar perairan Pahang secara berkumpulan.

Pendedahan yang diberi melibatkan aspek pengoperasian kapal, pandu arah am, komunikasi, mengawal kebakaran, mencegah kerosakan kapal dan latihan pemeriksaan atau penggeledahan bot dan kapal.

Selepas tamat latihan itu, anggota akan ditempatkan di kapal-kapal Maritim Malaysia untuk meneruskan Latihan Sambil Kerja (LSK) selama empat bulan bermula awal Oktober ini.

Mereka akan mula mengisi jawatan yang terdapat di kapal, pangkalan, daerah dan wilayah Maritim Malaysia yang terletak di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan dan Latihan PLAMM, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Taha Ibrahim berkata, semua pegawai muda terlibat telah melalui pelbagai tahap ujian untuk dinilai prestasi dari masa ke semasa.

"Ia bertujuan memastikan mereka berupaya mencapai nilai kecemerlangan yang diperlukan oleh Maritim Malaysia.

"Mereka yang cemerlang akan dianugerahkan piala pusingan sebagai pengiktirafan kerja keras, kesungguhan dan pencapaian yang dipamerkan sepanjang latihan," ujarnya.

Antara pegawai yang berjaya menerima anugerah ialah Anugerah Terbaik Keseluruhan, Laskar Kelas II Maritim Agenarous Lazarus dan Anugerah Terbaik Akademik, Laskar Kelas II Maritim Mansur Norhani.

Anugerah Terbaik Kawad pula dimenangi oleh Laskar Kelas II Maritim Mohd. Aidil Azhar dan Anugerah Terbaik Sukan, Laskar Kelas II Maritim Marawi Mohaimin.

Bagi kursus Laskar Kelas II Maritim, PLAMM setakat ini telah melatih seramai 1,539 orang dengan 110 daripadanya adalah wanita melalui sembilan siri pengambilan.

Sejumlah 86 pelatih yang berjaya menamatkan latihan baru-baru ini adalah kumpulan pertama yang menjalani latihan di PLAMM sejak 1 Ogos tahun lalu.

Secara puratanya, PLAMM melahirkan seramai 80 pegawai dan 250 pegawai lain-lain pangkat pada setiap tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: