• Prinsip Aziz M Osman!Aziz M Osman bersama keluarganya.

Nama Aziz M. Osman cukup dikenali menerusi beberapa hasil karyanya yang kreatif dan berimaginasi tinggi seperti filem Fantasia, Femina, XX Ray dan bermacam lagi.

Malah kredibilitinya dalam bidang pengarahan tidak boleh dipertikaikan lagi apabila pernah mengarahkan filem bergenre komedi, drama dan juga patriotik seperti Leftenan Adnan, Senario Lagi, Senario The Movie dan Puteri Impian.

Biarpun pernah menyuarakan hasrat untuk berundur, jelas Aziz, dia mengambil keputusan untuk berbuat sedemikian kerana terpaksa mengubah pendiriannya.

“Saya bukanlah mempunyai pendirian untuk membuat filem seni semata-mata, sehingga mahu dinobatkan sebagai pengarah berseni, tetapi karya yang saya maksudkan mestilah yang tidak melanggar pendirian saya seperti pemilihan genre dan bertepatan dengan apa yang saya mahukan dalam pengarahan.

“Dulu pendirian saya, saya buat filem kerana itu adalah apa yang saya mahukan dalam pengarahan, tetapi kini saya buat filem kerana terpaksa mengikut permintaan atau cita rasa penonton.

“Ia membuatkan saya terpaksa lari daripada prinsip saya,” katanya yang kini sudah berhenti mengarah drama TV kerana merasakan tidak dapat menyampaikan cerita mengikut selera penonton sekarang.

Namun dalam diam sebenarnya, pengarah prolifik ini sebenarnya sedang menyiapkan sebuah filem paranormal berjudul Penunggu yang akan dibintangi oleh Reizman Khuzaimi dan Ramona Zam Zam.

“Kemungkinan, filem ini akan ditayangkan pada hujung tahun ini,” katanya.

Ujar Aziz, filem kali ini adalah hadiah kepada peminatnya yang menantikan hasil kejutan dan hasil luar biasa daripadanya.

“Selain filem seram, saya juga kini sedang mencari material untuk menghasilkan sebuah filem patriotik yang berkisar mengenai sejarah pejuang. Ia berjudul Tanjong Katong dan buat masa ini sudah 30 peratus penyelidikan dan bahan sudah saya perolehi,” katanya.

Utama kepuasan

Dalam pada itu, Aziz mengakui dia sebenarnya begitu selektif dan lebih mengutamakan kepuasan dalam berkarya. Oleh kerana itu, dia juga amat selektif dalam pemilihan pelakon kerana baginya faktor pelakon akan menarik orang ramai ke pawagam.

“Saya juga seperti pengarah yang lain, kemungkinan besar untuk menarik orang ramai ke pawagam adalah dengan menghidangkan artis yang sememangnya popular.

“Tak ada muka seperti Aaron Aziz, Zizan Razak dan Shaheizy Sam, mungkin sukar sikit menarik khalayak untuk menonton sesebuah filem.

“Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di Hollywood. Ini kerana ada satu peringkat zaman yang mana, orang ramai mahu melihat pelakon kegemaran mereka beraksi di layar perak” katanya yang mengakui Steven Spielberg adalah idolanya dalam bidang pengarahan.

Elak jadi anti sosial

Sementara itu, ditanya mengapa kini dia tidak mahu menggunakan telefon bimbit, Aziz menjelaskan, dia kini sedang melatih dirinya untuk tidak menggunakan telefon bimbit sejak beberapa bulan lalu.

Keputusan tersebut dibuat apabila dia mula merasakan kecanggihan telefon bimbit zaman sekarang membuatkan diri seseorang itu melupakan aktiviti serta pergaulan dengan orang-orang sekeliling, baik dengan rakan-rakan ataupun ahli keluarga.

Lebih membuatkan Aziz nekad untuk tidak menggunakan telefon bimbit ialah apabila anak-anaknya memintanya membelikan telefon pintar dan macam-macam gadjet lain.

“Sebelum ni saya pakai telefon. Tapi dah 3, 4 bulan saya melatih diri saya untuk tak pakai telefon. Saya berhenti pakai telefon sejak anak saya mula minta belikan iPad lah, iPhone lah, tablet dan macam-macam lah gadjet zaman sekarang.

“Lagipun dah jadi macam satu kebiasaan sekarang, semua orang kalau ada telefon di tangan tu asyik leka dengan telefon. Kalau duduk berkumpul bersama pun, dah tak berbual sangat dah tapi masing-masing leka dengan telefon. Saya rasa cara itu tak sihat.

“Tapi saya tidak la berhenti memakai telefon untuk selamanya. Saya ni sebenarnya peminat tegar iPhone. Jadi selagi saya tak dapat miliki iPhone 5S, selagi tu lah saya tak mahu pakai telefon,” jelasnya.