|
PROGRAM 3R (Respek, Relaks, Respon) kini kembali lagi dengan musim baharu dan wajah pengacara yang lebih segar selepas empat tahun tidak muncul di kaca televisyen.
Penampilan Dayah, Amirah dan Yvonne yang meneruskan legasi 3R memberikan suntikan baharu buat penonton.
Mereka bertiga dipilih daripada program realiti, Projek 3R yang memaparkan persaingan 12 finalis menghadapi pelbagai cabaran dan latihan untuk layak digelar hos 3R.
Program 3R yang baharu lebih membincangkan isu-isu golongan remaja dan disiarkan pada setiap Ahad pukul 7.30 malam di TV3.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Siti Nurlisia Mohd. Nadzri, stesen itu sentiasa berusaha untuk menyajikan program TV yang terbaik untuk penonton.
“Program 3R sentiasa memberikan suntikan baharu kepada kaum wanita khususnya remaja dalam berkongsi pelbagai isu yang relevan dan menarik minat mereka.
“Kami juga teruja memperkenalkan barisan hos baharu 3R iaitu Dayah, Amirah dan Yvonne yang bakal meneruskan legasi 3R,” kata- nya.
Penerbit Eksekutif Red Communication Sdn. Bhd., Lina Tan, 47, pula memberitahu, lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam program realiti, Projek 3R.
Daripada jumlah itu, hanya 30 peserta sahaja terpilih dan kemudian dikecilkan menjadi 12 peserta.
“Kriteria yang saya pilih adalah mencari seseorang yang berbeza dan tidak sama seperti hos 3R sebelum ini.
“Perkara kedua adalah bijak dalam memberikan idea dan penampilan pula satu bonus,” katanya.
Dayah yang merupakan salah seorang pengacara program 3R dan mempunyai pengalaman mengacarakan rancangan Hijabista sebelum ini berkata, dia berbangga kerana menjadi sebahagian daripada 3R.
“Memang benar saya pernah menjadi pengacara untuk rancangan Hijabista. Pengalaman yang saya ada merupakan pengalaman yang begitu berharga dan dikongsikan bersama rakan-rakan saya yang lain.
“Malah, hubungan yang rapat antara kami bertiga memudahkan kami bekerjasama serta turut serta dalam setiap isu yang dibincangkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: