|
KETIKA ini kewujudan laman- laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter menjadi medan kepada artis untuk berkongsi dengan peminat mengenai aktiviti seharian yang dilakukan.
Sewaktu menatap laman Instagram milik pelakon Nazim Othman, terdapat beberapa keping gambar bersama kekasihnya, Bella Dally. Menariknya, lokasi gambar berkenaan adalah di luar negara.
Secara kebetulan pula Kosmo! telah mengaturkan sesi fotografi bersama Bella baru-baru ini. Lantas, perkara tersebut terus ditanya kepada diri Bella sendiri berkenaan gambar-gambar berkenaan supaya tidak timbul seba- rang keraguan.
"Ya, saya mengaku ada pergi ke Eropah dengan Nazim tetapi bukan kami berdua sahaja. Sebaliknya, ia turut disertai oleh beberapa rakan pelakon yang lain seperti Nabila Huda dan Elfira Loy pada Ogos lalu.
"Sebenarnya Nazim ke Eropah bertujuan untuk menjalani penggambaran telemovie dan drama bersiri arahan Erma Fatima, namun saya tidak terbabit dalam sebarang penggambaran dan sekadar mahu bercuti sahaja," akui pelakon berusia 22 tahun itu.
Ketika ditanya tentang tujuannya mengikuti kekasih hatinya itu ke Eropah, sedangkan dia langsung tidak terbabit dalam sebarang penggambaran, pemilik nama sebenar Nabilah Ali Dally itu menjelaskan bahawa semuanya bermula daripada ajakan Erma.
Menurut Bella, pengarah berkenaan pernah menyuruh Nazim supaya bertanya sama ada saya ingin turut serta pergi ke Eropah. Kemudian perkara tersebut terus disampaikan pula kepadanya.
"Sebenarnya saya sudah lama ingin bercuti ke Eropah tetapi masa selalu tidak mengizinkan. Kami pergi sekitar bulan Ogos lalu dan secara kebetulan pula jadual lakonan saya tidak padat.
"Saya memberi persetujuan untuk ikut semata-mata kerana menghormati ajakan daripada kak Erma. Kalau tidak, sudah tentu saya tidak turut serta kerana tidak mahu ganggu kerja orang lain," ujarnya yang mempunyai hubungan baik dengan Erma sejak menyertai program Pilih Kasih 1 dahulu.
Menurutnya, sepanjang berada di Eropah, dia ditemani oleh adik Erma iaitu Betty dan sempat pergi ke beberapa buah negara seperti Jerman, Austria, Switzerland, Itali dan Belanda selama dua minggu.
Ketika diminta mengulas mengenai hubungan yang terjalin dengan Nazim, pelakon kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu meminta seboleh-bolehnya perkara tersebut tidak terlampau didedahkan kepada umum.
Alasan Bella, dia enggan sekiranya kisah cintanya itu lebih diberi perhatian berbanding kerjaya lakonannya. Pada masa sama, dia bukanlah jenis yang suka bercerita mengenai cinta, termasuk kepada ahli keluarga- nya sendiri.
"Bagi saya, kisah cinta itu adalah milik peribadi sendiri dan tidak perlu terlampau didedahkan kepada umum. Biarlah setakat orang tahu yang kami ini sedang bercinta, selebihnya biarlah tidak diceritakan.
"Selain itu, kami sepakat untuk elak daripada menjalani sesi fotografi berdua tetapi kalau digandingkan dalam lakonan, kami tidak kisah kerana ia berkaitan kerja dan rezeki," ujarnya yang belum pernah berkesempatan bergandingan dengan Nazim sejak mereka bercinta pada tahun lalu.
Masih selektif
Pembabitan awal Bella Dally dalam dunia lakonan selepas menyertai program Pilih Kasih 1, dia banyak diberikan peranan sebagai watak antagonis dalam drama bersiri atau telemovie.
Sehinggakan anak kepada pasangan Weana Quadra dan Ali Abdul Wahid Daly itu pernah mengeluarkan kenyataan yang dia enggan lagi membawa watak sedemikian dengan alasan ia mengundang rasa kurang senang kedua ibu bapanya yang selama ini menyokong pembabitannya dalam bidang seni.
"Biasanya sebelum menerima sesuatu tawaran saya akan baca skrip yang diberikan terlebih dahulu. Kalau merasakan watak yang diberikan kurang sesuai dan tidak memenuhi keinginan, saya akan berterus terang.
"Mungkin ada yang berpanda- ngan bahawa agak kurang wajar kalau saya terus bersikap selektif tetapi saya masih berasa selesa dengan keadaan sekarang ini.
"Paling penting saya perlu menjaga hati ibu bapa supaya tidak membawakan watak yang melampau," jelasnya.
Tidak pernah terlintas di hatinya untuk bergelar seorang anak seni, Bella memberitahu, sokongan daripada ibunya yang menyuruh dia mencuba nasib menyertai program Pilih Kasih 1 merupakan pembuka jalan buat dirinya.
Menurut anak bongsu daripada dua orang adik-beradik itu, mengambil langkah untuk berhijrah ke Kuala Lumpur seawal usia 18 tahun untuk mengembangkan kerjaya lakonan dilihat sebagai satu langkah yang tepat.
"Pada mulanya saya tidak ambil serius sangat, tetapi lama- kelamaan minat terhadap dunia lakonan semakin menebal dan saya sukakan kerjaya ini kerana ia cukup fleksibel.
"Namun begitu, saya juga perlu membalas kepercayaan yang diberikan oleh keluarga apabila mereka membenarkan saya aktif dalam bidang lakonan. Itu yang membuatkan saya perlu bersikap sebegini, namun yakin kerjaya saya akan tetap berkembang," ujarnya.
Masalah pertuturan
Walaupun sudah empat tahun menetap di Kuala Lumpur bersama abangnya yang bekerja sebagai seorang peguam, Bella dilihat masih lagi kurang fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
Jelas pelakon berdarah kacukan Pakistan/Melayu (bapa) dan Filipina/ Eurasian (ibu) itu, masalah pertuturan sememangnya menjadi cabaran paling besar buat dirinya ketika mula-mula berkecimpung dalam bidang lakonan.
"Selalunya kalau berada di rumah saya dan ahli keluarga lain akan bertutur dalam bahasa Inggeris atau Melayu Sabah. Itu yang menyebabkan saya agak sukar bertutur dalam bahasa Melayu biasa.
"Keadaan memang agak teruk ketika saya mula-mula berlakon dahulu, tetapi saya anggap ia suatu cabaran yang besar.
"Bagaimanapun, masalah tersebut akhirnya dapat diatasi dengan baik hasil pertolongan rakan-rakan artis lain," jelasnya.
Menurut Bella, satu lagi punca dia masih lagi kurang fasih berbahasa Melayu dengan baik kerana kekerapannya pulang ke kampung halamannya setiap kali selesai menjalani sesebuah penggambaran.
"Apabila pulang ke kampung halaman saya akan selalu terikut-ikut dengan gaya pertuturan di rumah, meskipun sudah kembali ke Kuala Lumpur.
"Memang perkara sebegini kelihatan agak remeh tetapi saya tetap berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: