Tuesday, October 29, 2013

Magis pameran seni ganjil


PERSEMBAHAN akrobatik turut menyerikan suasana pameran WOW.


PADA 25 tahun lalu, usaha Suzie Moncrieff menganjurkan pameran yang menghimpunkan pakaian aneh telah ditertawakan kelompok fashionista. Situasi itu, kini berubah apabila pameran World of Wearable Art (WOW) cetusan Moncrieff itu menjadi slot rebutan pereka-pereka antarabangsa.
Bertempat di Wellington, New Zealand, acara yang dipelopori Moncrieff pada lewat 1980-an itu bertujuan memaparkan kostum-kostum pelik yang menggunakan pelbagai material, daripada sutera sifon mewah kepada perkakas dapur yang sudah berkarat.
Suasana di WOW sangat meriah. Model-model yang dibaluti baju perisai berpaku yang diperbuat daripada keluli tahan karat memukau hadirin ketika berjalan penuh energetik di atas pentas.
Persembahan turut digamatkan dengan aksi terjun lelabah para akrobat yang melantun-lantun dari bumbung. Secara keseluruhannya, ia umpama menyaksikan pertunjukan fesyen bak Cirque du Soleil.
"Ia sebuah acara yang bertunjangkan seni, bukan peragaan biasa. Kami ciptakan suasana teater yang mengagumkan bagi memaparkan karya-karya seni agung," ujar Moncrieff.
Tahun ini, sebanyak 158 kostum dipersembahkan pada pertunjukan pentas selama dua jam yang melibatkan set-set kompleks, animasi rekaan khas dan 2,000 peserta persembahan.
Terpegun
Ekstravaganza tersebut berlangsung selama dua minggu di sebuah arena yang terletak di kawasan dermaga Wellington sebelum kesemua kostum dikembalikan ke muzium WOW di South Island.
"Seni yang boleh disarungkan sukar untuk dijelaskan. Ia seperti mengambilnya dari dinding dan diletakkan pada tubuh manusia. Ramai orang tidak sedar yang ia boleh menjadi sebuah pertunjukan teater mega.
"Di negara ini sendiri (New Zealand), kadang-kadang orang awam masih menganggap pertunjukan fesyen memerlukan pentas peragaan dan bertujuan untuk menarik perhatian golongan lelaki.
"Namun apabila mereka datang menonton pertunjukan kami, mereka terpegun dan mengesyorkan rakan-rakan mereka untuk pergi," kongsi Moncrieff.

COLI landak ini dihasilkan oleh peserta yang pertama kali menyertai WOW.


Di belakang pentas pula, keadaan hingar-bingar ketika pereka solekan, Michele Perry memeriksa sentuhan terakhir yang dilakukan pasukannya ke atas sebilangan penari dan ahli sarkas. Proses tersebut kebiasaannya memakan masa sehingga tiga jam pada setiap malam.
"Glamorkan penampilan dan apabila anda siap dirias, taburkan hiasan berkilat pada wajah, itu moto kita," jerit Perry dalam gurauan.
Persembahan dimulakan oleh seorang model yang dilingkari arca krom gergasi. Ia diteruskan dengan model yang menggayakan aksesori ganjil berupa kepala moose bertatahkan berlian dan tanduk rusa merah besar bersalut filigri (corak barang kemas yang dibentuk daripada dawai emas atau perak yang halus) emas.
Pengurus belakang pentas, Leonie Trathen menjelaskan, kebanyakan kostum yang dipersembahkan tidak dihasilkan pereka profesional. Sebahagian daripadanya, seperti Gillian Saunders, telah bekerja keras selama dua tahun untuk mempertontonkan rekaannya pada tahun ini.
Saunders mengumpulkan penanda plastik daripada pembungkus roti bagi menghasilkan skirt mini dengan tiga lapisan warna yang dipaparkan pada seksyen inspirasi 1960-an.
"Kami bergantung sepenuhnya kepada para pereka dan apa yang kami pamerkan merupakan 100 peratus usaha mereka. Kami juga bergembira sepanjang acara ini dan melihat banyak wajah yang sama setiap tahun. Kami bagai sebuah keluarga besar," kongsi Trathen.

WOW merupakan sebuah acara bertunjangkan seni dan bukannya pameran biasa.


Asah kemahiran
Nilai kreativiti luar biasa dapat dilihat pada seksyen baju dalam yang janggal rekaannya. Pameran tersebut menjadi kemestian pada setiap tahun. Biarpun tidak diberi keutamaan pada tahun ini, penyertaan terdahulu seperti bra yang diperbuat daripada landak kecil, labah-labah robot dan topeng gas masih dipertontonkan.
"Ia merupakan seksyen yang digalakkan kepada mereka yang pertama kali menyertai WOW dan bertujuan mengasah kemahiran mereka. Menghasilkan rekaan kecil dapat meniup keberanian pereka-pereka muda sebelum menghasilkan pakaian berskala penuh," jelas Moncrieff.
Sebahagian bekas peserta WOW kini mempunyai karier bersama rumah fesyen yang gah dan di dalam industri filem, khususnya di studio Weta Wellington.
Studio rekaan yang pernah memenangi anugerah Oscar itu telah menghasilkan kerja-kerja hebat untuk filem Lord of the Rings dan Avatar. Kini mereka menaja kategori tersendiri dalam pertunjukan anjuran Moncrieff itu.
Permulaan kecil WOW di bawah sebuah khemah di bandar Nelson, South Island dulu bertujuan untuk meraih dana bagi membuka galeri bagi mempamerkan arca-arca rekaan Moncrieff.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: