ISU memplagiat lagu bukanlah perkara baharu dalam industri muzik tempatan mahupun antarabangsa. Namun, baru-baru ini isu tersebut berbangkit semula apabila lagu Botingkek-tingkek nyanyian W.A.R.I.S feat Juzzthin yang pernah didakwa sebagai plagiat tercalon dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik Anugerah Industri Muzik ke 20 (AIM 20).
Mengungkit kisah tentang lagu tersebut, ia didakwa meniru muzik dan lagu berjudul Racks On Racks nyanyian YC bersama Nelly, B.o.B., Trae The Truth, Yo Gotti, Cyhi Da Prynce, Dose & Ace Hood yang dihasilkan pada tahun 2011.
Malah, judulnya juga hampir menyamai lagu tersebut yang kelihatan seperti dialih bahasa.
Ketika sidang akhbar AIM 20 yang diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini, Datuk Ramli M.S, selaku ketua juri ditebak persoalan tentang penghakiman lagu dalam kategori yang menerima paling kurang penyertaan itu.
Mungkin lagu tersebut kedengaran hampir serupa jika didengar sambil lalu, bagaimanapun, ia akan diselidik secara teknikal mengikut undang-undang muzik dunia.
“Saya baru tahu mengenai perkara ini. Keputusan belum dikeluarkan dan ini baru tahap pencalonan. Saya akan selidik semula perkara ini. Jika ia melanggar peraturan iaitu lagu tersebut ditiru melebihi empat tiang muzik, maka lagu tersebut akan dikeluarkan.
“Saya akan berbincang kerana baru kini saya mendapat aduan tentang perkara ini. Jika aduan itu betul dan memang ada isu ciplak, kami akan menjalankan penjurian semula terhadap lagu tersebut,” tegas Ramli yang memandang serius tentang perkara tersebut.
Tambahnya tentang isu tersebut, dari segi teknikal, walaupun mungkin kurang satu tiang muzik, maka pihaknya tidak berhak mendakwa ia lagu ciplak.
Meskipun kedengaran agak sama dari segi muziknya, ia masih perlu dinilai sebanyak empat tiang muzik atau nada.
Selain itu, antara lagu lain yang didakwa diplagiat merupakan lagu nyanyian Amran Ismail yang berjudul Ini Janjiku. Lagu tersebut dikatakan meniru kumpulan K-Pop Indonesia iaitu Smash melalui lagu yang berjudul I Heart You.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan oleh Amran dengan mengatakan dia telah mendapat ilham lagu tersebut ketika terlibat dalam penggambaran drama.
Nasyid harus sederhana
Selain itu, ketika ditebak persoalan mengenai kumpulan nasyid yang mengungguli pencalonan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (berkumpulan), tutur Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 20, Rosmin Hashim, kumpulan nasyid memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Ini kerana kriteria utama yang kami lihat dalam kategori tersebut ialah nyanyian dan vokal harmoni.
“Kami tidak boleh nafikan kumpulan nasyid memang memenuhi kriteria tersebut. Kami memang ada terima pencalonan kumpulan lain juga, namun, dari segi permarkahan lebih memihak kepada kumpulan nasyid,” jelas Rosmin tentang perkara tersebut.
Namun, selaku ketua juri, Ramli sempat menyelitkan nasihat kepada kumpulan nasyid bahawa walaupun zaman mungkin berubah, irama dan konsep nasyid harus sederhana.
“Walaupun kini telah moden yang menggunakan peralatan bertali, namun, ia harus secara sederhana. Mereka tidak boleh memasukkan unsur muzik seperti rock kerana ia tidak sesuai.
“Ketika membuat penilaian, kami juga banyak berbincang. Akhirnya kami perlu akur kerana konsep muzik telah berubah mengikut peredaran zaman. Bagaimanapun, saya melihat nasyid itu merujuk kepada agama, maka ia harus sederhana,” nasihat Ramli mengakhiri temu ramah.
AIM 20 dijadual berlangsung pada 14 Disember ini di Stadium Putra Bukit Jalil pada pukul 9 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: