Anuar Zain
Anuar Zain
Anuar Zain
Anuar Zain

Ketampanan dan kemantapan vokal nyanyian yang dimiliki bekas pramugara, Anuar Zain pasti mencairkan hati si peminat terutamanya kepada golongan wanita yang tidak pernah berhenti mengejarnya.

Lebih membanggakan, figura ini tidak hanya memiliki peminat dalam kalangan remaja, malah bakat dan kebolehannya juga turut menjadi perhatian peminat yang memegang status ibu.

Ini terbukti apabila baru-baru ini, penyanyi yang terkenal dengan lagu Sedetik Lebih mendapat sambutan yang menggalakkan ketika membuat persembahan ‘Mother’s Day Gala Night Dinner with Anuar Zain’ sempena Hari Ibu di One World Hotel, Petaling Jaya.

“Sejak awal ditawarkan oleh pihak penganjur untuk membuat persembahan ini, saya tidak mengambil masa yang lama untuk menerimanya kerana bagi saya, ini adalah peluang terbaik menghiburkan peminat saya di kalangan ibu-ibu.
“Saya gembira dan agak beremosi ketika menghiburkan mereka kerana saya adalah seorang anak yang sangat mesra dengan ibu dan mengakui dialah perkara yang terpenting buat hidup saya,” katanya.

Jelas Anuar, sambutan malam persembahan yang begitu meriah dengan kehadiran golongan ibu, yang datang memenuhi ruang yang disediakan, sememangnya memberi kepuasan tidak ternilai buat dirinya yang begitu teruja dengan keceriaan majlis tersebut.

“Ini adalah pengalaman yang berharga buat diri saya sepanjang bergelar penyanyi. Ia juga peluang baik untuk saya berinteraksi lebih dekat bersama peminat yang selama ini tidak pernah putus memberi sokongan terhadap karier ini.

“Selagi terdaya, saya akan teruskannya sebaik mungkin kerana tidak akan menghampakan peminat yang mahu melihat saya terus beraksi dalam dunia hiburan ini,” katanya.


Rezeki tidak putus

Kebanjiran bakat baru dalam industri hiburan tanah air pastinya memberi persaingan kepada penyanyi-penyanyi lama untuk terus bersaing mengekalkan kedudukan yang ada dalam bidang itu.

Namun, berlainan pula dengan penyanyi bervokal lantang yang sehingga kini terus menjadi rebutan dan pilihan ramai memeriahkan majlis-majlis rasmi.

“Apa yang saya peroleh hari ini adalah hasil daripada kerja keras saya selama bergelar penyanyi. Saya bersyukur kerana ia berhasil dan masih ramai orang yang menghargai bakat dan kebolehan ini.

“Perasaan gembira saya dengan kejayaan hari ini tidak ternilai. Alhamdulillah, buat masa ini rezeki dalam bidang nyanyian tidak pernah putus dan ini sudah cukup beri saya kepuasan yang tidak dapat diperoleh dari tempat lain,” katanya.

Menurutnya, kepercayaan dan penghormatan yang diberikan oleh peminat tidak akan disia-siakan, malah dirinya mahu terus memperbaiki diri untuk berikan yang terbaik untuk dirinya dan peminat.


Utamakan karier

Walaupun karier nyanyian penyanyi popular ini sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri tanpa bantuan tambahan dari gosip dan kontroversi, dirinya juga tidak pernah terlepas dari pertanyaan pelbagai pihak mengenai kisah peribadinya.

Mengakui dirinya kurang selesa dengan pertanyaan itu, Anuar bagaimanapun memahami situasi yang berlaku memandangkan dirinya adalah sebahagian daripada milik masyarakat.

“Buat masa ini, saya lebih suka orang tanya dan tahu tentang karier saya sebagai seorang penyanyi kerana saya tidak suka berkongsi cerita peribadi.

“Bagi saya, karier adalah perkara yang penting untuk dikongsi bersama peminat bukannya soal peribadi. Saya harap peminat memahami situasi ini dan mendoakan yang terbaik untuk saya,” katanya.