Monday, October 28, 2013

Cinta Rimau hasil ilham hidup Haliza

HALIZA cuba membawa pembaca menyelami jiwa anak luar nikah melalui novel pertamanya yang berjudul Cinta Rimau.


SELEPAS menyepikan diri selama tiga tahun, kini Haliza Misbun yang pernah popular menerusi drama televisyen Cinderella, muncul kembali sebagai seorang novelis.
Anak didik Datuk Rahim Razali ini tidak pernah berpuas hati dengan longgokan anugerah yang dimenangi. Baru-baru ini dia telah melancarkan novel pertamanya berjudul Cinta Rimau di bawah terbitan Merpati Jingga.
Menurut Haliza, novel tersebut dihasilkan semasa dalam tempoh kekecewaannya selepas kegagalan filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami.
“Saya membawa diri selama tiga tahun selepas filem tersebut kurang mendapat sambutan dan menggunakan tempoh itu untuk mencari apa yang saya mahukan dalam kehidupan ini.
“Pada ketika itulah saya terus mendapat ilham untuk menulis agar dapat dikongsi bersama khalayak,” katanya pada majlis pelancaran buku Cinta Rimau di Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, melalui Cinta Rimau, dia ingin berkongsikan kejadian yang sememang berlaku pada hari ini seperti isu anak luar nikah yang jarang diperdengar kerana takut dipandang serong dan disisih masyarakat.
“Isu masalah anak tidak sah status ini hanya kita dengar di dalam rumah dan tidak dibawa keluar kerana takut dipandang hina.
“Tetapi jika tiada siapa yang berani mendedahkannya, masyarakat tidak tahu betapa sukarnya kehidupan sebagai seorang anak luar nikah,” ujarnya.
Haliza menambah, apa yang saya cuba gambarkan ketika menulis novel ini ialah mereka mungkin terjerat dengan hubungan cinta tanpa menduga pasangan itu sendiri mempunyai hubungan biologi dengannya.
Judul Cinta Rimau dikatakan membawa dua maksud berbeza dan bergantung kepada tahap pemikiran pembaca untuk meletakkan makna di sebalik buku tersebut.
Bagaimanapun, menurut Haliza, orang ramai juga boleh menganggap judul Cinta Rimau telah diilhamkan daripada keintiman hubungan seorang wanita dan lelaki yang sedang hangat bercinta.
Keterbukaan
Novel itu juga turut menjanjikan keterbukaan pemikiran pembaca apabila isu-isu berkaitan moral dan agama telah dikupas dan dinilai daripada sudut pandangan positif.
Tambah Haliza, novel Cinta Rimau adalah keberaniannya dalam menyampaikan gambaran tentang kehidupan seorang wanita berstatus anak tidak sah taraf yang tertarik dengan seseorang lelaki tanpa mengetahui mereka mempunyai pertalian darah.
Hasya Lourdes merupakan watak utama dalam novel Cinta Rimau yang bekerja sebagai penyiasat persendirian selepas dibesarkan oleh keluarga angkat yang beragama Kristian.
Ia berpunca daripada takdir ibu kandungnya, Hasnah yang telah dipenjara seumur hidup kerana membunuh suaminya ketika berusia 14 tahun.
Peguam bela Hasnah, Sebastian Jones telah menjadikan Hasya anak angkat dan ibunya, Miryam Jones sedaya upaya cuba mengekalkan agama anak gadis itu yang lahir sebagai seorang Islam.
Cuba menarik tumpuan pembaca, Haliza telah mengadunkan cara kehidupan seorang wanita yang rapuh dengan godaan nafsu dan konflik cinta tiga segi antara watak Hasya, Bahrain Nasution dan anak Bahrain sendiri.
Novel Cinta Rimau ini dijangka bakal merubah pemikiran rakyat Malaysia yang sangat feminin kepada lebih bersifat terbuka dan memandang isu-isu sensitif menerusi sudut positif.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: