Thursday, May 24, 2012

Peluang nikmati makanan ala tentera

Adnan Hashim menunjukkan sebahagian daripada makanan ala tentera yang disediakan untuk dinikmati oleh para pengunjung di Ct One Forze Cafe, Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

DUNIA ketenteraan biasanya dikaitkan dengan ketangkasan dan kelincahan para anggotanya di medan perang.

Hujan peluru, kecanggihan senjata, strategi perang dan juga perajurit tersohor seperti Leftenan Adnan serta Kanang Anak Langkau adalah gambaran biasa untuk pasukan tersebut.

Namun ramai yang hampir terlupa, sebagai seorang manusia, anggota tentera juga perlu mendapatkan sumber bagi kelangsungan hidup iaitu makanan.

Atas inisiatif untuk memperkenalkan makanan ala tentera kepada umum, Mejar (B) Adnan Hashim tekad membuka kafe dengan sajian istimewanya terdiri daripada makanan tentera di medan perang.

Menurutnya, idea membuka kafe itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri makanan yang dijamah anggota tentera ketika berada di dalam hutan.

"Bayangkanlah berbulan lamanya anggota tentera berada di kawasan kritikal, apakah menu harian mereka memandangkan tanpa makanan berkhasiat tidak mungkin mereka boleh bertahan lama untuk mengekalkan stamina.

"Justeru, setiap hidangan yang disediakan di kafe saya adalah antara menu wajib yang dijamah oleh anggota tentera.

"Saya tidak mengatakan makanan ini sedap, sebaliknya, ia adalah untuk orang awam merasai sendiri kehidupan anggota tentera di medan perang," katanya kepada Utusan Malaysia ketuika ditemui di kafenya di Seksyen 5, Wangsa Maju.

Tambah Adnan, bagi menghidupkan lagi suasana medan perang, setiap hidangan akan menggunakan mestin' iaitu bekas tin makanan yang sering digunakan anggota tentera dan ruang dalaman kafe juga dihiasi dengan elemen ketenteraan bagi membuatkan pengunjung seolah-olah berada di dalam kem tentera.

"Penggunaan mestin tentunya dapat memberikan pengalaman baru kepada orang ramai dalam menikmati hidangan harian.

"Bagi hidangan tengah hari, kami menyediakan nasi campur yang menunya adalah lauk biasa bagi anggota tentera seperti sambal ikan bilis, kari ayam, sayur campur dan ulam-ulaman.

"Biarpun jauh di dalam belantara, anggota tentera juga dapat menikmati ayam seperti biasa cuma yang berbeza adalah persekitarannya sahaja," terangnya.

Selain itu, kata Adnan, sebagai menghargai jasa bekas tentera, potongan harga sebanyak lima peratus akan diberikan kepada bekas tentera dan enam peratus kepada tentera yang masih berkhidmat.

"Sebagai memenuhi tanggungjawab sosial kepada komuniti tentera, penggunaan pejabat secara percuma turut diberi kepada Kelab Pesara Pegawai Tentera (RAFOC) untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti mesyuarat dan sebagainya," jelasnya.

Jelas Adnan, bagi menarik lebih ramai pengunjung, kafenya juga menyediakan makanan lain seperti masakan Melayu dan Barat.

"Antara menu yang disediakan ialah nasi kerabu perajurit, bubur nasi komando dan rangsum tentera selain makanan Barat seperti spicy spaghetti seafood, lamb chop dan beef steak," jelasnya.

Orang ramai yang berminat untuk merasai sendiri makanan ala tentera itu boleh berkunjung ke Kafe Ct-One Forze yang terletak tidak jauh dari pasar raya Carrefour.

Dalam pada itu, Adnan turut menyerahkan sumbangan kepada enam bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat ketika zaman darurat sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Sumbangan itu diberikan dalam bentuk keperluan harian dan kewangan bagi membantu mengurangkan beban pesara tentera terlibat.

"Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat dan pastinya majlis seperti ini akan diadakan lagi untuk memberi penghargaan kepada mereka," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: