Sunday, October 13, 2013

Telemovie kontroversi ditayang Aidiladha ini


BARISAN kru dan pelakon yang terlibat dalam penggambaran telemovie Kampungku dan Aidiladha yang diadakan di sekitar Baling, Kedah baru-baru ini.


JARANG pelakon meninggalkan set ketika penggambaran masih berjalan, namun hal itu terjadi baru-baru ini apabila seorang pelakon dalam sebuah telemovie terbitan Langkah Karya Production Sdn. Bhd. 'lesap' walaupun penggambaran belum tamat.
Kekecohan itu timbul gara-gara pelakon Fida Ibrahim dipercayai tidak menamatkan lakonannya dalam telemovie Kampungku dan Aidiladha yang dijalankan di Baling, Kedah dua minggu lalu.
Memberikan alasan faktor keselamatan dan kebajikan tidak dijaga, Fida juga dikatakan 'terasa' dengan skrip yang diberikan kepadanya pada beberapa babak akhir telemovie tersebut sehingga memaksa dia menghilangkan diri.
Pengarahnya, Shuhaimi Lua Abdullah mendedahkan, jalan cerita telemovie itu turut terganggu gara-gara beberapa adegan yang tidak dapat dijayakan.
"Walaupun kejadian itu berlaku pada hari-hari akhir sebelum penggambaran tamat, namun masih ada babak penting yang tidak dapat dijayakan.
"Sebagai langkah menyiapkan telemovie ini mengikut perancangan, saya terpaksa merombak sedikit pengakhiran cerita itu berbanding skrip asal," kata Shuhaimi yang tersinggung kerana mendakwa Fida mempersoalkan kredibilitinya.

FIDA (kiri) dan Amira antara pelakon utama yang membintangi naskhah arahan Shuhaimi.


Namun, penggambaran yang dijayakan bersama kira-kira 15 orang kru selama lapan hari itu menjadi istimewa apabila menerima sambutan hebat daripada penduduk kampung.
Biarpun Shuhaimi menjemput seramai 100 orang penduduk bagi menjadi pelakon tambahan, namun hampir 1,000 orang yang hadir bagi memberi sokongan.
"Tidak sangka pula penduduk kampung memberikan sambutan yang menakjubkan. Walaupun tidak meminta bayaran, ramai yang sudi bersama-sama menjayakan telemovie ini.
"Babak kerja gotong-royong melapah daging korban antara yang paling meriah. Masing-masing memberikan kerjasama sehingga menampakkan adegan tersebut benar-benar semula jadi," kata pengarah terbabit.
Kampungku dan Aidiladha merupakan sebuah telemovie komedi yang mengisahkan lima orang remaja kampung iaitu Arman, Bandi, Chiko, Maya dan Aini yang terpilih dalam uji bakat mencari penyanyi anjuran ketua kampung.
Mereka melalui pelbagai cabaran selepas terpilih termasuklah membersihkan kawasan masjid dan ujian tentang pengetahuan agama.
Selain Fida, Kampungku dan Aidiladha dibarisi pelakon Aidil Aziz, Zalif Sidek, Syafiq Kyle, Amira Rosli dan Razak Ahmad.
Naskhah tulisan MF Kenchana itu akan ditayangkan pada Selasa ini pukul 3 petang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di saluran TV3.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: