KUALA LUMPUR: Awet muda, masih bergetah dan memiliki tubuh gebu. Kalangan artis pertengahan 30-an dan 40-an ini yang dikatakan mengamalkan petua tertentu, termasuk berunsur tradisional, terus ligat dalam industri hiburan tanpa berasa bimbang dengan ancaman artis generasi baru.
Apa rahsia mereka kekal cantik, bergetah dan mengancam, masing-masing mempunyai rahsia tersendiri, tetapi menolak penggunaan botox, kolagen dan suntikan vitamin C untuk awet muda.
Bagi Zarina Zainuddin, dalam usia 40 tahun, dia tergelak bila membaca Facebook miliknya apabila beberapa lelaki bukan saja mahu menggatal tetapi berhasrat melamarnya.
“Di Facebook ada gambar terbaru saya. Nak dijadikan cerita, kerana gambar itu, beberapa lelaki nakal mula menggatal dengan kata-kata memuji mata saya cantiklah, bibir seksilah dan pelbagai lagi.
“Cuma saya menyampah ada yang terus terang menyatakan, best kalau saya jadi ‘bini’ dia. Saya hairan kerana saya tidak pernah sorok status saya, bermakna mereka tahu saya isteri orang dan saya pula bukan artis berusia 20-an atau 30-an, tetapi masih ada lelaki yang nak menggatal,” katanya.
Bagi Zarina, rahsia kejelitaannya terpelihara barangkali kerana amalan bangun pagi, minum air suam sebaik bangun tidur selain makan makjun Bonda Basah Special yang dibuat oleh ibunya.
“Masa bujang saya sudah bangun pagi, tetapi sejak berkahwin suami mengajar saya bangun awal, biasanya jam 6 pagi saya terjaga. Tidak perlu kunci jam, apatah lagi anak saya sekolah pagi.
“Sebaik terjaga daripada tidur dan tanpa berus gigi, saya minum air suam untuk mencuci perut. Saya tidak banyak rahsia menjaga diri, cuma amalkan makan makjun Bonda Basah Special sekian lama,” katanya.
Bagi Zarina, artis wanita berusia 40-an mempunyai pelbagai cara untuk menjaga kecantikan.
Implikasinya jelas, Zarina masih diberi peranan penting dalam drama, di mana ketika ini dia sibuk menjalani penggambaran drama Senja Permai arahan Roslan Husin sebanyak 68 episod.
“Bila artis wanita usia pertengahan 30-an dan 40-an seperti saya terus diberi watak penting, ia perkembangan sihat untuk artis generasi saya bersaing dengan artis generasi baru,” katanya.
Sementara itu, dalam tempoh 37 hari lagi, Noralbaniah Raffie akan mencecah usia 41 tahun.
Yang mengejutkannya, malah membuatkannya ketawa ketika hadir di sidang akhbar Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) baru-baru ini, ada wartawan menyapanya apakah dia pelakon baru.
“Terkejut ada, nak tergelak pun ada bila wartawan itu meneka usia saya antara 20-an dan awal 30-an.
“Ada juga hikmah saya gemar pakai baju imej remaja hingga usia saya pun sukar dijangka tetapi bila ada yang bertanya, saya lebih suka berterus terang usia saya bakal menjangkau 41 tahun April ini,” katanya.
Noralbaniah yang juga bintang filem Adik, Sekreteris, Main-Main Hantu dan Kekasih Awal Dan Akhir, mula menjalani hidup sendiri sejak 15 tahun lalu selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan.
“Anak gadis saya kini berusia 16 tahun dan sukar saya menidakkan bila ada anak remaja, saya seperti kembali menjadi seperti dia. Sebabnya saya berbual pun mengikut caranya, macam kawan,” katanya.
Noralbaniah berkata, ketika menyertai rombongan Profima (Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia) ke Jakarta Disember lalu, ada pengarah filem sana tercengang bila mengetahui usia sebenarnya.
“Saya beritahu pernah berlakon di samping Rano Karno pada hujung 1980-an dan kata mereka tempoh itu cukup lama tetapi saya seperti tidak berubah.
“Saya tidak tahu nak putihkan badan atau suntik botox, cuma saya tidak suka susah hati, itulah amalan saya sejak hidup tanpa suami,” katanya.
Bagi dramatis Anne Abdullah yang cuma tinggal dua tahun mencecah 40 tahun, rahsia artis wanita 40-an masih mengancam bergantung kepada apa diamalkan.
“Jika tiada penggambaran atau sebulan sekali, Anne akan menjalani rawatan badan di Spa selama empat jam. Rawatan di Spa penting kerana faham sajalah, kulit jadi hitam jika berlakon di bawah terik mentari.
“Sebagai artis, tidak elok jika kulit nampak berkerak. Amalan lain saya lakukan ialah setiap jam 7 pagi, saya berenang di kolam renang pangsapuri selain makan pil sampingan, terutama herba,” katanya yang kini sibuk berlakon teater Antara di Istana Budaya.
Dia yang berstatus ibu tunggal sejak 17 tahun lalu hairan ada VIP memburunya konon mahu bekerjasama dengan syarikat produksinya, Alphanium Sdn.Bhd.
Kata Anne, biasanya apabila berurusan dengan lelaki seperti itu, pertemuan kali pertama nampak kecenderungan untuk serius dalam bisnes.
“Namun tiba mesyuarat kedua ia sudah babitkan perasaan, lalu saya akan jauhkan diri.
“Cuma dalam usia begini apabila masih ada lelaki yang cuba menagih sesuatu, terfikir juga saya apa yang mereka mahu daripada artis seperti saya,” katanya yang memiliki anak gadis berusia 17 tahun.
>Tiada suntikan botox
KUALA LUMPUR: Walaupun berusia 40-an, mempunyai seorang anak dan bergelar janda, populariti Maria Farida sebagai pelakon bukan lagi asing di kalangan masyarakat.
Pelakon yang membintangi filem Senario The Movie: Episod 2 — Beach Boys, My Spy dan kini hangat dengan telefilem Aliff Firdaus itu kekal jelita dan diakui masih bergetah.
Maria yang sudi berkongsi rahsia kejelitaannya berkata, dia bersyukur dengan anugerah diberikan Tuhan.
“Setakat ini saya belum terfikir untuk melakukan rawatan moden seperti suntikan botox atau vitamin C. Saya lebih percayakan kecantikan dalaman.
“Kecantikan luaran saja tidak bertahan lama kerana akan hilang dengan sendirinya apabila sudah tua.
“Kecantikan dalaman yang saya maksudkan adalah hal berkaitan dengan hati kita. Apabila hati bersih, tiada hasad dengki, saya percaya kecantikan kita akan berkekalan,” katanya yang tidak mengamalkan petua tertentu berkaitan hal kecantikan.
Menurutnya, yang dia lakukan ialah sentiasa pastikan mendapat tidur yang cukup dan jaga pemakanan.
Dia bukan jenis yang suka berhabis dalam hal kecantikan.
“Saya bukan suka buat rawatan muka. Jika berbelanja hal berkaitan kecantikan sekalipun, saya tumpukan kepada rambut. Jika tidak terbabit dengan penggambaran atau acara tertentu, saya lebih selesa dalam keadaan tidak bersolek. Keluar rumah pun hanya memakai baju T, seluar jeans dan selipar,” katanya.
Begitupun, bagi Maria, jika terbabit dengan penggambaran, dia menitikberatkan hal kecantikan dari hujung rambut sampai hujung kaki dan selepas itu lebih selesa jadi diri sendiri.
“Saya akui apabila berada dalam bidang ini (lakonan) saya perlu jaga kecantikan kerana kita cari makan dengan penampilan kita.
“Sebelum terjun dalam ‘dunia glamor’, penampilan saya seperti tomboi. Namun apabila masuk dalam bidang peragaan ketika berusia 16 tahun, saya mula mengambil berat mengenai kecantikan,” katanya.
Apapun, dia berkata, kadangkala kecantikan dimiliki turut mendatangkan masalah.
Justeru, Maria perlu jaga diri dan yang penting, jangan gedik.
“Jika cantik dan pandai jaga diri, insya-Allah selamat. Saya kena ganggu dengan lelaki sebab status saya sebagai artis dan mereka fikir artis senang ditundukkan.
“Mereka nak pergunakan artis dan tumpang glamor, tapi saya tak suka semua itu,” katanya yang turut mengatakan susah hendak berjumpa lelaki yang melayan artis seperti manusia biasa.
Maria berkata, seperti manusia lain, artis juga mempunyai perasaan.