- Ummi Natrah menunjukkan sebahagian resit yang dikeluarkan agen terbabit sebagai bukti mereka sudah membuat pembayaran melalui agen itu.
Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Ummi Natrah, 29, berkata, setiap bulan dia akan membuat pembayaran bil telefon tanpa menangguhkannya kerana bimbang bil tertunggak.
Menurutnya, sejak dua tahun lalu, masalah ini tidak pernah berlaku sehingga dia menerima penyata bil baru-baru ini, apabila tertera jumlah tunggakan sehingga dua bulan.
“Bil sudah dibayar atas nama suami saya melalui agen itu pada 23 September dan 18 Oktober lalu, tetapi dalam bil penyata yang baru jumlah itu masih tertunggak.
“Begitu juga dengan bil didaftarkan atas nama saya masih menunjukkan jumlah tertunggak dalam bil yang diterima baru-baru ini. Malah saya turut terima SMS daripada syarikat telekomunikasi berkenaan meminta membuat pembayaran segera,” katanya.
Ummi Natrah berkata, ramai lagi pengguna lain turut mengalami masalah sama.
Katanya, setiap kali mahu menyelesaikan masalah ini dengan pemilik dan pengurus agen itu, kedai itu tutup sehingga menyukarkannya untuk mengetahui perkara sebenar.
“Saya ada hubungi pemilik tetapi diminta berhubung terus dengan pengurus. Malangnya pengurus itu tidak mahu bertanggungjawab dan menyerahkan perkara ini kepada pekerjanya untuk diselesaikan.
“Sedangkan pekerja terbabit pula sudah berhenti kerja. Difahamkan, pekerja itu sudah dua bulan berhenti kerana tidak mahu terlibat dengan masalah seperti ini,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Hizan berkata, hasrat mendaftar bil baru terbantut apabila dimaklumkan agen berkenaan bahawa dia masih mempunyai baki tertunggak sebanyak RM337.25 untuk talian yang sudah ditamatkan perkhidmatan pada 2011.
Katanya, dalam resit pembayaran bertarikh 13 Disember 2011, dia sudah menjelaskan bil terakhir akaun talian itu dan resit masih disimpan sehingga kini.
“Saya tidak faham kenapa syarikat agen itu tidak menjelaskan pembayaran sedangkan mereka dilantik secara sah.
“Dalam tempoh dua tahun ini memang tiada masalah, tetapi apabila perkara ini berlaku, ia benar-benar menyusahkan dan secara tidak langsung memburukkan rekod pembayaran,” katanya.
Buat masa ini katanya, mereka yang teraniaya akan membuat laporan ke Persatuan Pengguna Daerah Bera untuk tindakan susulan dan hanya akan membuat laporan polis sekiranya pihak agen tidak melangsaikan semua bayaran yang dibayar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: