Saturday, October 26, 2013

Butik buah-buahan gred A dari Jepun



MUZIK klasik berkumandang perlahan pada corong pembesar suara di butik Senbikiya yang terletak di tengah Tokyo itu. Beberapa kakitangannya yang lengkap berpakaian seragam kelihatan sopan dan ramah ketika mengalu-alukan kehadiran pelanggan.
Mereka dibawa ke kerusi yang dikhaskan, di situ pekerja akan berlutut di sebelah pelanggan untuk mengambil pesanan. Siling tinggi menyerlahkan keanggunannya, limpahan lampu yang dipasang cukup menarik manakala rak-rak kaca pameran tersusun rapi di segenap penjuru premis itu.
Bagaimanapun ia bukan sebuah butik beg tangan berjenama atau kedai yang menjual emas dan berlian. Senbikiya hanyalah sebuah outlet yang menjual buah-buahan. Ia menjual buah epal menyamai saiz kepala bayi, dengan warna merah menyala dan kulit yang licin berkilauan dengan harga 2,100 yen (RM68) sebiji. Senbikiya Queen Strawberries yang didatangkan dalam kotak berisi sedozen pula dijual pada harga 6,825 yen (RM221).
Buah tembikai susu yang dijual di butik itu kelihatan cukup sempurna. Ia lengkap dengan identiti tangkai hijau berbentuk seakan-akan huruf T. Ia dijual pada harga 34,650 yen (RM1,121.30) untuk tiga biji.
"Kami merupakan pakar untuk pemberian hadiah, khususnya buah-buahan. Disebabkan itu buah-buahan perlu kelihatan menarik.
"Buah-buahan yang hendak dibungkus mestilah daripada gred terbaik, kemudian barulah kami tawarkan perkhidmatan pembungkusan. Kombinasi kedua-dua ini yang dibayar oleh pelanggan," kata Ushio Oshima, generasi keenam yang menguruskan kedai milik keluarganya itu yang beroperasi sejak awal abad ke-19.

BUAH tembikai susu yang dihasilkan dengan kaedah Shizuoka ini merupakan produk pertanian terbaik dari daerah Shizuoka.


Reputasi perniagaan
Setiap tahun, terdapat dua musim pemberian hadiah di Jepun iaitu pada musim panas dan musim sejuk.
Ia tidak sekadar tradisi bertukar-tukar hadiah dalam kalangan ahli keluarga tetapi dilihat lebih daripada itu. Hadiah ditawarkan sebagai tanda ucapan terima kasih, misalnya kepada seorang ketua. Kebanyakan syarikat juga sering menghantar hadiah kepada pelanggan atau rakan perniagaan mereka bagi yang tujuan sama.
Senbikiya dilihat berjaya mencipta reputasinya yang tersendiri dalam perniagaan itu. Di Jepun, ia boleh diumpamakan seperti Issey Miyake dalam kalangan pencinta fesyen atau Rolls Royce untuk penggemar kenderaan. Bagaimanapun, keinginan untuk mendapatkan buah-buahan terbaik melebihi daripada jangkauan sebenar.
Pelancong ke Jepun sering terkejut dengan melihat buah-buahan yang dipamerkan dan harga yang tertera.
Buah-buah yang berbentuk tidak sekata akan disimpan di luar rak manakala yang busuk atau rosak pula awal-awal lagi sudah disaring sebelum memasuki premis berkenaan.
Buah anggur datang dalam kuantiti yang kecil dan dibungkus rapi, setiap biji mempunyai saiz seperti buah plum dan ia sangat manis dan berperisa sehingga ada dalam kalangan pelancong Barat berfikir mereka termakan buah tiruan.

PETANI di Jepun sangat menitikberatkan aspek penjagaan tanaman bagi mendapatkan produk-produk yang berkualiti tinggi.


Sebiji epal bersaiz sederhana berharga 196 yen (RM6.35) dan mungkin lebih tinggi di tengah-tengah Tokyo sehingga memaksa sebuah keluarga terpaksa berkongsi jika mahu merasainya.
"Buah-buahan merupakan barangan mewah di sini, bukan seperti sayur-sayuran," kata Hiroko Ishikawa, yang merupakan salah seorang pengedar buah-buahan di bandar raya itu.
"Kamu memerlukan sayur-sayuran dalam kehidupan seharian tetapi kamu boleh hidup tanpa buah-buahan. Jadi sekiranya mahu membelinya sebaiknya ia mestilah buah yang segar dan berkualiti tinggi. Kamu tidak mahu makan buah yang cacat atau rosak kerana kamu telah membayarnya. Ia seharusnya kelihatan baik dan sempurna," kata Ishikawa.
Dia bertanggungjawab membuat penawaran buah-buahan domestik dan pengimportannya. Bagaimanapun, wanita itu ragu-ragu ke mana wang itu digunakan.
"Ia merupakan persepsi rakyat Jepun. Mereka antara punca menyebabkan sektor ini semakin berkembang."
Kesediaan untuk membayar lebih bagi buah-buahan dari Jepun telah melahirkan beberapa industri yang luar biasa. Di wilayah Shizuoka, yang mengambil masa satu jam setengah dengan menaiki kereta api di barat Tokyo, lebih 600 petani bertungkus-lumus menanam tembikai susu terbaik, biarpun kawasan ladang mereka dilitupi salji.
Salah seorang daripadanya, Masaomi Suzuki. Biarpun hampir 50 tahun bergelumang dalam bidang pertanian namun, katanya, dia mempelajari perkara baharu setiap hari.
Proses penanaman bermula dengan biji benih terbaik. Persatuan peladang tempatan berusaha menghasilkan baka baharu setiap tahun untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan mereka.

BERKONSEPKAN ala butik, Senkibiya menawarkan buah-buahan terbaik dan berkualiti tinggi dari seluruh Jepun.


Ketika buah tembikai susu mula membesar, hanya satu pokok ditinggalkan bagi memastikan semua nutrien diserap tanpa ada sebarang persaingan sekali gus menghasilkan buah yang manis dan berjus.
Pemangkasan dilakukan secara kerap bagi memastikan tembikai susu tumbuh pada baris dan ketinggian yang sama. Tangkainya disokong dengan tali untuk menampung berat di samping penggunaan topi kecil yang dibuat daripada plastik mengelakkan buah daripada terkena pancaran matahari.
Kaedah Shizuoka
Tembikai susu yang ideal berbentuk sfera sempurna, berwarna hijau pucat, mempunyai corak halus dan apa yang lebih penting tangkai berbentuk huruf T. Gred tembikai susu terbaik di Shizuoka, diklasifikasi sebagai Fuji, menurut Suzuki, biarpun menggunakan sepenuh kemahiran dan kudratnya, dia hanya mampu meningkatkan pengeluaran sebanyak tiga peratus berbanding sebelum ini.
Menghasilkan tembikai susu yang sempurna untuk memenuhi kehendak rakyat di negara itu sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Suzuki sendiri mempunyai tiga rumah hijau bersaiz sederhana di ladangnya. Setiap hari dia terpaksa menggunakan 55 liter petrol untuk memastikan tanamannya membesar pada suhu ideal.
Dia terpaksa mengubah program apabila matahari naik dan terbenam dan apabila berlaku perubahan angin untuk mengekalkan ketepatan suhu, melihat tanamannya tanpa jemu siang dan malam selama 365 hari.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: