MEMASUKI usia dua dekad penganjuran, Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) yang bakal diraikan karyawan muzik tempatan pada pertengahan Disember nanti diharapkan bukan sekadar sebuah ritual tahunan. Ia seharusnya membawa definisi baharu kepada industri muzik tempatan ke tahap yang lebih progresif.
Karyawan muzik Malaysia sedar tentang arus muzik yang semakin berkembang, mereka sedar tentang kekangan dan kepayahan survival muzik namun dalam masa yang sama, muzik juga berkembang pesat. Jika tidak, manakan AIM20 menyaksikan peningkatan sebanyak 20 peratus kepada 594 pencalonan berbanding hanya 465 pencalonan pada edisi sebelum ini.
Sejak dimulakan sehingga kini, AIM juga seperti perakam sejarah muzik yang tidak terkecuali daripada persoalan. Namun sesuatu yang boleh dibanggakan, keampuhan AIM20 yang dikendalikan Persatuan Industri Muzik Malaysia (RIM) sendiri bergerak seiring dengan tuntutan muzik tanpa sekatan.
Pasukan AIM tidak pernah mengalah dan mencari jalan agar AIM terus relevan. Penambahan satu kategori baharu, Persembahan Vokal Duo Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu diperkenalkan pada tahun ini dianggap satu kelainan. Ia menyaksikan paduan suara penyanyi ternama tanah air termasuk Sedetik Lebih gandingan Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah, In Love With You nyanyian Noh Salleh dan Aizat Amdan serta Lari gandingan Sleeq dan Hazama.
Konspirasi
Selebihnya, sejumlah 85 pencalonan disenarai pendek daripada 17 kategori yang dipertanding akan berentap pada malam Meraikan Kemuncak Segalanya di Stadium Putra, 14 Disember ini. Paling menyerlah, tiga penyanyi lelaki generasi baharu, Hazama, Amir Jahari dan Hafiz Suip mendominasi calon-calon lain menerusi empat pencalonan menerusi pelbagai kategori.
Mewakili barisan vokalis lelaki unggul yang tersenarai dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu, Hazama, Azlan vokalis The Typewriter dan Ronie daripada kumpulan Hyper Act pula dibawa untuk sebuah perbincangan serius.
Membuka bicara tentang polemik yang saban tahun melanda persembahan pencalonan AIM, vokalis yang sedang menawan peminat muzik itu memberikan buah tanggapan mereka. Mereka bercakap tentang tanggapan khalayak tentang perjalanan AIM yang kononnya sentiasa dibayangi konspirasi.
|
"Tidak perlu ada konflik dalam AIM. Ini merupakan satu-satunya anugerah yang berprestij dan mengikut sistem juri. Sikap pilih bulu perlu dihapuskan dalam AIM. Bukan hanya sekarang tetapi cakap-cakap ini sudah lama berlaku," kata Azlan yang merupakan muka depan The Typewriter memberi mukadimah.
Menyambut kata-kata Azlan, Hazama pula bersuara: "Orang yang sering mempertikaikan AIM ialah orang yang tidak pernah puas. Saya melihat penjurian dan perjalanan AIM itu adil dan tiada unsur kronisme. Apa sahaja polemik yang dikaitkan dengan AIM perlu segera dihentikan. Sebagai penggiat muzik, semua mahu dinilai secara adil mengikut kredibiliti dan AIM ialah platform yang tepat."
Ronnie, vokalis grup Hyper Act menjadi wajah baharu dalam pencalonan AIM. Dalam senarai anugerah tersebut, Ronnie punya pendapat sendiri sebagai orang lama dalam industri muzik.
"Tidak semua orang akan suka dengan apa yang kita lakukan. Bagi saya tuduhan melulu amalan kronisme perlu dibuang. Saya tidak menuduh sesiapa tetapi ia perlu dihindarkan," kata vokalis yang semakin terkenal dengan lagu Hanya Kau ini.
Menyentuh tentang sikap pilih bulu dan kronisme, aspek kegemaran dan terbaik dilemparkan kepada vokalis-vokalis yang sarat buah pandang yang bernas itu. Persoalannya bagaimana mereka mahu jadi terbaik dalam segala aspek.
"Kini media sosial memainkan peranan penting dalam memberi perkembangan tentang artis. Seiring itu saya rasa para pendengar juga sudah pandai menentukan produk yang baik atau tidak. Pendengar juga sudah boleh menilai antara bakat atau hanya bersandarkan rupa. Saya percaya jika ada bakat, sesuatu produk akan menjadi juga. Kita perlu yakin dengan produk dan sentiasa berpegang kepada genre yang diperjuangkan," ujar Ronnie.
Kekuatan tersendiri
Hazama yang segera menambah kenyataan Ronnie berkata, populariti artis dan kualiti sama pentingnya.
"Perlu ada keseimbangan. Saya sendiri tidak tahu sama ada karya saya digemari atau tidak tetapi apabila dicalonkan dalam AIM, ini bermaksud produk saya diiktiraf. AIM ialah pentas pengiktirafannya," ujar Hazama yang mendapat empat pencalonan dalam AIM tahun ini.
Azlan yang pernah merentasi perjalanan nyanyian bersama Meet Uncle Hussein dan kini menerajui The Typewriter menyerahkan pengkategorian elemen tersebut kepada para peminat.
"Saya melihat para peminat sebagai satu saluran untuk meletakkan seseorang penyanyi itu digemari atau sebaliknya, begitu juga terbaik atau tidak. Jika peminat menghargai dan menyukai sesuatu produk atau artis, perkata itu akan memberi impak yang besar kepada kerjaya artis tersebut," ujar Azlan yang lebih yakin terhadap juri profesional.
Menyentuh tentang pencalonan ketiga-tiga penyanyi dengan suara handal dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (lelaki) berkenaan memanjatkan rasa syukur kerana dipandang dalam senarai itu.
Mereka positif terhadap pengiktirafan awal ini dan mempersetujui bahawa setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri.
|
Ujian lima tahun
"Saya melihat bahawa setiap calon berdiri dengan genre mereka sendiri. Tersenarai dalam lima teratas ini sudah menunjukkan terbaik. Buat saya yang baru pertama kali dicalonkan, saya mengaku tidak pernah membayangkan situasi ini. Saya percaya dengan produk dan identiti sendiri. Saya tidak menyangka namun terangkum rasa bangga dapat tercalon dengan nama-nama vokalis yang hebat dalam senarai," ujar Ronnie yang berpegang kuat kepada produknya.
Pejam, celik, merangkak, berdiri dan melangkah dalam industri seni tanah air, sebulat kata juga ketiga vokalis ini melihat perlunya ada perancangan dalam karier bagi meneruskan hayat survival dalam karier.
"Muzik ialah bisnes. Muzik juga keghairahan. Perlu ada perancangan yang betul serta produk yang baik untuk bertahan lama dalam industri. Perlu diingat juga, kalau kita ada produk yang baik tetapi tidak ada perancangan serta pemasaran yang betul, produk itu susah untuk naik. Semuanya melibatkan bisnes," ujar Azlan yang kini sibuk dengan persiapan album kedua yang akan dilancarkan tahun ini.
"Betul apa yang diperkatakan oleh Azlan. Persembahan pentas sama ada kecil atau besar perlu ada untuk mempromosikan produk serta memperkenalkan lagu-lagu. Selain itu saya melihat vokalis lelaki perlu pentingkan fesyen dan ada sedikit cerita sensasi. Semua elemen ini bergerak untuk memperkenalkan seorang artis," ujar Hazama pula yang menjadikan Amy Search idolanya dalam berpakaian.
Sudut pandang Ronnie selaku orang lama dalam industri namun baru mencuri pandangan tepat sejak akhir-akhir ini, dia merasakan artis lelaki mempunyai hayat tertentu dalam industri.
"Vokalis lelaki, kalau dalam masa lima tahun dia menjadi, dia akan betul-betul menjadi. Ini semua berkaitan dengan perniagaan. Masa orang tengah suka, keluarkan produk yang bagus-bagus. Ini semua perancangan," ulas Ronnie yang kini sedang merakamkan lagu bersama Hyper Act dan akan melancarkan album pada Januari akan datang.
"Semua orang boleh menjadi seseorang walaupun asalnya dia bukan sesiapa. Bak kata pepatah Inggeris, from zero to hero. Segalanya tidak mustahil dalam industri, begitu juga dengan survival sebagai anak seni. Saya pegang satu moto hidup, nak seribu daya, tak nak pergi mati," celah Azlan yang baru keluar dengan single yang berjudul Bukan Ugutan.
Bersetuju dengan kata-kata teman perjuangan, Hazama menambah: "Industri sekarang bertambah laju. Pusingan muzik berlaku dengan cepat, jadi perlu ada perancangan dan produk yang bagus seperti kata Ronnie."
Secara luaran, tiga penyumbang vokal lelaki ini bersahaja melontarkan pandangan, diskusi mereka padat atas garis falsafah yang dipegang. Luarannya juga, muzik itu sebuah kegembiraan biarpun melodi sedih yang mereka lantunkan. Siapa lagi yang akan terus memperjuangkan kegembiraan dan keindahan muzik jika bukan karyawan muzik itu dan kita semua sebagai penggemar muzik dalam rutin seharian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: