Saturday, October 26, 2013

Berubat sambil melancong



DALAM kesibukan kerjaya, Janet Olisa yang menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Nigeria di Malaysia, beliau tetap mengambil berat terhadap kesihatan ibunya yang menetap di negara asalnya.
Setelah dua tahun menetap di negara ini, beliau tersentak apabila mendapat berita ibu kesayangannya diserang penyakit jantung baru-baru ini.
Atas nasihat rakan-rakan di pejabatnya, beliau telah membawa ibunya yang berumur 80 tahun itu untuk menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
“Arteri kiri jantung ibu saya tersumbat sehingga menyebabkan dia sukar untuk bernafas. Walaupun ramai doktor perubatan di Nigeria, tetapi tiada pakar jantung. Selain itu, pesakit-pesakit di hospital juga terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
“Saya mengambil langkah berani dengan membawa ibu ke Malaysia untuk menerima rawatan di IJN walaupun tahu akan berdepan dengan pelbagai risiko. Anak perempuan saya menemani ibu dari Nigeria ke Malaysia,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Selepas menjalani pembedahan yang menelan belanja sebanyak RM45,000, ibunya semakin pulih dan kini telah kembali ke Nigeria. Selama seminggu ibunya mendapat rawatan tersebut, Olisa amat berpuas hati dengan servis yang disediakan oleh pihak hospital.
Pada masa sama, ibu Janet berpeluang berlibur di sekitar Kuala Lumpur selepas pembedahan tersebut berjaya. Ia juga merupakan satu pengalaman baharu kepada ibunya sewaktu berkunjung ke Malaysia.
IJN merupakan salah satu destinasi tumpuan para pesakit dari rantau Asia untuk membuat rawatan atau pembedahan jantung dan hati. Kunjungan pesakit-pesakit dari luar negara ke Malaysia dikategorikan sebagai pelancongan perubatan dan ia merupakan salah satu penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Selain mendapatkan rawatan dan pembedahan, pesakit berpeluang berkunjung ke kawasan tumpuan pelancongan di Malaysia.
PRINCE COURT menyediakan pelbagai kemudahan untuk pesakit sepanjang menerima rawatan di pusat perubatan itu.


Promosi
Majlis Pelancongan dan Kesihatan Malaysia (MHTC) merupakan agensi utama kerajaan untuk membangunkan dan mempromosi industri pelancongan berteraskan kesihatan dan perubatan di negara ini.
Pengurus Komunikasi Korporat dan Servis Pesakit IJN, Aina Jamil memberitahu, pelancongan perubatan di pusat perubatan tersebut bermula pada tahun 2010.
“IJN menyediakan sebanyak 464 buah katil untuk pesakit dalam satu-satu masa.
“Sejak mula dibuka 21 tahun lalu, IJN telah merawat kira-kira dua juta pesakit dalam dan luar negara sekali gus dikategorikan sebagai pusat perubatan terbesar di rantau Asia,” ujarnya.
Menurutnya, pesakit jantung dari Indonesia merupakan antara yang paling ramai berkunjung ke IJN sejak tahun 2010. Negara lain termasuk Myanmar, India, Iraq, Britian dan Yemen.
Pembedahan dan rawatan yang disediakan oleh pihak IJN kepada pesakit terbahagi kepada empat iaitu rawatan pesakit luar, rawatan pesakit, perkhidmatan kesihatan bersekutu dan program saringan eksekutif.
Dua bulan lalu, pihak IJN memperkenalkan satu kaedah rawatan baharu iaitu Payung Nyawa yang bertujuan untuk membantu mengepam jantung pesakit.
Penglibatan IJN dalam MHTC merupakan cara terbaik untuk untuk mempromosikan pelancongan perubatan di Malaysia. Sehingga kini, IJN juga berada dalam radar pesakit-pesakit jantung dari negara Nauru dan Kazakhtan untuk mendapatkan rawatan.
“Pihak IJN dalam proses untuk mempertingkatkan aplikasi dalam laman web rasmi pusat perubatan. Antaranya, ruangan perbualan secara langsung yang boleh diakses pengguna internet seluruh dunia.
“Menerusi ruangan perbualan secara langsung, pesakit boleh bertanyakan sebarang persoalan mengenai penyakit jantung secara terus kepada pihak IJN. Koordinator yang mengendalikan laman web akan mendapatkan penjelasan secara terus daripada doktor bagi menjawab soalan,” jelasnya.
Kewujudan hospital-hospital pakar di seluruh negara memberi kemudahan kepada pelancong yang membuat rawatan di Malaysia. Rawatan-rawatan yang ditawarkan di hospital swasta pula merangkumi pelbagai aspek antaranya, pemeriksaan kesihatan, pembedahan dan rawatan ortopedik.
Kolaborasi pelbagai sektor seperti kesihatan, syarikat penerbangan, agensi pelancongan, insurans dan perhotelan membantu pembangunan industri pelancongan yang berteraskan perubatan di Malaysia.

LAYANAN baik pihak hospital menjadi faktor lain yang menarik pesakit dari luar negara untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.


Faktor kos
Pegawai Eksekutif Jualan dan Pemasaran Pusat Perubatan Prince Court (Prince Court), Noraini Abdullah memberitahu, faktor kos pembedahan dan rawatan yang murah di kebanyakan hospital Malaysia ternyata menarik perhatian pesakit dari luar negara.
“Jika dibandingkan dengan Singapura, kos pembedahan dan rawatan di sini jauh lebih murah. Dalam Akta Perubatan 1971 telah termaktub bahawa rundingan pertama pesakit dengan doktor hospital swasta akan dicaj dengan kadar bayaran tetap iaitu RM180. Begitupun hospital di Singapura, mereka tidak menetapkan caj yang minimum untuk pesakit yang pertama kali berunding dengan doktor,” ujarnya.
Kelengkapan, pembedahan dan rawatan hospital di Singapura sama seperti di Malaysia. Namun, perbezaan kadar bayaran yang jauh lebih tinggi menyebabkan pesakit dari luar negara memilih Malaysia untuk menjalankan pembedahan dan rawatan.
Prince Court merupakan salah sebuah hospital yang terlibat dalam mempromosikan pelancongan perubatan di Malaysia.
Selain daripada pembedahan dan rawatan, pusat perubatan yang dimiliki oleh syarikat petroleum, Petronas itu menyediakan pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang selesa untuk pesakit yang mendapatkan rawatan di situ.
Pusat perubatan yang mula dibuka sejak tahun 2008 itu juga menyediakan pelbagai pusat rawatan untuk pesakit antaranya ialah pusat jantung, pusat kanser, ortopedik, pusat persenyawaan in-vitro (IVF) dan kosmetik.
MESIN Pengimejan Resonan Magnetik digunakan untuk proses diagnosis pesakit jantung di Prince Court.


Kemudahan
Menurut Noraini, selain penginapan di pusat perubatan, pesakit juga boleh memilih untuk menginap di hotel sekitar ibu kota.
“Lokasi Prince Court yang terletak di Jalan Kia Peng memberi kemudahan kepada pesakit untuk memilih penginapan mereka. Kebanyakan pesakit dari luar negara yang membuat rundingan bersama doktor di sini akan tinggal di hotel berdekatan seperti Hotel Prince, Mandarin Oriental dan Hotel The Royale Chulan.
“Pesakit dari luar negara memilih Prince Court untuk mengadakan temu janji kerana masa rundingan lebih lama sekali gus dapat mengetahui lebih lanjut tentang penyakit dalam masa yang singkat. Sementara pesakit menunggu laporan kesihatan, mereka juga berpeluang bersiar-siar di sekitar ibu kota,” ujarnya.
Prince Court menawarkan empat kategori bilik untuk pesakit yang menjalankan pembedahan dan rawatan iaitu VVIP Suite, Suite, Junior Suite dan bilik standard.
Pihak pusat perubatan juga menyediakan perkhidmatan jurubahasa Jepun dan Arab bagi pesakit dari dua negara itu bagi memudahkan urusan rundingan dan rawatan di situ.
Penglibatan Prince Court dalam pelancongan perubatan telah mendapat pengiktirafan di rantau ini apabila menerima Anugerah Bilangan Pesakit Pelancongan Perubatan 2013.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: