KUALA LUMPUR: Penyanyi Hazama Ahmad Azmi menjelaskan tidak pernah memaksa kekasihnya Genervie Kam, 33, untuk mendalami dan memeluk agama Islam semata-mata untuk berkahwin denannya.
Hazama, 29, berkata, dia mahu wanita itu yang ketika ini beragama Kristian mendekati Islam dengan hati terbuka dan keinginan tersebut datang bukan kerana terpaksa.
"Saya tidak mahu memaksa dia untuk mendalami Islam dan memaksa dia untuk memeluk agama Islam semata-mata kerana saya.
"Kalau boleh biar dia sendiri yang memilih untuk mempelajarinya untuk diri dia sendiri. Namun apa yang saya lihat dia banyak bertanya tentang Islam dan budaya kita," katanya kepada mStar Online, ketika ditemui di Hotel Istana di sini, Khamis.
Hazama mengakui sedang mengenali hati budi seorang wanita yang juga pemuzik dan pemain biola terkenal.
Kata Hazama, dia selesa berkawan dengan wanita itu apatah lagi mereka selesa untuk berbincang mengenai muzik dan kerjaya masing-masing.
"Kami banyak berbincang tentang kerja dan dia seorang yang matang selain banyak mengajar saya tentang muzik. Bukan hanya bercinta sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Hazama berkata, kedua-dua belah keluarga sudah mengetahui hubungan mereka dan tidak menghalang.
"Keluarga saya sudah kenal dia dan saya juga sudah bertemu keluarga dia, bagi pihak keluarga saya tiada apa-apa masalah," katanya.
Bagaimanapun dia masih belum bersedia untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
"Saya belum bersedia lagi untuk berkahwin, kalau boleh buat masa ini saya ingin fokus kepada kerjaya terlebih dahulu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: