DUA orang pelajar University Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) yang menanggung yuran pembelajaran sendiri telah dianugerahkan biasiswa bagi pengajian mereka di universiti butik pertama di Malaysia itu.
Mereka ialah bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar, Johor, Abdul Matyn Abdul Jalal yang mendapat lapan A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Klang, Kenny Ng Kwang Meng yang memperoleh enam A dan dua B dalam SPM.
Masing-masing menerima biasiswa penuh dan sebahagian sebanyak RM17,000 dan RM10,000 daripada Yayasan UniMy bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran dalam pengajian asas pengkomputeran dan kejuruteraan (FCE).
Pengajian FCE merupakan program intensif unik selama setahun yang menawarkan para pelajar asas bagi bidang pengkomputeran, kimia, fizik dan matematik sebagai persedian untuk menuntut di tahap ijazah muda dan pengkhususan.
Abdul Matyn, 18, mahu melanjutkan pelajaran sehingga tahap doktor falsafah dalam sains komputer manakala Ng pula meletakkan sasaran tertinggi dengan bekerja di syarikat multinasional seperti Facebook ataupun Google.
Abdul Matyn begitu tertarik dengan kerjasama strategik yang dijalankan UniMy bersama syarikat-syarikat besar teknologi seperti Microsoft, Dell, IBM dan Huawei.
Kerjasama itu membolehkan para pelajar tahun akhir ijazah belajar dan bekerja melalui peluang latihan industri sekali gus menjadi dorongan kepadanya untuk berjaya.
Dalam memilih pelajar, Timbalan Naib Canselor (Akademik), Profesor Madya Dr. Mohamad Kasim Abdul Jalil berkata, pihak universiti hanya mengambil pelajar yang selari dengan visi universiti.
Kerajaan telah memberi mandat kepada universiti untuk mewujudkan ekosistem bakat-bakat terbaik dalam teknologi maklumat dan komunikasi di negara ini.
"Kami hanya menerima pelajar yang terbaik dan cemerlang dalam akademik yang cenderung pada matematik serta sains selain berbakat dalam sains komputer dan kejuruteraan.
"Pelajar yang menamatkan program FCE dengan jayanya akan ditawarkan kemasukan ke program sarjana muda sains komputer dan kejuruteraan perisian," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: