|
BIAR bergerak selaju cahaya mana mungkin bintang yang berkerdipan di langit dapat tergenggam ke tapak tangan. Namun mimpi dan cita-cita manusia tiada sekatan. Bermimpilah sampai ke bintang, tetapi mimpi itu tak kemana tanpa usaha sedaya-upaya.
Bawaku Pergi sudah pun menunjuk jalan terbentang untuk Kaka Azraff, 24, mencorak haluan. Berkeras mempertahankan identiti walaupun terhambat bayangan Ratu Rock Ella, Kaka tetap tidak berganjak mendepani misi bergelar penyanyi.
Sudah lebih setahun namanya menembusi perhatian pencinta seni hiburan dan hari ini, dia hadir lagi dengan sebuah judul yang mendefinisikan segala haluan hati. Bermula dengan Bawaku Pergi yang dilancarkan awal tahun 2012, kini Infiniti Cinta membawa Kaka ke satu lagi fasa untuk mengukuhkan lingkungan pengaruh. Dia mahu khalayak tahu, kecintaannya bukan sekadar percubaan.
"Kritiklah apa sahaja, saya memang mahu jadi penyanyi dan saya yakin, peluang untuk saya akan ada jika saya tidak kenal erti putus asa. Saya masuk ke dalam industri bukan untuk uji nasib, tapi serius mahu jadikan nyanyian sebagai karier. Apa yang terjadi dulu tidak dirancang, tapi kali ini penghasilannya lebih serius dan matang.
"Tetapi, jika hendak dikatakan bahawa Infiniti Cinta sebagai pengukuhan nama dan karier saya, rasanya ini belum lagi. Saya anggap Infiniti Cinta sebagai langkah kedua dan lagu 'balas dendam' terhadap segala kontroversi Bawaku Pergi, duet bersama Zizan Razak sebelum ini. Saya dan Zizan mahukan sebuah kesinambungan dan membuktikan bahawa kami bukannya membawa mesej negatif melalui lagu," anak kelahiran Klang, Selangor itu melenturkan fahamannya.
|
Bercakap tentang pengukuhan dan pengaruh, Kaka sedar anggapan khalayak terhadap dirinya. Masuk ke dalam industri menerusi duet bersama Zizan yang mempunyai pengaruh besar, secara tidak langsung sokongan yang diterima banyak diterima daripada peminat Zizan sendiri.
"Kalau untuk pengukuhan karier dan pengaruh, saya lebih berharap kepada single solo pertama nanti. Itu baru betul satu pengukuhan. Bukan saya tidak yakin dengan impak Infiniti Cinta tetapi dalam lagu itu orang masih melihat saya menempel atas populariti Zizan. Saya tak salahkan gelaran sebegitu namun populariti juga sangat subjektif, mungkin betul, mungkin juga tidak.
"Jadi, kredibiliti saya akan benar-benar teruji dengan single terbaharu yang akan dilancarkan Disember nanti. Itulah produk yang akan membuktikan sama ada saya boleh berdiri atas kaki sendiri atau tidak," katanya penuh misi.
Heret bayangan Ella
Berbilang rasa, takut dan gementar namun keterujaan menanti kelahiran single yang diberi judul Kepulangan itu jelas terpampang pada wajahnya.
"Kepulangan sebuah lagu tentang kekuatan semangat dan hati seorang wanita. Lagu itu ciptaan sepenuhnya daripada komposer baharu bernama QZ. Kalau bercakap tentang lirik, saya suka lirik lagu itu yang tidak terlalu fokus kepada cinta sebaliknya lebih kepada motivasi. Rasanya lagu itu sangat kena dengan saya. Saya suka lagu-lagu Beyonce, lagu-lagu banyak berkisar tentang kekuatan wanita. Perasaan saya lebih ke arah itu, bukannya cinta," ujar Kaka yang mahu menawan hati peminat sedalam-dalamnya.
Sudah menjadi adat, mempunyai pertalian darah dengan orang ternama, sudah tentu tempiasnya terpercik juga ke wajah pemilik nama Nor Atiqa Noor Azraff ini. Menjadi anak saudara kepada Ella ternyata menjadi satu daripada arus cabaran yang harus ditelan Kaka sepanjang hidupnya. Sejak dari mula hendak menapak dan sehinggalah sekarang, khalayak masih melihat bayangan Ella pada kelibatnya.
"Perkara itu memang sudah tidak dapat dielak, ia tetap datang. Saya sudah lali dan menganggap perkara itu sebagai sebahagian daripada saya. Sejak kecil, saya antara anak saudara yang rapat dengan Ella dan menjadikan dia sebagai idola. Jadi, jika saya kelihatan terikut-ikut dengan cara Ella, itu tidak boleh disangkal. Saya okey dengan apa sahaja pandangan orang.
|
"Sebab itulah saya pilih jalan sendiri. Kalau boleh saya juga mahu memintas bayang-bayang itu. Tapi siapalah saya untuk dibandingkan dengan ibu saudara saya itu, dia Ella dan saya tidak boleh buat apa-apa jika terus dikaitkan sebagai bayangan Ella. Apa yang boleh saya cakap, saya tidak semanja Ella. Selagi boleh, saya akan pandu diri agar mengelak daripada bermain rambut atau bercakap dengan nada seperti Ella tapi kadang-kadang terlepas juga.
"Cuma harapan saya, moga suatu hari nanti, khalayak akan menerima Kaka sebagai Kaka, bukan sekadar bayangan," katanya yang merupakan anak kepada abang kandung Ella, Noor Azraff Aminuddin yang telah meninggal dunia.
Anak ketiga daripada empat beradik itu yakin langkah menceburi bidang seni bukan batu loncatan untuk populariti mahupun eksperimental. Dia percaya darah seni yang memenuhi urat sarafnya itu sedang dialirkan ke laluan yang sewajarnya. Jika boleh, Kaka juga mahu menjadi seperti selebriti lain, bukan sekadar nyanyian dia juga meminati dunia pengacaraan.
Merisik perkembangan terbaharunya, Kaka menyatakan dia bakal terlibat dalam penggambaran program televisyen berjudul Superder. Program seumpama Jalan-Jalan Cari Makan itu menyaksikan Kaka menjelajah seluruh negara mencari dan mencuba sajian lewat malam yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: