MELIHAT seleksi hidangan yang dipersembahkan Chef Shaiful Hailmi dari Restoran Bunga Emas, Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, hati tertanya-tanya di manakah hidangan Melayu yang dijanjikan?
Ini kerana sekali pandang rupa bentuk menu tersebut langsung tidak mencerminkan ciri-ciri masakan tradisi Melayu. Sebaliknya, ia dipenuhi dekorasi moden yang menjadikan sajian tersebut bersifat eksklusif.
Namun, apabila lidah mulai merasa satu persatu seleksi hidangan yang ada, jelas membuktikan daya kreativiti chef muda tersebut dalam mengolah resipi tradisi berkenaan.
Menurut Chef Shaiful, sajian tersebut dihasilkan sempena meraikan Festival Gourmet Antarabangsa Malaysia (MIGF) yang berlangsung sepanjang Oktober ini.
“Ia merupakan pakej makan malam yang istimewa untuk dinikmati para pelanggan kami. Secara keseluruhan, terdapat 11 menu yang ditawarkan yang pasti menggamit selera.
“Antaranya adalah sup labu loceng habbatus sauda, salmon jingga kasturi dan kombinasi hati itik dengan buah salak madu sebagai pembuka selera,” katanya sambil memberitahu, meskipun ia hidangan bersifat moden, namun ia masih mengekalkan ciri tradisional terutamanya dalam aspek rasa.
Untuk sajian utama, para pengunjung boleh menikmati keenakan ikan sebelah asam katok, botok ketam alaska air asam jeruk madu, daging wagyu panggang paku pakis dan ayam dara selera timur serta nasi dagang daun cekor.
|
Nafas baharu
Menurut Chef Shaiful, sajian tersebut diolah dan diberi nafas baharu agar ia boleh dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.
“Sempena MIGF tahun ini, saya berharap para pelanggan akan berpuas hati dengan pilihan sajian kami ini. Sekali pandang memang ia kelihatan seperti sajian barat. Tetapi harus diingat, setiap hidangan menggunakan bahan asas masakan tradisional yang terdiri daripada rempah-ratus asli,” ujarnya.
Sementara itu, sajian pencuci mulut bagi pakej hidangan ini terdiri daripada cendol gula hangus, dodol dan tempe serta air sagat asam boi yang mengasyikkan. Tidak ketinggalan minuman teh misai kucing atau kopi kampung untuk dicuba.
Restoran Bunga Emas menyertai MIGF buat kali kelima tahun ini. Program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu merupakan medan untuk mengetengahkan masakan Melayu kepada pelancong asing ke negara ini.
Dekorasi dalaman di restoran ini juga mampu memberi ketenangan pada pada pengunjung. Selain dipenuhi ukiran kayu yang memberi sentuhan kemelayuan, ia turut dihiasi gantungan daun-daun berwarna emas berbentuk hati.
Restoran ini boleh memuatkan kira-kira 80 pengunjung dalam satu-satu masa dan turut menyediakan pilihan duduk bersila sebagai pilihan untuk menikmati makanan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.theroyalechulan.com atau hubungi talian 1-300-88-9688.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: