Saturday, October 26, 2013

Komitmen Milo bersama komuniti


SEKUMPULAN kanak-kanak seronok bergambar dengan produk Milo.


KEMUDAHAN sukan seperti gelanggang futsal dan taman permainan merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan kanak-kanak atau golongan dewasa untuk beriadah terutama pada waktu pagi dan petang.
Namun, tahap keselamatan dan keselesaan kemudahan di sesetengah kawasan kadangkala kurang memuaskan sehingga membahayakan kanak-kanak.
Menyedari masalah tersebut, produk tenusu Milo telah melancarkan projek Go Further dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Menara Maju, Klang menjadi lokasi pertama yang dipilih.
Sasaran projek itu ialah membaik pulih padang dan taman permainan bagi memberi kemudahan kepada penduduk terutama kanak-kanak untuk beriadah.
Menurut Pengarah Eksekutif Perniagaan Produk Tenusu Nestle Malaysia (Nestle) Berhad, Ho Hau Cheih, komitmen utama pihaknya ialah untuk mempromosikan pembangunan sukan untuk kanak-kanak.
"Pihak kami sentiasa melihat kemudahan sukan di kawasan kejiranan untuk diperbaiki bagi kemudahan kanak-kanak. Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anak mereka bermain di kawasan yang selamat.
"Milo sebelum ini, telah bekerjasama dengan KRT Menara Maju untuk program Play More, Learn More, dua tahun lalu. Ketika itu, lantai gelanggang futsal didapati banyak yang rosak sehingga membahayakan kanak-kanak. Disebabkan itu, pihak kami bersetuju untuk membantu membaik pulih gelanggang tersebut untuk program kali ini," ujarnya ketika ditemui Kosmo! selepas melancarkan projek Go Further baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Majlis Perbandaran Klang, Mohd. Azmi Jusoh.

PROGRAM Go Further anjuran Milo turut memberi manfaat kepada kanak-kanak.


Selain itu, Milo juga telah merancang untuk membaik pulih lima kawasan lain iaitu KRT Kampung Datuk Harun di Selangor, KRT Pengkalan Berangan Marang, Terengganu, KRT Klebang Selatan, Perak, KRT Temerloh Jaya, Pahang dan KRT Kajang Raya, Selangor pada hujung tahun ini.
Lokasi terbaik
Seorang penduduk di Taman Menara Maju, Chandrabai Gopalakrishnan, 50, memberitahu, gelanggang futsal itu merupakan lokasi terbaik bagi kanak-kanak di sekitar kawasan tersebut untuk beriadah.
"Kanak-kanak di taman ini tidak perlu keluar ke kawasan lain semata-mata untuk bermain futsal.
"Selain aktiviti riadah, saya lihat gelanggang futsal baharu ini merupakan salah satu tempat bagi kanak-kanak bersosial secara sihat tanpa mengira bangsa," ujarnya.
KRT Menara Maju terdiri daripada tiga buah taman iaitu Taman Menara Maju, Taman Bunga Raya dan Taman Bahagia. Dianggarkan sebanyak 2,700 buah rumah di dalam KRT itu yang merangkumi seramai 5,000 penduduk.
Sementara itu, Pengerusi KRT Menara Maju, T. Kanniappan memberitahu, setelah dibaik pulih, barulah gelanggang futsal tersebut sesuai untuk kanak-kanak di kawasan itu bermain.
"Golongan dewasa kebiasaannya bermain bola sepak di padang bersebelahan gelanggang futsal ini.
"Sewaktu gelanggang ini mengalami kerosakan, kanak-kanak tiada tempat untuk bermain. Pembaikan gelanggang ini sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak untuk bermain di sini.
"Selain futsal, kanak-kanak di kawasan ini juga aktif dalam sukan sepak takraw, dodgeball dan kabaddi. Pihak Milo juga banyak membantu pembangunan sukan di KRT Menara Maju sejak tahun 2007," ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: