ROM - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi menimbulkan satu keadaan yang janggal pada Khamis lalu apabila beliau secara tiba-tiba meninggalkan rakan sejawatannya dari Sepanyol, Jose Luis Zapatero seorang diri pada satu sidang akhbar kelmarin di Istana Chigi di sini.
Namun, satu kenyataan daripada pejabat Berlusconi membidas interpretasi insiden itu dengan menyatakan Perdana Menteri tidak melanggar mana-mana protokol atau menunjukkan rasa tidak hormat kepada tetamunya.
Laman-laman web media utama Itali menyatakan tindakan Berlusconi sebagai kurang sopan.
Sementara itu, parti-parti pembangkang pula menyifatkan perdana menteri tersebut tidak menghormati Zapatero dan memberikan Itali reputasi yang buruk.
Kedua-dua pemimpin itu baru sahaja selesai memberi kenyataan selepas satu mesyuarat apabila Berlusconi memberitahu para wartawan supaya mengajukan soalan kepada Zapatero, sebelum beliau mengucapkan terima kasih, berjabat tangan dan berjalan keluar.
"Saya tinggalkan rakan saya Zapatero untuk menjawab soalan daripada wartawan. Terutama mengenai lawatan beliau ke Vatican saya fikir... Saya doakan beliau sihat. Memandangkan beliau berada dalam keadaan yang sangat baik selepas mendapat restu daripada Pope," kata Berlusconi sebelum tersenyum dan berjalan keluar.
Zapatero baru mengadakan perjumpaan secara peribadi dengan Pope Benedict di Vatican, Itali.
Dibiarkan sendirian di hadapan para wartawan, Zapatero tersenyum dan melihat Berlusconi turun dari pentas dan menjawab soalan-soalan daripada wartawan.
Ketua kerajaan yang mengadakan lawatan kerja ke Itali biasanya mengadakan sidang akhbar bersama Berlusconi dan mereka berdua akan menjawab soalan.
"Tiada apa yang misteri," kata jurucakap kerajaan Itali, Paolo Bonaiuti sambil menuduh pihak media bersikap obses untuk mencari sesuatu kesilapan.
Menurutnya, Berlusconi meninggalkan sidang media untuk membolehkan Zapatero menjawab soalan yang diajukan kepadanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: