Monday, October 28, 2013

Lonjakan baharu industri tenusu



PETER HOEKS, 58 dari selatan Belanda menggambarkan persekitaran ladang ternakan lembu di negaranya bukan sahaja luas menghijau, malah lembu-lembu dilatih mengikut sistem standard untuk sesi memerah susu. Ia jauh berbeza dengan kaedah ternakan di Malaysia yang kekurangan kawasan hijau dan banyak menggunakan sistem menyusu manual, di samping kaedah penternakan tradisional.
Menurutnya, cara penternakan yang begitu sistematik dan inovatif antara sebab lembu-lembu di negara seperti Belanda mempunyai kapasiti tinggi penghasilan susu, diikuti kualiti susu yang ja juga memainkan peranan terhadap kualiti dan kuantiti susu lembu. Kami harap dapat menyalurkan sebanyak mungkin maklumat dan saling berkongsi pengalaman bersama penternak lembu di negara ini demi kebaikan bersama," ujarnya.
Hoeks bersama dua rakannya, Andre Bakker dan Minne Holtrop ditemui selepas berkongsi ilmu mengenai penternakan lembu bersama penternak tempatan susulan penganjuran program Farmer2Farmer (F2F) oleh syarikat tenusu terkemuka, Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady Malaysia) di Melaka baru-baru ini.
Program itu merupakan salah satu usaha memperkaya dan menggandakan penghasilan susu tempatan, di samping meningkatkan jaringan rangkaian dalam sektor tersebut.
"Dalam industri penternakan, semua orang berkongsi prinsip yang sama, cuma sistem yang diamalkan sahaja berbeza. Selain itu, faktor seperti cuaca kering dan lembap, penternakan yang mengehadkan tempoh lembu-lembu meragut rumput dan kekurangan pendedahan tentang industri penternakan menyebabkan penternak berhadapan dengan masalah meningkatkan produktiviti susu.
"Biarpun faktor semula jadi tidak boleh diperbetulkan, kami cuba untuk membantu dari segi pendidikan dan perkongsian pengalaman," kata Bakker pula.
Tambahnya, mereka bernasib baik dengan keadaan cuaca di Belanda dingin. Bukan itu sahaja, sistem penternakan di sana juga berbeza kerana lembu-lembu tidak ditempatkan dalam kandang seperti di Malaysia. Sebaliknya, haiwan ternakan itu dilepas bebas di lapangan kecuali sewaktu memerah susu, yang mana ia telah dilatih untuk kembali ke stesen pemerahan mengikut waktu yang ditetapkan.

PENGGUNAAN mesin pemerah inovatif dapat memudahkan pengumpulan susu.


Manfaat program
Menurut Holtrop, di Belanda terdapat pusat pendidikan atau kolej pertanian yang banyak berkongsi ilmu dan melatih para penternak mengenai teknologi dan kaedah terbaharu penternakan lembu.
"Walaupun masa bersama penternak tempatan sangat terhad, kami cuba memanfaatkan masa yang diberikan dan berkongsi pengetahuan tentang cara terbaik menguruskan ladang, tatacara pengendalian susu dan haiwan yang baik, program nutrisi dan amalan penjagaan serta kawalan penyakit," ujarnya.
Program F2F, yang dijalankan di bawah Program Pembangunan Tenusu (DDP) oleh Dutch Lady Malaysia, diadakan di Perak dan Melaka dengan melibatkan 60 orang penternak termasuk ahli Koperasi Serbaguna Tenusu Melaka (KST) dan Koperasi Penternak Tenusu Negeri Perak (KOPTEN).
Pada majlis perasmian yang diadakan di Ladang Tenusu KST Semujuk di Melaka, Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Rahul Colaco berkata, objektif utama penganjuran DDP adalah untuk meningkatkan kesedaran penternak dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti susu serta tahap piawaian menyeluruh industri.
"Kami merasakan pengalaman bersama tiga penternak berprofil tinggi dari Belanda ini akan memberi bimbingan yang amat berguna kepada para penternak tempatan. Penganjuran sesi latihan dan program perkongsian maklumat ini juga seiring dengan sambutan ulang tahun ke-50 Dutch Lady Malaysia," katanya.
Beliau turut memberitahu Malaysia merupakan negara kedua yang mengadakan program tersebut selepas FrieslandCampina di Thailand.
Selain sesi bimbingan interaktif yang diadakan, para penternak tempatan turut menerima poster tentang penyakit lembu. Poster yang amat berguna, mudah dibaca dan difahami itu mampu membantu pengusaha mahupun pekerja di ladang untuk mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum ia merebak pada lembu-lembu lain.
Sebahagian daripada penganjuran DDP dibiayai oleh Dutch Lady Malaysia, selain penerimaan subsidi oleh syarikat induknya, Royal FrieslandCampina.

PEGAWAI makmal di pusat pengumpulan susu melakukan 12 jenis ujian sebelum susu diproses.


Daripada 700 penternak yang mendaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), kira-kira 200 orang mendapat manfaat program DDP. Ia turut merangkumi Pahang, Selangor dan Johor.
Menurut Colaco, penternak di Malaysia semakin sedar tentang kesan positif perkongsian maklumat dan kemahiran pengurusan yang menjurus terhadap penjagaan ladang.
Ia sekali gus berupaya meningkatkan taraf kehidupan penternak itu sendiri pada masa hadapan.
Kongsinya, pada peringkat usaha sama dengan JPV untuk menjalankan DDP pada tahun 2008, sasaran utama mereka adalah untuk membantu penternak tempatan meningkatkan piawaian penternakan masing-masing.
Sumbangan negara
Selepas beberapa tahun, objektif program itu terus meluas ekoran usaha untuk memperkukuhkan industri tenusu negara.
"Kami percaya, melalui DDP, kita akan berupaya memberikan motivasi kepada penternak-penternak di Malaysia untuk menyasarkan penghasilan susu yang lebih berkualiti, di samping mempertingkatkan tahap pengeluaran," ujarnya.
Ketika ditanya tentang proses pemilihan penternak dalam menyertai program tersebut, Colaco berkata, ia terbuka kepada semua penternak dan pihaknya bersama JPV seterusnya memilih pengusaha yang menunjukkan komitmen dan mempunyai rekod yang baik. Peserta terpilih juga merupakan penternak yang membekalkan susu kepada Dutch Lady Malaysia.
Ketua Seksyen Tenusu JPV, Dr. Kamaliah Ghazali berkata, buat masa kini, industri tenusu Malaysia dipercayai menyumbang sejumlah lima peratus kepada keperluan negara. Menjelang tahun 2020, angka itu dijangka meningkat kepada 6.3 peratus.

ABRIZAL sedang menghantar 180 liter susu untuk diuji di Pusat Koleksi Susu.


Ujarnya, pada tahun 2012, pendapatan industri tenusu adalah kira-kira RM140 juta dan dijangka naik kepada RM145 juta pada tahun ini.
"Industri tenusu di negara ini telah bertapak semenjak 40 tahun yang lalu, kebanyakan dimiliki oleh keluarga dan berkemungkinan dijalankan oleh generasi kedua, ketiga dan keempat dengan bantuan pekerja upahan.
"Untuk membantu meningkatkan kecekapan dan amalan pengurusan, JPV bekerjasama dengan para penternak bagi membantu meningkatkan produktiviti dan memperbaiki penghasilan susu untuk pendapatan yang lebih baik," jelas Kamaliah.
JPV mempunyai 104 pegawai teknikal yang sentiasa berhubung dengan penternakdan berkongsi maklumat dan sokongan melalui kekerapan lawatan dan penganjuran bengkel-bengkel latihan bagi menaikkan standard pengurusan ladang dan nutrisi haiwan.
Ujar Kamaliah, baka-baka lembu di ladang-ladang di Malaysia adalah dari baka India tempatan (LID) hingga Friesian-Sahiwal, Friesian Cross dan Jersey Cross, yang diimport dari Thailand dan Australia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: