|
MAKANAN memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian kita. Ia menjadi sumber tenaga dan penjagaan kesihatan tubuh badan.
Pada hari ini, orang ramai mempunyai banyak pilihan hidangan termasuk bagi mereka yang mengutamakan kesihatan.
Justeru itu, tidak hairan, semakin ramai yang memilih makanan gourmet iaitu sajian berkualiti tinggi.
Menyedari potensi makanan tersebut, Amadeus Bistro & Wine Bar menyediakan perkhidmatan trak yang lengkap dengan dapur moden dikenali sebagai Flaming Wheels.
Chef Flaming Wheels dikenali Chef Bobby bekerjasama bersama pereka dalaman khas bagi mereka bentuk peralatan dan susun atur trak berkenaan bagi memenuhi keperluan penyediaan makanan gourmet.
Trak tersebut dilengkapi dapur berteknologi tinggi yang membolehkan menu hidangan gourmet disediakan di mana-mana tanpa mengira masa.
Dapur trak itu juga dilengkapi perangkap minyak dan sistem pembersihan.
“Idea trak makanan yang menyediakan hidangan gourmet sudah pun terkenal di luar negara dan saya berharap, ia berjaya di sini,” kata Pengurus Besar Amadeus Bistro & Wine Bar, Dina Blazevic pada majlis pelancaran Flaming Wheels di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Walaupun disediakan dengan pantas tetapi makanan yang dihidangkan bukan makanan segera dan ditawarkan pada harga yang berpatutan.
Flaming Wheels boleh menyediakan sehingga 1,000 hidangan pada satu-satu masa dengan kesemuanya disediakan segar. Ia juga sesuai untuk acara persendirian untuk 30 orang dan ke atas.
Menu hidangan terdiri daripada hidangan kegemaran tempatan dan antarabangsa seperti kari, mi goreng Singapura, nasi goreng, salad Ceaser, pasta, burger dan snek seperti nacho, kentang wedges serta kepak ayam.
Harga makanan gourmet yang disediakan di Flaming Wheels adalah antara RM6.90 sehingga RM18.90, manakala minuman pada harga RM2.
Sumbangan amal
Trak itu berada di kolej-kolej sekitar Subang Jaya dan Cyberjaya pada hari Isnin hingga Jumaat manakala hujung minggu di destinasi-destinasi tumpuan ramai.
Bagi mendapatkan jadual lengkap lokasi hentian trak berkenaan, orang ramai boleh melayari laman Facebook dan Twitter Flaming Wheels.
Lebih menarik, terdapat aplikasi telefon pintar dikenali DinerPass yang membolehkan orang ramai membuat pesanan terlebih dalu, sekali gus dapat mengelakkan mereka beratur panjang untuk mendapatkan pesanan.
Dalam pada itu, Flaming Wheels turut mengadakan kerjasama dengan Yayasan Make-A-Wish Malaysia. Ia merupakan organisasi amal yang merealisasikan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit mengancam nyawa.
Dalam jangka masa panjang, Flaming Wheels berharap dapat membantu dan menyokong Make-A-Wish Malaysia dengan menawarkan beberapa peratus daripada hasil pendapatan mereka.
Turut hadir pada majlis pelancaran yang diadakan di Kolej Antarabangsa INTI Subang itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Anthony Ng; Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa INTI Subang, Tan Ling Ling dan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: