Wednesday, October 23, 2013

Suami baran mahu isteri kembali

REAKSI Muhammad Affandi semalam ketika berjalan keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan membelasah isterinya.


BUKIT MERTAJAM - Seorang pegawai veterinar yang berdepan hukuman penjara setahun dan denda atas tuduhan membelasah isterinya di dalam lif sebuah hospital Ogos lalu berharap wanita itu berfikir sedalam-dalamnya mengenai hubungan mereka.
Ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret di sini selepas selesai prosiding semalam, tertuduh, Muhammad Affandi Ismail, 36, berkata, dia sedia maklum mengenai kenyataan isterinya sebelum ini yang tidak lagi mahu kembali ke pangkuannya.
"Saya berharap perkara itu difikirkan semula. Kalau isteri kata sudah tertutup hatinya, saya minta dia buka mindanya kembali supaya dapat berfikir semula tentang keputusan itu," katanya ringkas kepada pemberita.
Terdahulu, Majistret Ariff Mohamed Sharif menetapkan 21 November depan sebagai tarikh untuk menyambung perbicaraan kerana dokumen kes itu masih belum lengkap.
Mengikut kertas pertuduhan, pegawai veterinar di Jerantut, Pahang itu dituduh menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang merupakan pekerja kilang berusia 36 tahun.
Perbuatan tertuduh tersebut dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam lif Hospital KPJ Bandar Perda dekat sini pada pukul 4 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: