• 30 tahun lari secara mengundurSudah 30 tahun lelaki ini berlari secara mengundur di Pulau Pinang. Gambar kecil: Md Kassim

GEORGETOWN - Jangan terkejut sekiranya ketika memandu anda tiba-tiba ternampak seorang lelaki berlari secara mengundur.

Ini kerana sudah 30 tahun lelaki dari Kampung Rawa itu berlari dengan teknik sedemikian.

Uniknya, Md Kassim Mydin yang berusia 62 tahun itu mengamalkan larian mengundur ketika berjoging setiap hari di sekitar kawasan pulau negeri ini.

Lebih menarik apabila pesara kerajaan itu mampu melintas jalan raya yang dipenuhi dengan kenderaan hanya dengan berlari secara mengundur.

Menurutnya, dia mula aktif berlari sejak usia muda lagi dan mula berlari menggunakan teknik berkenaan sejak awal usia 30an.

“Sebenarnya berlari secara normal dengan langkah ke hadapan sudah biasa dilihat, malah berjalan ke belakang juga pernah ada di Ipoh satu ketika dahulu, tapi untuk berlari secara mengundur memang saya tidak pernah jumpa lagi sesiapa yang boleh buat sedemikian di
sini.

“Pada saya terdapat kelebihan dengan melakukan larian sebegini iaitu saya dapat menguatkan otot tulang belakang, dan memang tidak dinafikan stamina yang kuat diperlukan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Md Kassim akan berlari sesudah Subuh dan kawasan tumpuannya termasuk di Jalan Scotland, Jalan Gottlieb, Kebun Bunga dan Taman Belia.

Menurutnya, walaupun sehingga usia 60 tahun dan masih kuat berlari, dia tidak pernah menyertai pertandingan larian.

“Di Pulau Pinang banyak aktiviti larian, tapi saya lebih selesa melakukannya bersendirian, lagipun nanti orang lari ke hadapan, hanya saya yang ke belakang,” katanya.

Disebabkan minatnya, Md Kassim bukan hanya berlari mengundur semata-mata, namun sukakan cabaran berlari di jalan yang dipenuhi dengan kenderaan.

Ketika berkunjung ke Bandung Indonesia dan Bangi di Kuala Lumpur, dia turut berlari secara mengundur di jalan raya yang sesak di situ.

“Selain kepuasan, apa yang saya dapat ialah keyakinan kerana berani melakukan sesuatu yang lain daripada lain, apa pun saya yakin dengan kuasa ALLAH,” katanya.