PETALING JAYA: Masalah kesihatan dan faktor usia menjadi punca kepada beberapa ahli asal kumpulan muzik Carefree untuk bersatu dan kembali aktif dalam industri muzik tempatan.
Vokalisnya, Hadi Hassan, berkata, beberapa ahli asal kumpulan itu dipelawa terlebih dahulu untuk kembali menyertai kumpulan berkenaan namun mereka menolak kerana tidak yakin dengan kesihatan selain mempunyai komitmen lain.
"Ketika kami bercadang untuk kembali dalam industri, beberapa anggota asal telah dipelawa menyertainya tapi mereka masing-masing sudah ada komitmen sendiri.
"Lagi pula mereka menyatakan mempunyai masalah kesihatan dan tidak dapat menyanyi dan bermain muzik dengan baik seperti dahulu," katanya pada sidang media pelancaran album terbaharu mereka berjudul Bersama Carefree, di Wisma Bentley Music, di sini, Rabu.
Selain Hadi, penyanyi Jay Jay pernah menjadi vokalis kumpulan itu yang popular pada era 80-an.
Tambah Hadi selain dia dan anggota asal iaitu Simon Justin Leo (gitaris), tiga ahli baharu Carefree yang lebih muda telah menyertai kumpulan berkenaan Zack dan Hizey (pemainkeyboard) serta Reeyan (dram). Tambahnya, album Bersama Carefree, mengambil masa selama setahun untuk disiapkan dan mengandungi tujuh buah lagu.
Album ini turut menjanjikan kelainan daripada susunan muzik yang lebih mantap, segar dan bertenaga dalam pelbagai genre termasuk rock, balada, ‘fusion,’ ‘funk,’ blues dan pop.
"Kelainan utama ialah kali ini kami mempertaruhkan lagu ciptaan sepenuhnya anggota Carefree berbanding album sebelum ini kami banyak menggunakan khidmat komposer luar.
"Kita masih mengutamakan genre balada seperti lagu popular Belaian Jiwa dalam beberapa lagu menerusi album ini," katanya.
Sementara itu, lagu Find It In Your Heart turut dipilih menjadi lagu tema untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah Hey DJ, Hanya Aku, Biarkan Aku Sendiri, Blues Isteri Lari dan Hati Batu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: