Sunday, October 13, 2013

Dimensi baharu Faralyna



KESEDERHANAAN yang menjadi pegangan Faralyna Idris membuatkan dia tidak dibakar cerita sensasi. Kalau pun ada, kisah itu tidak lari daripada dikaitkan dengan pelakon kacak, Hairul Azreen yang dahulu pernah bergelar kekasihnya.
Sudah setahun kisah Hairul Azreen berlalu daripada kehidupan Faralyna, wanita muda yang baru menginjak 22 tahun itu berasakan sekarang masa yang tepat untuk dia bergerak ke hadapan. Masa untuk dia bersendirian sudah tamat setelah ada jejaka bertakhta di hatinya.
“Memang ada. Maksud saya teman lelaki yang boleh saya harapkan. Selama ini kami cuma kenal biasa dan saya tidak sedar pun bahawa dia seorang yang boleh diberi kepercayaan sebegitu. Sebenarnya hubungan kami masih baru dan saya belum pasti matlamat hubungan ini, lagi pun masa depan kami masih jauh. Dia setahun lebih tua daripada saya,” akui Faralyna berkenaan jejaka yang dikatakan sedang menggantikan tempat Hairul dalam hatinya.
Tanpa mahu memperincikan gerangan jejaka yang dimaksudkan, Faralyna mahu usia muda ini digunakan sebaik-baiknya untuk menstabilkan karier dan kewangan hari muka. Lima tahun dalam industri, pencapaian yang dikecapi belum sampai ke tahap membanggakan namun rezekinya sebagai pelakon semakin menampakkan sinar.
“Berbanding pelakon-pelakon lain yang sebaya dengan saya, nama saya agak kebelakang. Saya pun jenis yang tidak terburu-buru dan alhamdulillah, rezeki saya tidak pernah putus. Kepercayaan stesen televisyen juga menampakkan kemajuan,” katanya yang kini muncul dalam tiga buah drama bersiri di tiga saluran televisyen serentak.
Drama-drama itu termasuklah Benci vs Cinta di saluran Astro Ria, Menyintaimu (TV2) dan Fira Ayuni (TV3). Tempoh ini menjadi titik penting buat Faralyna apabila dipuji banyak peminat yang menyaksikan lakonannya menerusi watak Fira Ayuni yang kini bersiaran di slot Samarinda di TV3.
“Kira ini kebetulan yang sangat mengejutkan saya. Selama ini banyak juga berlakon tapi jarang dapat watak yang betul-betul menyerlahkan bakat saya. Pengalaman melakonkan watak Fira Yuni sangat menyeronokkan dan hasilnya juga positif.
“Drama Menyintaimu juga menarik. Saya bawa dua watak iaitu Natasha yang dimatikan dipertengahan cerita dan Anisa, watak baharu yang menjadi pencetus konflik kepada kehidupan Johan yang terlalu menyintai tunangnya, Natasha,” jelas Faralyna yang mula berlakon pada usia 16 tahun.
Faralyna mula berlakon selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 2007.
“Pada mulanya mahu sambung belajar tetapi saya kena menyara adik yang masih bersekolah, lama-lama lakonan sudah sebati. Saya mungkin akan terus berlakon untuk 10 tahun akan datang atau lebih, saya pun tak tahu memandangkan pendidikan saya bukannya tinggi pun,” ujar Faralyna yang mencari-cari peluang selain lakonan untuk mengembangkan karier.
Dalam perkembangan terbaharu, dia baru selesai penggambaran drama untuk tontonan online berjudul Dan Calonnya Adalah untuk siaran Disember nanti. Saya juga menunggu masa untuk ke lokasi drama bercorak aksi berjudul Ryuji.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: