Wednesday, October 30, 2013

Cacat penglihatan bukan halangan



HIDUP dalam kegelapan dengan membayangkan warna-warna kehidupan tentunya bukan suatu yang mudah bagi individu yang cacat penglihatan.
Namun bagi Tokoh Membaca Istimewa, Norhashimah Hashim, 49, ia merupakan cabaran yang perlu diatasi sejak lahir.
Sungguhpun mempunyai tahap penglihatan terhad, sejak kecil lagi guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik di Alor Setar, Kedah ini menjadikan buku sebagai sahabatnya.
Jika kanak-kanak normal lain ketika itu leka bermain dengan kawan-kawan seusia, bagi beliau tiada barang mainan yang lebih mengasyikkan selain buku.
"Saya lebih banyak terdedah dengan bahan bacaan. Ia mungkin disebabkan sejak berumur enam tahun telah tinggal di asrama bersama abang saya, Zahari, yang juga cacat penglihatan.
"Kami telah dihantar ke Sekolah Rendah Pendidikan Khas St. Nicholas, Pulau Pinang memandangkan tidak banyak sekolah pendidikan khas yang wujud berhampiran kediaman kami pada ketika itu," katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.
Anak kelahiran Simpang Empat, Alor Setar yang tinggal di asrama sehingga berumur 12 tahun itu berkata, di sekolah tersebut para pelajar didedahkan kepentingan perpustakaan dan dari situl timbul minatnya untuk membaca.
"Lebih seronok apabila terdapat bahan bacaan berbentuk Braille yang memudahkan kami memahami jalan cerita buku yang dibaca," katanya tersenyum.
Norhashimah kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat menengah di SMK Sultanah Asma di Alor Setar, Kedah sebelum bertukar ke Sekolah Kolej Sultan Abdul Hamid ketika berusia 15 tahun.
"Apabila masuk ke sekolah menengah, cabarannya berbeza kerana terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar normal terutamanya dalam aspek pelajaran.
"Di sini bahan-bahan bacaan untuk pelajar cacat penglihatan adalah terhad berbanding buku-buku biasa," ujarnya.

NOVEL Lambaian Kinabalu pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan 2001.


Rakan-rakan
Masalah kekurangan bahan bacaan dan rujukan masih dirasai ketika Norhashimah melangkah kaki ke Universiti Malaya (UM). Keadaan itu telah memaksa beliau meminta bantuan rakan-rakan untuk membacakan buku ketika mengulangkaji pelajaran.
"Masa itu belum ada teknologi seperti sekarang iaitu alat bantuan bacaan menerusi audio yang memudahkan kami untuk mendengar isi kandungan buku-buku rujukan. Kehadiran rakan-rakan banyak membantu sepanjang pengajian saya di sana.
"Sewaktu di universiti saya juga menghadapi kesukaran untuk menghafal jalan ke kelas kerana jalan yang dibawa oleh rakan-rakan sentiasa berbeza," maklumnya.
Sungguhpun demikian, segala kesukaran yang dihadapi pemegang Ijazah Sastera dan Sains Sosial UM itu tidak dijadikan sebagai satu bebanan, malah beliau menganggap semua itu sebagai cabaran yang perlu diatasi untuk berjaya.
Norhashimah, yang menjadikan ilmu sebagai tunjang dalam kehidupannya, kemudian menyambung pengajian peringkat kursus perguruan lepasan ijazah (KPLI) di Institut Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
"Setelah tamat pengajian, saya terus dapat tawaran untuk mengajar di SMK Tunku Abdul Malik sehingga sekarang," katanya sambil berkongsi pengalaman sebagai telefonis selama tiga tahun di sebuah syarikat swasta ketika menjadi ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia pada tahun 1995.
Menariknya, dalam kesibukan menjalani kehidupan harian, wanita ini tidak pernah lekang daripada buku.
Bidang penulisan
Berkongsi pengalaman penglibatan dalam bidang penulisan, anak kedua daripada lapan beradik ini memberitahu, sebelum menyertai Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) pada tahun 1988, beliau telah menulis skrip drama dan cerpen untuk dihantar ke stesen-stesen radio.
"Saya terlibat di bidang penulisan setelah tamat pengajian di UM. Ketika itu saya sering terfikir apakah yang patut dibuat bagi mengisi masa terluang," ujarnya.

SMK Tunku Abdul Malik (kiri) dan Universiti Malaya merupakan antara lokasi yang membentuk karakter Norhashimah agar terus berjaya dalam kehidupan.


Meminati hasil karya penulis, Ramlee Awang Murshid, Norhashimah memberitahu, sejak di peringkat awal lagi beliau akan mengambil inisiatif dengan menyertai bengkel-bengkel dan seminar berkaitan bagi memantapkan lagi kemahiran penulisannya.
Segala usaha yang disemai telah membuahkan hasil apabila novel sulungnya yang berjudul Masih Ada Sinar diterbitkan pada tahun 1993. Ini diikuti oleh Sebuah Pelayaran yang juga pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan penulisan anjuran Asasi.
"Jika terbitan pertama telah membuatkan saya teruja, apatah lagi ketika novel kedua yang mendapat anugerah. Ia terus membakar semangat saya untuk menghasilkan karya-karya yang menarik dan berkualiti," katanya.
Lebih menggembirakan apabila novel Sebuah Pelayaran turut diadaptasikan sebagai sebuah drama yang disiarkan di sebuah stesen televisyen tempatan.
Kini, Norhashimah telah berjaya menghasilkan lebih 20 cerpen dan 10 buah novel. Novel lain yang ditulis oleh beliau berjudul Hadiah Yang Tidak Ternilai, Antara Mak dan Nama, Lambaian Hijrah, Melewati Siang Meniti Malam, Lambaian Kinabalu dan Hujan Emas Di Negeri Orang.
Beliau memberitahu, novel Melewati Siang Meniti Malam itu diterbitkan pada tahun 1995 di bawah siri tamu istimewa Kumpulan Utusan yang merupakan kumpulan novel hasil nukilan penulis-penulis cacat penglihatan tempatan.
"Sebagai draf awal penulisan, saya menggunakan bahasa Braille melalui sebuah mesin khas dan kemudian akan menggunakan mesin taip untuk menaip semua draf sebelum dihantar kepada penerbit.
"Dengan teknologi yang semakin moden hari ini, saya boleh menggunakan komputer riba dengan perisian khas untuk menghasilkan karya. Proses ini jauh lebih pantas berbanding kaedah sebelum," ujarnya.
Mengimbau kenangan ketika dinobatkan sebagai Tokoh Membaca Istimewa pada Jun lalu oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Norhashimah berasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan.
"Sungguhpun telah dimaklumkan mengenai anugerah tersebut, namun saya tidak percaya terutamanya apabila mereka mengatakan pengiktirafan itu agak sama seperti yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

NORHASHIMAH menggunakan komputer riba dengan perisian khas untuk menghasilkan karyanya.


"Bila anugerah ini diterima, saya rasa amat bersyukur dan gembira. Saya berharap ia dapat menyuntik semangat rakan-rakan yang senasib untuk berjaya sungguhpun kemampuan kami terbatas," katanya.
Selain Tun Dr. Mahathir, PNM sebelum ini telah melantik dua tokoh sebagai Ikon Membaca Kebangsaan iaitu Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan pelakon antarabangsa kelahiran tempatan, Tan Sri Michelle Yeoh.
Selain menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar, Norhashimah turut menjadi guru perantara kepada para pelajar pendidikan khas di SMK Tunku Abdul Malik dengan guru-guru di sekolah berkenaan.
Beliau akan menaip semula bahan-bahan mengajar dan kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru itu dalam teks khas untuk diberikan kepada para pelajarnya yang kini berada di tingkatan empat, lima dan enam sekolah itu.
Bagi dirinya, pelajaran anak didiknya merupakan fokus utama dalam memastikan mereka berjaya.
Ketika ditanya mengenai prinsip kehidupannya, Norhashimah menjawab, cekal dengan segala halangan hidup yang dihadapi dan berusaha untuk mencapai segala hajat.
"Cacat penglihatan tidak membuatkan saya serba kekurangan, malah saya sentiasa bersyukur dengan setiap anugerah yang dikurniakan Ilahi," katanya menamatkan bicara.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: