Saturday, October 26, 2013

Awie gerun dengan teater SuperMokh


BARISAN karyawan teater SuperMokh termasuk Awie (tengah) teruja untuk mementaskan teater tersebut yang dijangka ditayangkan di Istana Budaya pada 6 hingga 18 November ini.


PENYANYI dan pelakon popular Awie mengakui gementar dan masih tidak percaya apabila dia diberi kepercayaan memegang watak bekas pemain bola sepak legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dalam teater SuperMokh.
Menurutnya yang ditemui pada majlis sidang media teater tersebut di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini memberitahu, dia kini dalam proses menyesuaikan diri dengan bola selepas meninggalkan sukan bola sepak selama 30 tahun.
“Sejujurnya saya sudah lama tidak bermain bola sepak. Dahulu ketika zaman sekolah saya aktif juga bermain bola di padang dan posisi saya selalunya penjaga gol.
“Namun, selepas saya aktif dengan muzik rock dan kekecewaan saya terhadap dunia bola sepak yang waktu itu banyak gejala rasuah, saya terus berhenti mengambil tahu perkembangan bola sepak,” ujarnya yang mengakui sebagai peminat Mokhtar Dahari atau popular dengan gelaran SuperMokh.
Justeru, apabila diminta menjadi Mokthar Dahari di pentas Istana Budaya, Awie, 45, kaget dan sedar banyak persiapan yang harus dilakukan dalam masa yang cukup singkat.
“Pihak produksi meminta saya mengurangkan berat badan terutama di bahagian perut kerana sebagai atlet harus ada tubuh yang sihat.
“Kemudian saya diminta membela misai yang agak tebal untuk menyerupai Mokhtar Dahari. Selain itu, saya dan pelakon yang lain, harus menjalani latihan intensif supaya kami memiliki stamina dan juga biasa dengan pergerakan bola,” katanya yang berjogging sejauh empat kilometer sehari.
Meskipun Awie sudah biasa di pentas teater, namun, kesukaran mendapat bahan rujukan menjadi kekangan utamanya untuk menjiwai watak legenda tersebut.
“Sepanjang bergelar pelakon, saya belum pernah berasa takut seperti ini kerana saya bimbang tidak dapat menyampaikan watak itu dengan baik. Saya sedar harapan yang diberikan penonton agak tinggi.
“Semua orang Malaysia tahu siapa Mokhtar Dahari dan dia masih hidup dalam jiwa rakyat Malaysia terutama peminat bola sepak. Namun, dia telah tiada, jadi agak sukar untuk saya menilai perwatakannya yang sebenar kecuali aksinya di atas padang,” balas Awie.
BAKAL membawa watak SuperMokh, Awie menjalani latihan intensif supaya memiliki stamina dan juga biasa dengan pergerakan bola.


Sungguhpun begitu, Awie bernasib baik kerana keluarga Mokhtar Dahari sudi memberikan kerjasama demi kejayaan teater ini.
“Arwah sangat jarang muncul di televisyen untuk temu bual dan sukar untuk saya mencari rujukan tentang caranya bertutur dan lenggok tubuhnya bagi pementasan itu nanti selain aksinya di padang.
“Keluarganya banyak membantu bagi memahami peribadinya dan saya juga sempat menonton filem Mekanik yang pernah dilakonkan dahulu,” ujarnya.
Tambah Awie, pementasan teater SuperMokh tidak hanya berkisar tentang kejayaannya di atas padang tetapi lebih kepada kisah peribadinya yang tidak diketahui peminat.
“Menariknya, teater ini tidak hanya tentang arwah yang hebat di padang tetapi juga siapa Mokhtar Dahari di luar padang.
“Bagaimana sikapnya dengan rakan-rakan dan keluarga serta apa dilema yang dihadapinya. Teater ini sangat bermakna kerana ia umpama biografi siaran langsung khas untuk rakyat Malaysia dan penghargaan kepada keluarganya,” luah Awie.
Hans Isaac selaku penerbit dan pengarah pula memberitahu, teater ini merupakan teater yang menelan kos paling tinggi dalam sejarah kerjayanya selepas Cuci The Musical 1,2 dan 3, Lat Kampung Boys Sebuah Muzikal serta Lawak Ke Der 1 dan 2.
“Saya tidak mahu berkongsi kos sebenar cuma saya boleh beritahu teater ini menelan bajet paling besar dalam sejarah penerbitan teater oleh produksi saya.
“Mujur, teater ini mendapat penajaan daripada banyak syarikat korporat yang sudi membantu. Secara tidak langsung penajaan itu membolehkan kami memberi yang terbaik untuk teater SuperMokh,” kata Hans.
Teater SuperMokh bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 hingga 18 November ini.
Selain Awie, teater arahan Hans Isaac dan Harith Iskander itu turut membariskan pelakon Rashidi Ishak, Dina Nazir, Maya Karin, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Tiket untuk menyaksikan teater tersebut sudah mula dijual di www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi 03-4147 8600 atau 019-2111600 untuk pembelian.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: