Wednesday, October 23, 2013

Metafora mimpi dan imaginasi

LOPE bersama lukisan potret berjudul Self Potrait-Self Maintenance.


MIMPI menjadi sandaran untuk lari dari dunia realiti dan membenarkan otak berehat selepas bertungkus lumus dipergunakan seharian. Disebabkan itu, malam dicipta oleh Yang Maha Esa supaya badan dan fungsi dalaman memperlahankan operasi dan mengembalikan tenaga untuk keesokan hari.
Apabila berbicara tentang mimpi, ia sering dikaitkan dengan alam fantasi di mana akal meninggalkan realiti membiarkan ia menerawang memikirkan cerita-cerita indah yang sukar digapai pemikiran waras manusia. Tidak salah jika dikatakan, fantasi-fantasi ini sering dialami pada zaman kanak-kanak. Setiap daripada kita pasti mempunyai ceritera mimpi yang digebangkan penuh ghairah kepada rakan dan ahli keluarga.
Ironinya, rangkaian imaginasi mimpi itu berjaya dipercikkan di atas kanvas oleh pelukis kontemporari, Raja Lope Rasyidi Raja Rozlan, 40, dalam pameran solonya, Lope. Setiap satu daripada 15 lukisannya melingkari tema mainan tidur itu dengan olahan yang kaya dengan unsur-unsur budaya.
Watak-watak yang dicipta kreatif oleh pelukis yang dikenali sebagai Lope itu diselitkan dengan keindahan susur galur kepelbagaian budaya yang terdapat dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Kuda kepang, wayang kulit, wau bulan, naga, burung jentayu dan gasing antara cetusan idea yang dibawa ke medium seni lukisan.
"Penerapan unsur-unsur tradisional sengaja dilakukan. Lihat sahaja senario hari ini ramai generasi muda tidak kenal dengan budaya dan permainan tradisi sendiri. Disebabkan itu, saya mengangkat dan memperkenalkan semula kepada masyarakat ketinggian nilai seni dan budaya bangsa," ujar Raja Lope Rasyidi Lope atau mesra dengan panggilan Lope ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Mungkin segelintir peminat seni berasa klise kerana unsur-unsur itu kelihatan biasa dalam kebanyakan karya anak tempatan, juga negara jiran. Tetapi uniknya persembahan Lope apabila watak-watak tersebut diolah menerapkan elemen moden dan kontemporari.

KARYA Lope dapat disaksikan di Galeri Core Design, Subang Jaya sehingga 30 November ini.


Pernahkah anda terbayang apabila watak yang terdapat dalam persembahan wayang kulit sebenarnya dayang-dayang istana berbadan robot? Lenggoknya sama gemalai seperti yang biasa dilihat tetapi bertubuhkan logam-logam. Ia merupakan sesuatu yang baru kepada khayalan akal.
“Tetapi sebenarnya, gaya lukisan ala anime ini sudah lama diperkenalkan di luar lingkungan seni kita. Mereka lebih dahulu menyampaikan imaginasi mereka dalam genre sebegini. Idea itu saya bawa dan terapkan dengan cita rasa orang kita,” jelas pemuda berasal dari Beruas, Perak itu.
Di sebalik mainan imaginasi, Lope tegas menyampaikan mesej-mesej kemanusiaan dan alam sekitar yang dirasakannya semakin terhakis dalam diri masyarakat hari ini. Kehadiran pari-pari hijau yang terdapat dalam kebanyakan lukisannya diibaratkan sebagai penyampai mesej kepada hidupan negara imaginasi Lope.
Kebimbangan makhluk mitos itu cuba menggambarkan kemusnahan alam yang semakin ketara. Jika tidak dipelihara, keindahan flora dan fauna hanya tinggal cerita semata-mata.
Mengambil masa setahun setengah untuk menyiapkan keseluruhan koleksi tersebut, Lope percaya setiap lukisannya bakal membawa kegembiraan kepada pengunjung dan penggemar seni kontemporari. Dia berpendapat seni itu sangat subjektif. Ada penggemar seni yang mahu berfikir kritis apabila melalui atau menghayati karya seni, tetapi bagi Lope, dia percaya seni tidak perlu terlalu serius.
“Saya mahukan mereka yang menghayati seni saya pulang dengan senyuman dan mengimbas kembali memori ketika zaman kanak-kanak. Penggunaan warna-warna terang dapat menarik perhatian, khususnya golongan muda.
“Pada awalnya, saya menggambarkan lukisan-lukisan ini boleh bergerak dengan mainan animasi tiga dimensi. Bagi menggantikan idea tersebut, saya banyak bermain dengan warna bagi menghidupkan watak-watak dalam lukisan,” ujarnya.
Selain itu, dia menggunakan teknik berus udara yang banyak digunakan dalam proses mewarna aksesori kenderaan bermotor. Jelas Lope, ia menaikkan lagi mood lukisan berbanding menggunakan kaedah lain.
“Ia merupakan eksperimen pertama saya dan nyata memberi hasil yang sangat mengagumkan. Sebagai contoh, efek-efek awan yang menjadi latar belakang lukisan kelihatan jelas dan asli,” katanya.
Pencinta seni tempatan dijemput untuk menikmati karya seni Lope di Galeri Core Design, Subang Jaya yang telah bermula 12 Oktober dan berakhir pada 30 November 2013.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: