|
SEBELUM penyanyi K-pop seperti Psy dan Big Bang diminati di seluruh dunia, aktres Choi Ji-woo terlebih dahulu muncul sebagai duta tidak rasmi Korea Selatan pada tahun 2002 menerusi drama romantik Winter Sonata, lakonannya bersama aktor Bae YongJ-joon.
Bermodalkan air mata dengan imejnya yang suci dan jalan cerita tragis drama Winter Sonata telah melonjakkan namanya ke seluruh Asia.
Secara tiba-tiba Ji-woo atau nama sebenarnya Choi Mi-hyang menjadi tumpuan. Tidak berakhir di situ, gelombang Ji-woo diteruskan dengan kejayaan drama Stairway To Heaven.
"Saya akui yang saya terperangkap dalam imej suci dan baik untuk beberapa buah drama. Hampir 15 tahun, sebelum saya mengubahnya dengan berlakon dalam drama romantik komedi Can't Lose pada 2011.
"Sejak itu saya juga membebaskan diri saya dengan menyertai banyak program hiburan yang sebelum ini saya tidak sertai seperti Running Man, Happy Sunday dan One Night Two Days.
"Apa yang saya lihat, saya dapat mengumpul lebih ramai peminat dan saya juga mempunyai masa yang seronok bersama teman artis," katanya dalam satu temu bual.
Kini, ramai peminat dapat melihat sisi yang berbeza daripada Ji-woo. Tidak hanya bermain dengan air mata, dia juga mampu membuat penonton tertawa dengan aksinya setiap kali muncul di televisyen.
Bagaimanapun, aktres yang meraih lebih 20 anugerah sepanjang kerjayanya sebagai pelakon itu juga pernah melalui episod sukar.
Populariti tidak menjanjikan kecemerlangan berpanjangan buatnya, apabila dua buah filem yang dibintanginya, Now and Forever dan Everybody Has Secrets mendapat kritikan hebat serta tidak laris di pasaran negaranya sendiri, Korea Selatan, sebaliknya cukup laris di Jepun.
|
Tidak berhenti di situ, menyedari dirinya diminati di luar negara, Ji-woo mengembangkan kerjaya lakonannya dalam sebuah drama bersiri di China berjudul 101st Proposal dan drama bersiri di Jepun berjudul Rondo bersama aktor popular Jepun, Yutaka Takenouchi.
"Saya bersyukur kerana diterima bukan sahaja peminat dalam negara sendiri, tetapi juga di luar negara. Bekerja dengan produksi luar agak berbeza, tetapi saya berbangga kerana saya bukan sahaja mempertaruhkan bakat sendiri tetapi juga nama Korea Selatan," katanya.
Impian
Mengimbas tentang perjalanan hidupnya, Ji-woo sememangnya menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang bintang terkenal ketika dia masih kecil.
Mengambil jurusan tarian di Kolej Wanita Pusan, Ji-woo kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Hanyang dalam jurusan teater dan filem.
Sungguhpun begitu, anak kelahiran daerah Paju, Gyeonggi itu hanya sempat menghabiskan kuliahnya pada semester pertama sahaja sebelum berhenti daripada universiti kerana jadual lakonannya yang cukup padat.
"Saya memang bercita-cita untuk bergelar pelakon. Terlibat dalam dunia lakonan ketika masih belajar di universiti sesuatu yang amat mengujakan.
"Berdiri dan masih berada dalam industri sehingga hari ini di samping ramai pendatang baharu membuatkan saya sangat bersyukur," ujarnya yang kini berusia 39 tahun.
Tidak hanya berlakon, disebabkan minatnya yang mendalam terhadap makanan Korea, Ji-woo telah terlibat dalam program Choi Ji Woo's Delicious Korea.
"Sebelum ini saya banyak terlibat dengan penggambaran drama di luar negara. Waktu itu saya tetap akan mencari restoran Korea untuk dimakan bersama kru dan pelakon lain.
|
"Bermula daripada situ, tercetus idea untuk saya membuat dokumentari tentang makanan Korea," katanya.
Tambahnya, dia cukup berbesar hati dengan populariti yang diraihnya di luar negara sehingga berjaya menarik penonton untuk meminati masakan Korea.
"Makanan Korea sangat enak, berkhasiat dan juga cantik dipandang. Sebab itu saya mahu orang di luar Korea dapat merasai keenakan itu.
"Saya tidak kisah untuk menjelajah ke merata tempat asalkan dapat menunjukkan sesuatu yang menarik kepada penonton. Saya anggap, ini hanya sumbangan kecil saya untuk negara," ucapnya.
Disebabkan minat yang mendalam terhadap makanan Korea, Ji-woo memiliki beberapa buah restoran, kedai kopi dan restoran makanan kesihatan di negara tersebut.
Jadi pembantu rumah
Selepas dua tahun menyepi tanpa sebarang projek drama, tahun ini, Ji-woo kembali ke layar kaca sebagai pembantu rumah misteri bernama Park Bok-nyoe dalam drama bersiri The Strange Housekeeper.
Drama arahan Kim Hyung-shik yang diadaptasi daripada drama bersiri popular di Jepun berjudul Housekeeper Mita itu telah menonjolkan sisi lain daripada aktres tersebut.
Wataknya tidak lagi lucu, romantik mahupun penuh dengan deraian air mata sebaliknya, dia merupakan pembantu rumah yang dilihat seperti tiada emosi.
Bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang bapa tunggal dengan empat orang anak yang baru kematian isteri akibat bunuh diri, Ji-woo dilihat berjaya membawa wataknya dengan baik.
Namun, tersembunyi sebalik tugasnya sebagai pembantu rumah tersimpan misteri yang tidak pernah dibongkarkan, bahkan dia juga tidak menolak andai ditugaskan untuk membunuh.
"Saya tidak menolak untuk membintangi drama ini kerana terpikat dengan jalan ceritanya yang menarik. Watak saya juga sangat unik dan rasanya saya tidak pernah membawa watak seperti ini.
"Penonton dan peminat saya akan melihat sisi baharu saya dalam dunia lakonan selepas mereka menonton drama ini," kata anak bongsu daripada dua adik-beradik itu.
|
Sementara itu, menurut aktor Lee Sung-jae yang memegang watak bapa tunggal, Eun Sang-chul, dia cukup senang berlakon di samping Ji-woo walaupun pada asalnya dia menganggap wanita itu berlagak diva.
Namun, sangkaannya meleset apabila Ji-woo cukup ramah di set penggambaran dan banyak membantu pelakon lain.
"Biasanya agak sukar untuk mendekati aktres popular, tetapi berbeza dengan Ji-woo. Dia seorang yang bersikap terbuka dan sangat ramah.
"Kru dan pelakon lain juga tidak kekok untuk berbincang dengannya. Kami dapat berkerjasama dengan baik, kadang-kala sibuk berbincang sehingga tidak sempat untuk ke tandas," kata Sang-chul.
Drama The Strange Housekeeper telah mula ditayangkan pada 21 Oktober lalu setiap hari Isnin dan Selasa pada pukul 8.55 malam di One HD, Astro.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: