|
TEPAT pada pukul 4 petang, seorang lelaki bertubuh sederhana mula bersiap membersihkan diri untuk ke tempat kerja.
Dia kemudian berjalan kaki dari asrama pekerja ke sebuah restoran di Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Tatkala warga kota yang lain berpusu-pusu ingin pulang dari tempat kerja, lelaki yang mesra di sapa dengan panggilan Thong itu memulakan langkah menyelusuri jalan di kawasan yang sesak dengan kenderaan sejauh kira-kira 400 meter.
Sebaik jam menunjukkan pukul 6 petang, Thong memulakan tugasnya melayan kunjungan pelanggan yang ingin menikmati hidangan makan malam di situ.
Bagi Thong Kien, 43, perkara itu sudah menjadi rutin hidupnya sejak 11 bulan lalu selepas dia ditawarkan bekerja sebagai pelayan di Restoran Dining In The Dark, Kuala Lumpur.
Masalah penglihatan
Walaupun pada zahirnya, Thong kelihatan sama seperti insan normal yang lain, namun sebenarnya ada kekurangan pada dirinya.
Thong tidak mempunyai keupayaan melihat berikutan penyakit Retinitis Pigmentosa (RP) yang mula dikesan ketika dia berumur 16 tahun.
Ia merupakan sejenis penyakit yang mengakibatkan retina matanya mengalami kerosakan sehingga menyebabkan penglihatannya semakin terganggu dari tahun ke tahun.
“Saya mula bekerja sebagai pelayan di restoran ini sejak November tahun lalu selepas Persatuan Orang Buta Malaysia memberitahu ada sebuah restoran ingin mencari pekerja yang cacat penglihatan,” katanya yang kini bersyukur ditawarkan pekerjaan di restoran tersebut.
Thong memberitahu dia berasa bertuah apabila wujud sebuah restoran yang ingin mengambil golongan orang kelainan upaya (OKU) sepertinya bekerja.
“Biasanya orang buta ini selalu dikaitkan dengan pekerjaan seperti tukang urut, namun kini prospek kerjaya golongan OKU sudah semakin berkembang.
“Kami diberi kepercayaan untuk melakukan kerja-kerja yang mungkin dianggap mustahil,” ujarnya dengan memberitahu dia perlu membantu antara 20 hingga 30 pelanggan setiap malam bagi memimpin mereka masuk ke ruang makan.
Thong boleh dikira sebagai individu penting kepada pelanggan yang ingin menjamu selera di restoran berkenaan.
Apa tidaknya, pelanggan memerlukan Thong untuk bergerak di dalam ruang makan ekoran restoran tersebut mengetengahkan konsep makan di dalam gelap.
Memahirkan diri
Situasi itu sebenarnya bagaikan satu penghargaan buat dirinya apabila orang yang mampu melihat dunia ‘terpaksa bergantung’ kepadanya untuk menikmati hidangan di situ.
Namun, anak kelahiran Puchong, Selangor itu memberitahu bahawa dia mengambil masa kira-kira 10 hari untuk memahirkan diri dengan selok-belok persekitaran di restoran itu.
Apatah lagi, pekerjaannya sekarang ini menuntut dia banyak melakukan pergerakan sedangkan penglihatannya terhad.
Thong perlu menghafal kedudukan meja dan kerusi di dalam restoran tersebut.
Ini kerana jika Thong tersilap langkah, hidangan yang dipesan pelanggan mungkin tidak akan diterima.
“Sungguhpun kami tidak mampu melihat, kami banyak menggunakan deria pendengaran, sentuhan dan bau,” ceritanya yang pernah menjawat jawatan sebagai eksekutif di salah sebuah syarikat perkapalan di Klang selama 13 tahun sebelum mengambil keputusan berhenti kerja lantaran keadaan matanya semakin teruk.
Ujar Thong, biarpun hanya sebagai pelayan restoran, kerjaya baharunya itu memiliki cabarannya yang tersendiri.
Cabaran
Sebagai insan yang pernah memiliki deria penglihatan yang baik, Thong mengakui bahawa dia perlu banyak belajar lantaran pekerjaannya kini banyak menuntutnya bergerak ke sana sini.
“Perkara yang paling sukar bagi saya ialah menghafal kedudukan pelanggan di dalam restoran.
“Bayangkan jika ada 20 pelanggan, saya kena hafal kesemua kedudukan mereka untuk pastikan permintaan mereka dipenuhi dan tepat,” ceritanya yang memberitahu sepanjang berkhidmat di restoran itu tiada lagi insiden terjatuh makanan atau tersilap menghantar pesanan.
Masa berlalu begitu pantas, kini Thong sudah hampir setahun berkhidmat di restoran itu.
Anak keempat daripada enam beradik itu mengakui dirinya semakin selesa dengan pekerjaannya sekarang.
Thong sebenarnya tidak bersendirian kerana dia turut ditemani seorang lagi rakan yang senasib dengannya, Darius.
Bagi anak kelahiran Kuching, Sarawak ini, ibu bapanya menyedari dirinya mengalami masalah penglihatan ketika usianya tiga tahun.
“Saya tidak merasakan ada cabaran yang begitu besar untuk membiasakan diri sebab sejak kecil saya sudah mengalami masalah penglihatan.
“Jadi, saya sudah biasa banyak menggunakan deria pendengaran, bau dan sentuhan untuk mengenal pasti sesuatu benda,” ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.
Biarpun begitu, jauh di sudut hatinya, Darius meluahkan dirinya masih keliru dengan penerimaan dan persepsi masyarakat di luar sana terhadap golongan sepertinya.
“Orang normal kata saya buta sebab saya tidak boleh melihat, tetapi di dalam persatuan orang buta sendiri mereka kata saya tidak buta kerana saya masih mampu melihat cahaya,” katanya yang pernah menjadi tenaga pengajar membantu orang buta yang lain memiliki kemahiran menggunakan komputer dengan kerjasama Persatuan Orang Buta Sarawak (SSB) selama tiga tahun.
Di sebalik kecekalan dua anak muda ini, sebenarnya berdiri seorang wanita yang boleh dianggap sebagai individu yang bertanggungjawab membawa mereka ke alam baharu pekerjaan.
“Saya sendiri yang mengajar mereka cara bekerja di restoran ini.
“Ada beberapa kemahiran yang perlu mereka belajar untuk memastikan kelancaran melayan pelanggan.
“Antara perkara yang perlu mereka hafal termasuklah teknik kiraan langkah, mengenal pasti laluan, pengendalian alatan dan cara mengenali menu hidangan menerusi bentuk bekas,” ujar Nicole Pua, yang turut mengalami masalah penglihatan ekoran penyakit glaukoma kongenital ketika berumur enam tahun.
Nicole merupakan bekas pengurus restoran tersebut yang kini memegang jawatan yang lebih besar sebagai Pengurus Perhubungan Media, Rhine River Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang mengendalikan industri makanan termasuk restoran Dining In The Dark itu sendiri.
|
Pembakar semangat
Bercerita lanjut, Nicole memberitahu, restoran itu kini menggaji dua pelayan OKU penglihatan iaitu Thong dan Darius.
“Mereka dibantu oleh dua orang lagi pekerja normal yang akan memberi arahan bagi memastikan kelancaran proses keluar masuk sekiranya terdapat pelanggan yang datang,” katanya yang memberitahu restoran itu merupakan satu-satunya tempat makan dalam gelap di negara ini.
Apa yang jelas, bagi wanita ini, dia mahukan golongan insan senasib dengannya mampu memajukan diri ke hadapan.
“Saya mahu mereka yang senasib dengan saya mampu bersaing dengan orang normal yang lain dan mampu mencapai matlamat dalam hidup,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi di salah sebuah syarikat produk kecantikan tempatan.
Atas semangat seperti yang ditunjukkan oleh Nicole inilah menjadi pembakar semangat kepada Thong untuk terus bangkit walaupun pada mulanya dia mengakui pernah hampir berputus asa.
“Jika saya diberi kesempatan untuk melihat semula seperti dahulu, perkara pertama yang saya mahu lakukan ialah melancong ke luar negara.
“Saya sudah lama tidak melihat keindahan dunia dengan mata sendiri,” ujar Thong yang reda dengan ketentuan Tuhan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: