Monday, October 28, 2013

Vanida, Sofea Jane berlakon makyung

VANIDA bakal melakonkan watak Puteri Sulung.


SELEPAS kali pertama dipentaskan sembilan tahun lalu, makyung kini kembali ke Istana Budaya. Sehubungan itu, makyung dijangka mendapat nafas baharu dengan penggunaan teknologi terkini yang ada di Istana Budaya.
Kali pertama dipentaskan dengan judul Raja Tangkai Hati, ketika itu ia dilakonkan oleh Juhara Ayub. Namun, kali ini dengan judulnya, Kesaktian Anak Raja Gondang, cukup menarik sekali apabila ia menampilkan dua nama besar dunia lakonan tanah air iaitu Vanida Imran dan Sofea Jane.
Langkah mempertaruhkan dua pelakon terkenal itu dilihat satu percubaan dalam menarik lebih ramai peminat untuk mencintai warisan budaya Melayu ini terutamanya generasi muda.
Menariknya, Vanida yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang itu menyahut cabaran untuk menggalas watak Puteri Bongsu dalam Kesaktian Anak Raja Gondang.
Bukan mudah untuk seseorang itu menjiwai kesantunan lenggok dialek Kelantan berlatarkan alunan dialog yang begitu puitis. Ia memerlukan satu jiwa yang indah untuk mendalaminya. Itu cabaran yang disahut Vanida dalam meluaskan lagi karier seni budaya warisan Melayu.
Sementara itu, anak kacukan Melayu-Inggeris dan aktres berpengalaman, Sofea Jane turut menguji daya lakonannya dalam teater ini menerusi watak Puteri Sulung.
Penglibatan Sofea Jane menerusi pementasan ini dilihat sebagai satu langkah baik dan merupakan satu kebanggaan terhadap kesenian budaya warisan Melayu.
Mana tidaknya, Sofea yang dilahirkan di London dibesarkan dalam suasana budaya yang berbeza, namun itu tidak menghalang dirinya daripada membabitkan diri dengan teater yang turut memerlukan dirinya berdialog dalam dialek Kelantan.
SOFEA JANE bakal berdialog dalam dialek Kelantan.


Pihak Istana Budaya ternyata ada alasan tersendiri dengan penampilan Vanida dan Sofea Jane menerusi Kesaktian Anak Raja Gondang.
“Kita menggunakan khidmat dua nama besar dalam industri hiburan sebagai langkah untuk menarik minat lebih ramai penonton ke Istana Budaya terutamanya generasi Y.
“Ramai yang menganggap persembahan tradisional sudah ketinggalan zaman.
“Usaha murni pihak Istana Budaya untuk memartabatkan kesenian budaya warisan Melayu ini ke mata dunia jelas kita dapat lihat ia bukan satu kesenian yang ketinggalan zaman tetapi ia merupakan satu identiti warisan Melayu”, ujar Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Batak terbang
Selain Vanida dan Sofea Jane, turut menguatkan daya lakonan teater ini ialah pelawak dan anak kelahiran Kelantan, Sabri Yunus yang memegang watak Peran Muda Negeri 1. Merupakan kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Sabri dianggap sebagai seorang penggiat seni yang begitu optimis untuk memberi nafas dalam menghidupkan lagi teater makyung ini.
Vanida, Sofea Jane dan Sabri bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar tersebut, namun pelakon watak utama teater ini, Rosnan Rahman mempunyai persepsi tersendiri tentang pementasan itu.
Dia memikul tanggungjawab untuk menghidupkan tiga watak iaitu Pak Yong, Batak dan Anak Raja Gondang.
Katanya: “Kalau sebelum ini kita lihat persembahan makyung menggunakan pentas yang statik, kali ini ada kelainan dan berbeza daripada persembahan lepas yang mana watak Raja Gondang dan Batak yang saya mainkan boleh terbang.
“Ini merupakan satu lagi cara untuk menghidupkan jalan cerita. Tetapi kita masih mengekalkan kostum tradisional, muzik iringan dan gerak tari serta jalan cerita makyung.”
Pengarah teater, Fatimah Abdullah ternyata begitu teruja apabila makyung sekali lagi melakar sejarah untuk dipersembahkan di pentas teater.
“Ini antara penglibatan paling besar saya dalam mengarah teater. Kalau sebelum ini, teater kita bawakan makyung dengan unsur-unsur seperti bangsawan dan cerita-cerita masyarakat, namun kali ini kita bawakan satu kelainan,” jelas Fatimah.

MOHAMED JUHARI (dua dari kanan) bersama dua tenaga penting pementasan makyung Kesaktian Anak Raja Gondang, Fatimah dan Rosnan.


Fatimah merupakan tonggak utama dalam melatih Vanida Imran dan Sofea Jane serta pelakon lain teater ini dalam menjiwai tutur dialek daerah dan gerak tari makyung.
Tambahnya, masyarakat harus membuka minda bahawa makyung bukan satu seni yang berunsurkan mistik atau pemujaan.
“Makyung merupakan satu seni drama tarian yang menggabungkan unsur-unsur spiritual yang membangkitkan semangat persembahan, lakonan cerita, muzik vokal dan instrumental,” ujarnya.
Secara ringkasnya, Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan pengembaraan dan penjelajahan Raja Gondang ke negara luar untuk meluaskan lagi pengetahuan serta pengalaman dalam kehidupannya.
Sebelum Raja Gondang memulakan hasratnya itu, dia telah menyuarakan pesanan kepada bondanya, Puteri Gak Petera. Sekiranya pohon selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istananya itu layu pada sebelah kiri ertinya dia berada dalam kesusahan.
Jika pohon itu segar maknanya dia berada dalam kesenangan. Apakah kesudahannya?
Tiket bagi menyaksikan naskhah yang dijadualkan dipentaskan dari 29 November hingga 2 Disember ini dijual pada harga dari RM33 hingga RM253.
Untuk maklumat lanjut tentang teater ini, sila hubungi Istana Budaya, Jalan Tun Razak menerusi talian 03-4026 5555 atau layari laman sesawang www.istanabudaya.gov.my.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: